Eksperimen pertama yang dilakukan menggunakan hidrogen dan helium untuk mengangkat kenderaan ke udara dijalankan pada akhir abad ke-18. Namun, teknologi itu memerlukan lebih daripada 1 abad untuk ia menjadi berdaya maju untuk kegunaan komersial dan ketenteraan.
Pada tahun 1900, Ferdinand von Zeppelin telah melancarkan pesawat pertamanya, LZ-1. Walaupun terdapat cacat cela, namun LZ-1 dianggap sebagai satu kejayaan yang mana model ini dibaikpulih. Ferdinand akhirnya ditugaskan untuk menghasilkan seluruh armada kapal udara untuk kerajaan Jerman, yang dikenali sebagai Zeppelins.
BESARKAN TEKS A- A+
Penggunaan Zeppelins dalam WW1
Ketika Perang Dunia Pertama, Jerman menggunakan kapal udara Zeppelins untuk mengadakan kempen pengeboman udara, menjadikan London dan Paris sebagai sasaran utama. Walaupun serbuan ini tidak begitu memberikan kerosakan jika dibandingkan dengan serangan pesawat udara, namun ia berjaya menyemai rasa takut.
Zeppelins akan muncul tanpa amaran, tiba di atas langit dengan orang awam lari bertempiaran mencari tempat untuk berlindung. Winston Churchil, pegawai tentera dan Perdana Menteri United Kingdom, menolak kehebatan dan ancaman yang ditimbulkan oleh Zeppelins.
Namun, pihak pertahanan British mengambil masa hampir 2 tahun untuk mencari peluru yang tepat dan sesuai yang boleh menjatuhkan Zeppelins.
Teknologi diperluas selepas perang tamat
Selepas tamatnya perang, para jurutera Jerman mengalihkan perhatian mereka untuk membina kapal terbang untuk pengangkutan jarak jauh, dengan melancarkan penerbangan transatlantik (melintasi Lautan Atlantik) yang pertama pada tahun 1919.
Namun hanya 10 tahun kemudian, barulah era perjalanan menggunakan kapal terbang komersial dilihat mula berkembang dengan penyempurnaan LZ-127 atau Graf Zepellin, sebuah kapal udara yang sangat besar dan mampu membawa puluhan penumpang seperti mana kapal pelayaran laut yang mewah.
Untuk beberapa tahun, Graf Zeppelin menunjukkan demonstrasi penerbangan yang baik, termasuklah lawatan seluruh dunia pada tahun 1929.
Menjelang tahun 1931, pesawat udara ini mula memberikan perkhidmatan komersial secara tetap, melakukan penerbangan tanpa henti di antara Jerman dan Amerika Selatan.
Kelahiran kapal udara kebanggaan Nazi Jerman - Hindenburg
Pada tahun 1936, Jerman telah menghasilkan kapal udara yang lebih besar daripada Graf Zeppelins, iaitu LZ-129 yang lebih dikenali sebagai Hindenburg.
Dengan panjang 245 meter, iaitu 3 kali ganda panjang Boeing 747, pesawat Jerman LZ-129 atau lebih dikenali sebagai Hindenburg adalah pesawat atau kapal udara paling besar pernah dibina dalam sejarah.
Kulit fabrik pada pesawat ini dicat dengan cat yang mengandungi serbuk aluminium untuk menghasilkan penampilan keperakan yang berkilau. Sirip ekornya dihiasi dengan lambang rejim Nazi iaitu swastika.
Kemudahan penumpang dalam Hindenburg termasuklah 25 kabin untuk 2 penumpang setiap satunya, sebuah restoran, bar, malah ruangan merokok, bertekanan untuk menjaga gas yang mudah terbakar.
Ia mempunyai kelajuan maksimum 135 km/j dan kelajuan pelayaran 126 km/j. Hindenburg pada asalnya direka menggunakan helium untuk mengangkatnya ke udara.
Namun disebabkan kerajaan Amerika Syarikat telah melancarkan sekatan eksport helium terhadap Nazi Jerman, jadi mereka terpaksa menggunakan gas hidrogen, yang mana mudah terbakar.
Pengembaraan tahun 1937 Hindenburg
Pada tahun 1936, Hindernburg merasmikan perkhidmatan penerbangan komersial melintasi Atlantik Utara dengan membawa 1,002 penumpang dalam 10 penerbangan pergi balik berjadual di antara Jerman dan Amerika Syarikat. Hindenburg juga melakukan 7 perjalanan di antara Jerman dan Brazil.
Selepas membuka musim 1937 nya dengan melengkapkan laluan perjalanan tunggal ke Rio de Janeiro, Brazil pada akhir bulan Mac, Hindenburg yang menjadi kebanggan Jerman ini telah berlepas dari Frankfurt, Jerman pada 3 Mei.
Ia merupakan perjalanan pertama daripada 10 penerbangan pergi balik di antara Eropah dan Amerika Syarikat yang dijadualkan untuk tahun kedua perkhidmatan komersialnya.
American Airlines juga mempunyai kontrak dengan pengendali Hindenburgh untuk menghantar penumpangnya dari Lakehurst ke Newark untuk sambungan.
Melainkan angin kuat yang melambatkan penerbangan ini, lintasan Lautan Atlantik yang dilakukan Hindenburg dilihatkan tidak begitu memberangsangkan sehingga cuba untuk mendarat di Lakehurst Naval Air Station di New Jersey, Amerika Syarikat 3 hari kemudian pada 6 Mei.
Walaupun hanya membawa separuh daripada kapasiti penumpang iaitu 36 daripada 70, dan 61 orang krew dalam penerbangan ini, namun Hindenburg telah ditempah penuh untuk penerbangan pulang ke Jerman.
Kebanyakan penumpang yang menempah penerbangan ke Jerman ingin menghadiri penobatan Raja George VI dan Ratu Elizabeth di London pada minggu berikutnya.
Bencana Hindenburg 6 Mei 1937
Pada petang 6 Mei 1937, para penonton dan pemberita telah berkumpul di Lakehurst Naval Air Station di New Jersey, Amerika Syarikat bagi melihat kecanggihan pengangkutan udara ini.
Tanpa apa-apa amaran, tiba-tibat berlaku satu letupan yang kuat dan dahsyat, yang telah "memakan" ekor Hindenburg, membuatkan kapal udara itu hilang imbangan di mana bahagian hadapannya menghala ke langit.
Selepas ekor Hindenburg jatuh ke tanah, ledakan api keluar dari "hidung" kapal udara ini yang membunuh 9 daripada 12 krew kapal.
Api yang marak kemudiannya merebak ke bahagian badan tengah Hindenburg di mana terletaknya sel 1 hingga 9, dengan cepatnya membakar kulit luar dan mendedahkan struktur aluminum di bawahnya.
Selepas beberapa saat sahaja, kapal udara kebanggan Nazi Jerman ini lebur dan jatuh menyembah bumi.
35 daripada 97 penumpang dan anak kapal telah terbunuh, dan seorang krew di darat juga terbunuh dalam sekelip mata.
Masa yang diambil dari tanda-tanda awal bencana sehingga Hindenburg lenyap terbakar dilaporkan di antara 32, 34 dan 37 saat.
Sebahagian daripada kerangka duralumin Hindenburg diselamatkan dan dihantar pulang ke Jerman di mana ia dikitar semula dan digunakan dalam pembinaan pesawat tentera untuk Luftwaffe.
Hampir 80 tahun penyelidikan dan ujian saintifik yang dilakukan menyokong kesimpulan sama yang dicapai oleh penyiasatan kemalangan asal Jerman dan Amerika Syarikat pada tahun 1937, iaitu bencana ini berlaku disebabkan oleh pelepasan elektrostatik (percikan api) yang telah membakar gas hidrogen yang memenuhi Hindenburgh.
Rujukan:
1. Britannica
2. History
3. Guardian