Kegiatan merompak kereta api oleh sekumpulan penjenayah bukanlah hanya cerita rekaan semata-mata yang boleh dilihat di dalam filem. Sebaliknya, peristiwa sebegini memang benar-benar pernah terjadi di England. Peristiwa kes rompakan ini juga merupakan antara kes rompakan terbesar di England dikenali sebagai "Great Train Robbery" kerana rancangan yang sangat teliti mirip perompak profesional dan jumlah wang yang berjaya dirompak daripada kereta api tersebut.

Dianggarkan wang yang berjaya dirompak daripada kereta api tersebut berjumlah £2.6 juta. Mengambil kira faktor inflasi dan kadar pertukaran mata wang, nilainya bersamaan $60 juta pada masa kini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun kes ini sudah berlaku berpuluh tahun dahulu, kes ini masih lagi diperkatakan pada masa kini disebabkan beberapa perkara antaranya terdapat ahli kumpulan ini yang masih belum dapat dikenalpasti dan lokasi sebenar wang hasil rompakan yang masih belum ditemui sehingga kini.

Great Train Robbery

Peristiwa malang ini berlaku pada tarikh 8 Ogos 1963. Pada ketika ini, kereta api adalah pengangkutan utama untuk menghantar surat ke serata England. Sehari sebelum kejadian ini berlaku, kereta api milik Royal Mail Train telah bertolak daripada Glasgow menghala ke London. 

Selain daripada surat dan dokumen berdaftar, kereta api ini turut mempunyai gerabak khas yang menyimpan barang-barang untuk dipos seperti duit dan dokumen berdaftar. Atas alasan keselamatan, gerabak khas ini hanya membawa ratusan ribu dollar pada satu-satu masa. Walau bagaimanapun, kerana cuti umum beberapa hari sebelum itu, maka pada hari peristiwa rompakan besar ini berlaku, kereta api ini telah membawa jumlah wang yang sangat banyak berjumlah jutaan dollar. 

Rancangan yang sangat teliti

Walaupun peristiwa hitam ini berlaku pada tarikh 8 Ogos 1963, rancangan untuk merompak kereta api tersebut telah dilakukan beberapa lama sebelum itu dengan sangat teliti. Segalanya kelihatan sangat sempurna dan mudah bagi kumpulan perompak ini.

Hal ini adalah kerana maklumat sulit yang telah didedahkan oleh orang dalam yang bekerja dengan syarikat pengangkutan kereta api tersebut yang dikenali dengan nama samaran “The Ulsterman”. Pada tahun 2014 iaitu kira-kira 51 tahun selepas kejadian ini berlaku, satu laporan telah mendedahkan bahawa “The Ulsterman” adalah seorang lelaki bernama Patrick McKenna yang merupakan salah seorang pekerja perkhidmatan pos tersebut di Islington yang terletak di London.

siasatan pihak polis

Pekerjaannya itu membolehkan beliau mengetahui jadual sebenar kereta api tersebut dan isi kandungan barangan yang dibawa. Segalanya bermula apabila beliau diperkenalkan kepada dua orang ketua kumpulan penjenayah ini iaitu Gordon Goody dan Buster Edwards. Selain mereka bertiga, kumpulan ini dikatakan terdiri daripada 15 orang. Walau bagaimanapun, ada pihak mendakwa jumlah itu mungkin lebih kerana ada lagi saki baki anggota kumpulan ini yang masih belum dapat ditangkap.

Strategi rompakan

Segala rancangan untuk rompakan ini dilakukan dengan sangat teliti dan profesional, sama seperti yang boleh dilihat dalam filem Ocean 11. Salah seorang ahli geng ini, Roger Cordrey telah menggodam tanda isyarat di laluan kereta api untuk mengarahkan kereta api yang membawa muatan berharga ini berhenti. Konduktor atau pemandu kereta api yang kehairanan kerana telah diarahkan berhenti itu kemudiannya keluar daripada bahagian kokpit untuk menyiasat sekiranya terdapat apa-apa perkara yang menghalang kereta api tersebut daripada meneruskan perjalanan.

great train robbers

Pada ketika inilah, Jack Mills iaitu konduktor kereta api ini telah diserang dan pihak perompak ini telah mengambil alih kereta api ini. Kereta api tersebut telah diberhentikan di sebuah jambatan di mana 2 buah kereta Range Rovers dan sebuah kereta trak tentera sedia menunggu. Proses memindahkan segala wang dan barang berharga mengambil masa 30 minit.

Sebaik sahaja urusan pemindahan selesai, ahli kumpulan ini telah bersembunyi di sebuah ladang, Leatherslade Farm yang terletak berhampiran tempat kejadian. Mereka merancang untuk kekal bersembunyi disitu sehinggalah pihak polis selesai melakukan siasatan.

Sebab penangkapan

tempat persembunyian great train robbers

Kumpulan perompak ini bersetuju untuk menyorok di kawasan ladang berdekatan kerana merasakan pihak polis mungkin menjangkakan mereka akan lari jauh. Selain itu, mereka juga tidak mahu mengambil risiko melalui sekatan jalan raya. Sebuah rumah telah disewa di kawasan ladang tersebut melalui orang tengah (proksi) bagi mengelakkan kegiatan mereka dicurigai.

Sebaik-baik tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah. Beberapa kesilapan kecil telah membawa kepada penangkapan sebahagian ahli kumpulan perompak ini.

1. Informasi daripada pekerja kereta api - Ketika sedang melakukan rompakan salah seorang pekerja syarikat kereta api tersebut telah terdengar salah seorang ahli kumpulan perompak tersebut agar tidak melarikan diri terlalu jauh. Berpandukan informasi yang diberikan ini, maka pihak polis telah melakukan pengintipan dan operasi pencarian di kawasan-kawasan ladang berdekatan kejadian rompakan tersebut.

2. Kesan cap jari pada permainan Monopoly - Ketika bersembunyi di sebuah rumah di ladang tersebut, ahli kumpulan perompak ini menghabiskan kebanyakan masa mereka berseronok dan bermain permainan Monopoly. Melalui siaran radio, mereka mendapat tahu bahawa pihak polis sedang melakukan operasi pencarian di kawasan persembunyian mereka. Kerana panik, sebelum melarikan diri mereka terlupa untuk memadamkan cap jari yang terdapat pada permainan Monopoly dan juga botol sos yang ditinggalkan.

3. Ditipu - Antara sebab utama yang membawa kepada penangkapan ahli kumpulan ini adalah kerana mereka juga sebenarnya telah ditipu oleh seorang pemuda yang telah diupah untuk membakar rumah yang mereka sewa selepas mereka mengambil keputusan untuk melarikan diri. Mereka mengambil keputusan untuk membakar rumah tersebut bagi menghilangkan segala bukti. Walaupun wang sudah dibayar, pemuda tersebut tidak membakar rumah tersebut. Hal ini membawa kepada penemuan cap jari pada permainan Monopoly dan botol sos yang ditinggalkan.

Misteri yang belum terungkai

ronnie biggs salah seorang perompak

Berpandukan beberapa sumber diatas, maka beberapa minggu kemudian pihak polis berjaya menangkan beberapa orang ahli kumpulan ini. Ronnie Bigs, salah seorang anggota kumpulan ini yang ditangkap dan dikenakan hukuman penjara 30 tahun telah berjaya melarikan diri daripada penjara. Beliau kemudiannya telah melakukan pembedahan plastik pada mukanya dan melarikan diri ke Australia dan Brazil selama 36 tahun. Seorang lagi ahli kumpulan ini, Charlie Wilson juga berjaya melarikan diri dan hidup dalam buruan selama 4 tahun sebelum akhirnya ditangkap di Kanada.

Walau bagaimanapun, kes ini tidak terhenti setakat itu sahaja kerana masih terdapat saki baki kumpulan ini yang masih bebas. Pihak polis dikatakan hanya berjaya menemui 10% sahaja daripada keseluruhan wang yang dirompak. Pihak polis juga percaya bahawa masih ada lagi beberapa individu daripada kumpulan ini yang masih belum dapat dikenalpasti sehingga kini yang hanya dikenali dengan nama samaran.

Kes rompakan kereta api ini juga telah ditayangkan sebagai sebuah filem seperti filem The Great Train Robbery yang ditayangkan pada tahun 1903 dan beberapa siri televisyen antaranya Antique Roadshow.

Kredit:

  1. The Guardian
  2. The Sun
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)