Berikutan kejayaan besar vaksin mRNA dalam mengekang COVID-19 terutamanya bagi kes hospitalisasi dan kematian, BioNTech kini menumpukan perhatiannya untuk merawat barah menggunakan teknologi yang sama.

mrna

Rawatan baru yang menggunakan teknologi mRNA (messenger ribonucleic acid) ini telah menunjukkan potensi besar dalam ujian yang dilakukan ke atas tikus. Kini, ujian dilakukan ke atas manusia untuk melihat adakah ia akan membawa kejayaan yang sama.

Hasil ujian ini telah diterbitkan dalam jurnal Science Translational Medicine

Membantu badan menghasilkan protein

Rawatan yang dimaksudkan dikenali sebagai SAR441000 (BNT131). Sama seperti vaksin COVID-19 iaitu Pfizer-BioNTech, ia menggunakan messenger RNA untuk memberi petunjuk kepada tubuh supaya menghasilkan protein.

Sebenarnya, lama sebelum kita mendengar nama vaksin COVID-19 seperti Pfizer, Moderna atau Sinovac, para penyelidik telah mengkaji vaksin mRNA ini untuk melawan barah.

vaksin covid 19 217

Selain barah, ia juga dibangunkan untuk menangani penyakit autoimun seperti sklerosis berganda dan melindungi diri daripada penyakit berjangkit lain seperti virus pernafasan syncytial.

Bagi merawat barah, penyelidik berharap dapat merangsang tubuh untuk menghasilkan protein yang disebut sitokin (cytokine). Protein ini dapat menghasilkan kesan anti-tumor dalam tubuh.

Sitokin dihasilkan secara semula jadi di dalam badan. Namun, penyelidikan sebelum ini menunjukkan bahawa kesan menambahkan sitokin di tempat tumbuhnya tumor mampu mengecilkan ketumbuhan itu bahkan membasminya secara keseluruhan.

Tidak semudah yang disangkakan

Walau bagaimanapun, tidaklah semudah itu untuk menambah sitokin ke kawasan yang diinginkan. Sitokin mempunyai jangka hayat yang sangat pendek. Ia akan terurai dalam badan dengan cepat untuk menghentikan ketoksikan.

Maka, rawatan ini memerlukan pemantauan berterusan. Dos berterusan pula akan mengakibatkan tahap sitokin menjadi beracun dalam badan sekaligus menimbulkan kesan buruk yang membantutkan tujuannya sebagai rawatan barah.

tumor

Sebaliknya, para penyelidik cuba untuk menyasarkan sitokin secara langsung ke tumor menggunakan vektor virus (menyampaikan bahan genetik ke dalam sel). Namun, ia boleh menyebabkan masalah genetik dan gangguan daripada sistem imun lain yang tidak berkaitan.

Antara cara lain yang lebih selamat untuk merangsang tubuh menghasilkan sitokin di tempat yang diinginkan dan mencegah daripada berlakunya lebihan sitokin, ia adalah terapi mRNA.

Hasil ujikaji yang memberangsangkan

Dengan memasukkan campuran mRNA yang mengekod sitokin terus ke dalam tumor, tubuh akan menghasilkan sitokin dalam jumlah yang besar dan bersedia untuk menghalang sel-sel barah daripada terus berkembang.

Apabila BioNTech dengan kerjasama Sanofi mengujinya ke atas 20 ekotr tikus dengan melanoma (kanser kulit), 17 ekor tikus telah menghasilkan sitokin yang cukup untuk mengecilkan tumor. Dalam tempoh 40 hari, tumor itu berjaya dihilangkan.

tikus makmal 3

Apabila mereka mengujinya pada tikus dengan dua jenis tumor (melanoma dan barah paru-paru), terapi yang disuntik ke dalam melanoma berfungsi dengan baik. Malah, ia turut merebak dan merawat pertumbuhan tumor paru-paru.

Eksperimen menunjukkan bahawa terapi baru ini bukan sahaja berkesan terhadap tumor yang disasarkan tetapi juga tumor sekunder yang ada. Walaupun terapi sitokin sering memberi kesan sampingan yang tidak diingingi tetapi tiada tikus yang diuji menunjukkan kesan sampingan yang buruk.

Mengujinya terhadap manusia

Setelah berjaya terhadap tikus, para penyelidik mula beralih untuk melakukan ujian terhadap manusia. Ujian terhadap manusia ini dilakukan dalam dua fasa dan ia melibatkan seramai 231 sukarelawan.

Penyelidik sedang menilai keberkesanan, toleransi dan keselamatan vaksin mRNA ini untuk pelbagai bentuk barah seperti melanoma, barah paru-paru, barah usus, barah payudara, barah rahim dan barah buah pinggang.

Salah satu kehebatan teknologi ini ialah ia dapat digunakan pada pelbagai jenis barah selagi mana penyelidik dapat mengenal pasti mutasinya.

molly cassidy

Molly Cassidy

Salah seorang sukarelawan adalah Molly Cassidy yang menghidapi tumor pada leher dan kepalanya. Dalam tempoh 27 minggu, Cassidy telah menerima 9 suntikan vaksin mRNA yang dikhaskan bersama suntikan imunoterapi yang disebut Pembrolizumab.

Selepas setiap suntikan, Cassidy akan mengalami demam, keletihan, kegatalan dan kesakitan selama 24 jam. Sistem imunnya benar-benar teransang supaya dapat menangani kansernya. Apabila rawatannya berakhir pada Oktober 2020, imbasan CT Cassidy mendapati tiada lagi bukti barah di tubuhnya.

Perlu lebih banyak ujian

Walaupun ujian ke atas sukarelawan menunjukkan kesan positif, para penyelidik mengingatkan bahawa vaksin mRNA untuk barah ini berbeza berbanding vaksin COVID-19. Vaksin COVID-19 dapat disediakan dengan cepat kerana kecemasan tetapi vaksin barah ini perlu diuji secara klinikal selama bertahun-tahun sebelum diluluskan.

Namun, para penyelidik yakin bahawa vaksin ini mungkin akan diluluskan dalam masa lima tahun yang akan datang jika mereka dapat membuktikan kebaikan teknologi ini dalam meningkatkan imunisasi manusia melawan kanser.



Hakcipta iluminasi.com (2017)