Setiap pasangan suami isteri haruslah mempunyai perancangan keluarga demi memastikan kestabilan ekonomi keluarga dan anak-anak tidak terabai. Benar, anak-anak membawa rezeki yang tidak disangka-sangka kepada keluarga, namun memastikan mereka mendapat kasih sayang secukupnya dan tidak terabai jauh lebih penting.
Program perancangan keluarga adalah hak ekslusif pasangan suami isteri. Namun, ia perlulah mengambil kira keadaan ekonomi, kesihatan si ibu dan emosi si ibu. Antara cadangan yang boleh dilakukan adalah mendapatkan pandangan daripada doktor terlebih dahulu.
BESARKAN TEKS A- A+
Apabila membicarakan mengenai perancangan keluarga, kita tidak dapat lari daripada memperkatakan mengenai polisi kerajaan China yang membenarkan sepasang suami isteri mempunyai hanya seorang anak sahaja. Langkah ini diambil disebabkan populasi negara tersebut yang sudah terlalu padat dan dikhuatiri akan kekurangan sumber untuk penduduknya.
Namun, mungkin ramai yang tidak tahu tidak lama dahulu, negara Peru yang ketika itu dibawah pemerintahan diktator Alberto Fujimori telah memperkenalkan program perancangan keluarga juga, namun dilakukan secara paksa terutamanya kepada rakyatnya yang miskin.
Program perancangan keluarga secara paksa
Regim diktator Peru, Alberto Fujimori dipercayai telah "memandulkan" secara paksa 272,028 orang rakyatnya antara tahun 1996 dan 2001. Kebanyakan daripada mangsanya adalah wanita orang Asli dari kawasan miskin, luar bandar dan sebahagian besarnya adalah tanpa persetujuan mereka.
Proses memandulkan ini adalah sebahagian daripada polisi perancangan keluarga Alberto Fujimori yang kononnya didakwa kononnya bertujuan memberi wanita "kuasa" yang diperlukan bagi mereka untuk membuat keputusan mengenai kehidupan mereka.
Tetapi pada hakikatnya, seperti yang didedahkan dalam dokumen kerajaan yang diterbitkan oleh pejabat hak asasi manusia Peru pada tahun 2002, regim tersebut melihat pengawalan kadar kelahiran sebagai cara untuk memerangi "kekurangan sumber daya" dan "kemerosotan ekonomi".
Ini adalah eufemisme atau bahasa kiasan untuk apa yang disebut oleh Alberto Fujimori dan pemimpin terdahulu Peru sebagai "masalah India" - kadar kelahiran yang lebih tinggi di kalangan orang Asli daripada orang Peru keturunan Eropah. Dan kerana wanita Asli keturunan Quechua memiliki kadar kemiskinan tertinggi di Peru, mereka adalah sasaran utama kerajaan untuk polisi secara paksaan ini.
Apabila mendapatkan konsultasi mengenai kaedah perancangan keluarga, wanita daripada suku orang Asli ini biasanya akan "ditawarkan" untuk kaedah perancangan keluarga "ligasi tuba", iaitu jenis kontrasepsi kekal yang juga dikenal sebagai sterilisasi wanita.
Program yang dilancarkan pada tahun 1996 ini berpendapat bahawa kadar kelahiran yang lebih rendah akan menurunkan kadar kemiskinan dan pada mulanya mendapat banyak pujian daripada rakyat Peru sendiri. Namun, tidak lama kemudian semakin banyak wanita mengadu disterilkan tanpa persetujuan mereka.
Tanpa persetujuan mangsa
Salah seorang wanita yang menjadi mangsa program ini adalah Sabina Huillca yang kini sudah berusia 46 tahun. Dua puluh tahun yang lalu dia menanam kentang dan jagung dan membesarkan anak-anaknya di Huayllacocha, sebuah kampung di Andes, 4 jam perjalanan dengan kereta dari ibu kota wilayah Cuzco.
Tetapi dia memberitahu bahawa hidupnya berubah selamanya dalam satu hari akibat satu kejadian pada tahun 1996. Seorang doktor mencadangkannya yang sedang hamil pada waktu itu mengunjungi klinik kesihatan di bandar Izcuchaca. Kisah malangnya bermula sebaik sahaja selamat melahirkan anak.
Seorang jururawat wanita telah mengikat tangan dan kakinya pada tempat pengusung (stretcher). Dalam keadaan lemah itu, dia meminta kepada jururawat tersebut untuk membawa anak yang baru dilahirkan itu kepadanya. Namun, sebaliknya yang berlaku apabila dia diberikan bius sehingga tidak sedarkan diri.
Apabila sedar, Sabina Huillca mendapati bahawa seorang doktor sedang menjahit bahagian perutnya. Dia mula menjerit sekuatnya, bukan kerana sakit semata-mata tetapi kerana sedar bahawa dirinya baru sahaja disteril tanpa kerelaanya. Ini bermakna wanita malang ini tidak lagi berpeluang mengandung dan mempunyai anak lagi.
Pengalaman hitam yang dialaminya ini adalah salah satu kisah sahaja daripada ribuan lagi wanita yang mengalami nasib yang sama. Malangnya, tiada apa yang boleh dilakukan. Lebih malang, ada yang turut mati dalam proses pensterilan ini dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
Tuntutan Kebenaran dan keadilan
Apabila kes pemandulan secara paksa ini semakin banyak berlaku, rakyatnya mula tampil untuk mendedahkan kekejaman yang dilakukan oleh kerajaan. Mangsa dan keluarga mangsa pensterilan secara paksa mula mencari jalan keluar melalui undang-undang pada tahun 1998, dua tahun sebelum kejatuhan regim Fujimori.
Keluarga María Mamérita Mestanza - yang disterilkan secara paksa dan mengalami komplikasi kesihatan dan meninggal dunia pada 5 April 1998 - mengajukan tuntutan kepada pejabat pendakwa kebangsaan terhadap ketua pusat kesihatan yang melakukan ligasi tubal kepadanya. Tetapi dua kali hakim memutuskan bahawa tidak ada alasan yang cukup untuk menghukum doktor tersebut.
Menjelang Januari 2014, Kementerian Awam Peru membuka kertas siasatan tuduhan terhadap doktor kerana kematian María Mamérita Mestanza. Tetapi ia menutup kembali 2000 kes lain, dengan mengatakan bahawa tidak ada bukti yang cukup untuk mendakwa Fujimori bertanggungjawab.
Selama bertahun-tahun, kira-kira 2000 kes pensterilan paksa dibicakarakan. Kadang-kadang, pihak berkuasa akan membuka siasatan terhadap beberapa pegawai berpangkat rendah yang dituduh mengambil bahagian dalam program perancangan keluarga ini, hanya untuk menutupnya kembali kerana maklumat tidak mencukupi.
Sebagai tambahan kepada keterangan dari mangsa sendiri, pihak pendakwa mengemukakan bukti bahawa Fujimori dan menteri kesihatannya menetapkan kuota pensterilan tahunan. Sebagai contoh, pada tahun 1997, pemerintah Fujimori merancang untuk mensterilkan 150,000 orang, kata pendakwa, tanpa mengira keadaan kesihatan atau persetujuan mereka.
Namun, usaha menuntut keadilan ini tidak mudah. Bekas Presiden Fujimori dan orang-orangnya mempunyai hubungan dengan orang kuat dalam politik. Walaupun ada usaha untuk menghukum mereka atas kejahatan sewaktu pemerintahan mereka dahulu, mereka sudah banyak kali terlepas daripada keadilan.
Kredit: