Kredit foto: Instagram Tam Spider

Penyanyi Tam Spider mendedahkan impiannya untuk mendapatkan anak perempuan akhirnya dimakbulkan selepas dimaklumkan isterinya, Aida Mustafa, 36, sedang mengandung bayi berjantina perempuan yang dijadualkan lahir pada bulan hadapan.

Tam atau Rustam Mustafa, 45, menyifatkan anak ketiga yang bakal ditimang itu sebagai rezeki perkahwinannya dengan Aida.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki. Menerusi perkahwinan pertama saya dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 24 tahun. Dengan Aida, Allah SWT berikan dua lagi anak lelaki.

“Apabila isteri disahkan hamil tahun lalu, saya sangat gembira dan teruja. Malah, jauh di sudut hati alangkah seronok jika dapat anak perempuan. Allah SWT mendengar doa saya dan isteri," katanya kepada Harian Metro.

Cerita Tam, setiap kali mereka berjumpa doktor untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan kandungan, beliau pasti teruja bertanyakan tentang jantina bayinya.

“Sehinggakan, setiap kali bawa isteri buat pemeriksaan kesihatan, mesti tanya jantina bayi. Saya berdoa semoga semuanya dipermudahkan dan dalam keadaan sihat,” tuturnya.

Tam yang kini sedang menjayakan rancangan realiti Mentor Otai mengatakan tumpuannya dalam program realiti itu terpaksa dibahagikan dengan komitmen terhadap isteri yang sarat mengandung.

“Ini bukan pengalaman baru untuk saya. Jadi, saya sudah tahu macam mana nak kawal. Namun, disebabkan terbabit dengan program Mentor Otai, saya perlu bahagikan masa dengan baik.

“Apatah lagi, selama ini urusan rumah tangga diuruskan isteri sendiri. Saya tidak mahu dia banyak bekerja. Mujur anak sudah besar, jadi sudah pandai berdikari,” katanya lagi.

Tam dan Aida yang mendirikan rumah tangga pada 8 November 2009 sehingga kini dikurniakan dua anak lelaki iaitu Muhammad Afiq, 8, dan Muhammad Aqil, 5.

Manakala dalam perkahwinan pertama, Tam dikurniakan seorang anak lelaki, Muhd Aliff yang sudahpun mencecah usia 24 tahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)