(Steven Lam)
Steven Lam sentiasa mempunyai semangat keusahawanan. Dari mengajar dirinya untuk membaiki motosikal, menjual barangan elektronik dan menghidangkan hot dog.
Steven yang tidak menghabiskan sekolah menengah sudah sangat kreatif ketika masih muda dan berkembang dari keluarga berpendapatan rendah.
Tetapi usaha yang membuatkannya sangat terkenal di Hong Kong adalah sebuah projek startup yang kini bernilai RM4 bilion atau lebih. Dan lebih menarik, ia berlaku secara tidak sengaja.
BESARKAN TEKS A- A+
Idea itu datang kepada Steven dan dua rakan pengasasnya ketika mereka sedang menjalankan perniagaan lain sepenuh masa iaitu sebuah projek start-up menjual iklan pada kotak bungkusan makanan.
Mereka telah menemui peluang iklan ini semasa bekerja bersama-sama di sebuah restoran Cina di California, Amerika Syarikat.
Tetapi, sekembalinya ke Hong Kong, mereka berhadapan dengan masalah utama dalam mengedarkan kotak di seluruh bandar yang padat itu.
Ketika itu tahun 2013 dan platform ride-hailing sedang mendapat momentum di peringkat antarabangsa, tetapi industri penghantaran di Hong Kong kekal sebagai tradisional.
Ini bermakna perniagaan seperti Steven Lam perlu bergantung kepada pusat panggilan menggunakan sistem frekuensi radio untuk mencari pemandu bagi melakukan penghantaran.
Bagi Steven Lam, Nick Tang dan Reeve Kwan, ini dilihatkan sebagai sangat tidak cekap terutamanya kerana mereka perlu menyelesaikan sebahagian besar penghantaran mereka menjelang pukul 10 pagi. Mereka fikir mesti ada cara yang lebih baik.
"Pada satu pagi kami terpaksa menghantar 100,000 kotak dan ia sangat kacau-bilau. Kami memutuskan bahawa kami terpaksa mencari jalan penyelesaian," - Steven Lam, pengasas dan ketua pegawai eksekutif GoGoVan
Bermula dengan kumpulan chat Whatsapp
Ketika mencari penyelesaian, trio ini dengan cepat menyedari mereka boleh bekerja dengan lebih efisyen jika mereka menyatukan semua pemandu yang paling dipercayai mereka ke dalam satu platform.
Pada masa itu, mereka tidak berniat untuk mengganggu seluruh industri seperti yang dilakukan oleh Uber di Amerika Syarikat. Mereka hanya mahu mengurangkan pertembungan pada permulaan projek.
Jadi mereka mula dengan sangat kecil iaitu dengan hanya mewujudkan satu siri kumpulan chat WhatsApp untuk digunakan sebagai platform dalam memaparkan kerja untuk para pemandu terbaik di bandar tersebut.
"Saya tak tahu langsung apa itu Uber ketika itu. Kami mula merumuskan produk kami sendiri." - Steven Lam
Idea ini berhasil, tetapi terlalu lancar sehinggakan menimbulkan masalah.
Para pemandu bertindak balas terhadap kerja yang dimuatnaik ke Whatsapp, tetapi disebabkan oleh kumpulan WhatsApp pada ketika itu mengehadkan kepada 10 peserta sahaja dan para pemandu terpaksa membuka beberapa kumpulan chat, ia menjadi sukar bagi trio ini untuk menepati dasar "first come first serve" mereka.
"Ini menyelesaikan beberapa masalah penghantaran, tetapi kami memutuskan adalah lebih baik untuk mempunyai kumpulan besar. Dan ini tidak mungkin dilakukan menggunakan WhatsApp pada masa itu," - Steven Lam
Bagaimanapun, ia membantu Steven Lam untuk mengetahui isu yang lebih serius.
Beliau mendapati bahawa semakin kerap mereka bercakap dengan pemandu, semakin banyak mereka sedar bahawa para pemandu tidak berpuas hati dengan sistem frekuensi radio.
Dan ketika itulah Steven Lam mendapat idea dan platform logistik yang popular GoGoVan, perkhidmatan perkongsian perjalanan yang berpusat di Asia, yang memberi tumpuan kepada pengangkutan kargo dan barangan di kawasan bandar, dilahirkan.
Mula melancarkan perniagaan
Steven Lam dan dua rakannya telah menemui segala yang penting dalam dalam perniagaan, tetapi kini mereka perlu mengeluarkan modal besar dan mengupah orang yang boleh membuat idea mereka menjadi kenyataan.
Jadi mereka mengumpulkan apa yang mereka mampu, sekitar RM10,500 dan menyewa apa yang dikatakan oleh Steven sebagai pejabat "kotak kasut" di daerah Kowloon di Hong Kong serta mengambil dua pekerja pertama mereka, seorang jurutera teknikal dan seorang pereka.
Dengan platform yang lebih besar yang jauh melebihi kelajuan sistem frekuensi radio, mereka mula menyedari minat yang ditunjukkan oleh para pemandu dan perniagaan lain.
Tetapi, untuk meneruskan perniagaan, mereka memerlukan wang tunai dengan cepat.
Sembilan bulan selepas memulakan perniagaan, syarikat itu berjaya berjaya mendapatkan satu-satunya pembiayaan yang ada di bandar itu pada masa itu iaitu sebanyak RM54,000.
"Menjelang bulan September, kami kehabisan wang. Mereka menyelamatkan nyawa kami dari tersungkur." - Steven Lam
Wang tersebut membuatkan mereka terus hidup dan tak lama kemudian GoGoVan memperoleh wang tunai tambahan melalui beberapa pusingan pelaburan, membolehkannya membesarkan pejabat tiga kali ganda dan mengembangkan perniagaan di peringkat antarabangsa.
Kekal berjimat
Pada awal tahun 2016, GoGoVan mendapat pembiayaan daripada pengasas Alibaba iaitu Jack Ma.
Kemudian, pada pertengahan 2017, ia mencapai status "unicorn" setelah melengkapkan penggabungan dengan syarikat logistik Cina, 58 Suyun.
Hasilnya, projek start-up ini kini mempunyai rangkaian 8 juta pemandu yang merangkumi 300 bandar dan enam negara.
Namun, walaupun kejayaan yang semakin meningkat, Steven Lam berkata sifat berjimat-cermat sangat penting dalam mencapai apa yang diperolehinya kini.
Steven berkata satu faktor kejayaan adalah ia dijalankan dengan sumber yang terhad dan dia kadang-kala akan membersihkan pejabatnya sendiri pada hujung minggu.
"Itulah mentaliti untuk tidak menunggu orang lain menyelesaikan masalah itu, tetapi melakukannya sendiri." - Steven Lam
Nasihat daripada mereka yang pakar
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif GoGoVan, inilah sikapnya yang cuba ditanamkan kepada 2,000 pekerja dan mereka yang ingin menjadi usahawan.
"Bagi kebanyakan orang yang mahu melakukan sesuatu, jangan tunggu. Saya belajar dalam lima tahun yang lalu bahawa tidak ada masa yang sempurna. Apa yang sempurna? Kebanyakan masa kita tidak tahu apa yang sempurna. Jika kita tidak tahu apa yang sempurna, mengapa kita memerlukan masa yang sempurna?" - Steven Lam
Steven juga berkata dia mengaplikasikan nasihat Jeff Bezos yang berbunyi: "Saya hanya memerlukan 70% daripada maklumat, bukan 100 peratus. Jika kita menunggu maklumat 100% untuk membuat keputusan, ia sudah terlambat. Sesetengah keputusan lebih baik daripada tiada keputusan."