Oleh pada 14 Sep 2017 kategori

tak kisah bila kalah tapi jangan panggil kerjaya saya hanya hobi anding 1

Kredit foto: Instagram Anding

Penyanyi Anding mengakui berasa terkesan apabila kariernya sebagai penyanyi dikatakan hanya hobi pada Konsert Homecoming AF Megastar baru-baru ini.

Menurut bekas pelajar Akademi Fantasia 2 itu, definisi bidang nyanyian dalam hidupnya membawa makna yang sangat besar.

Justeru ia tidak layak dinilai hanya berdasarkan satu persembahan sahaja.

“Nyanyian bukan sekadar hobi, itu kerjaya dan masa depan saya. Ia minat dan darah daging saya yang menyara kehidupan saya selama ini.

“Apa yang awak katakan mungkin akan mengancam masa depan saya sebagai penyanyi dan juga seorang penghibur. Menyanyi itu bukanlah sekadar hobi saya, tuan. Tuan sendiri tidak tahu apa yang saya lalui sepanjang 13 tahun lepas. Tuan tidak sekalipun mengikuti perkembangan saya tetapi hanya menilai saya menerusi persembahan pada satu malam,” tulis Anding menerusi kiriman Instagramnya.

Terdahulu, penyanyi berusia 34 tahun itu menerima kritikan pedas juri di Konsert Homecoming yang seolah-olah mempertikaikan statusnya sebagai penyanyi, malah dia turut disyorkan untuk hanya menceburi bidang lakonan.

Dalam pada itu, Anding berkata, jika benar menyanyi hanyalah hobi buatnya, dia tidak akan menghabiskan waktu berusaha selama bertahun-tahun dan menjadi hamba dalam bidang muzik.

Malah Anding turut menyatakan beberapa pencapaian hebat yang pernah diraih dalam industri hiburan yang mungkin tidak diketahui ramai.

“Jika menyanyi itu sekadar hobi tidak mungkin saya membuat persembahan untuk MUD The Musical, atau diundang menyanyi di hadapan Perdana Menteri Malaysia, Singapura, Sultan Brunei, Barrack Obama dan juga pemimpin negara-negara Asean lain.

“Hobi juga tidak akan membawa saya untuk mengadakan persembahan di Istana Budaya dan membuat demo serta guide untuk artis-artis bertaraf A list dan lagu mereka hit. Menyanyi sebagai hobi tidak sesuai dikatakan apabila menyanyi di Kuala Lumpur pada pagi dan kemudiannya di Sibu, Sarawak pula pada sebelah malam.

“Berkejaran ke studio untuk mengadakan latihan pada jam 2 pagi selepas turun daripada kapal terbang di KLIA, itu bukanlah hobi! Seperti yang saya katakan, saya tidak kisah kalah tetapi janganlah memburukkan masa depan saya dengan gelaran tersebut (menyanyi sebagai hobi).

“Saya minta maaf kerana kiriman ini, tetapi saya perlu mempertahankan hak saya. Dan ini adalah hak saya dan saya tidak akan sekali-kali berputus asa,” dedah Anding penuh beremosi.

Sementara itu, kenyataan Anding mendapat perhatian para pengikutnya yang menaruh simpati terhadap nasib penyanyi itu.

Anding membawakan lagu Feeling Good di Konsert Homecoming, sebelum menjadi mangsa keputusan juri profesional yang menyingkirkannya bersama 11 lagi bekas pelajar Akademi Fantasia iaitu Rosma, Adam, Amylea, Zahid, Nubhan, Ara, Faizal, Faizul, Firman, Mila dan Aril.

Konsert Homecoming AF Megastar diadili sepenuhnya oleh dua juri tetap, pengarah muzik Ramli MS dan guru vokal Syafinaz Selamat, bersama penyanyi Ziana Zain sebagai juri undangan.

AF Megastar bersiaran di saluran Astro Ria, setiap Ahad, jam 9 malam.

tak kisah bila kalah tapi jangan panggil kerjaya saya hanya hobi anding 2

Kredit foto: Instagram Anding

tags : , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)