Kredit foto: Instagram Datuk Siti Nurhaliza

Hanya selepas sehari membuat pengumuman kehamilannya, penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza mampu mendabik dada dengan rezeki baru yang diterima.

Siti menerusi lagu Dirgahayu (dendangan bersama Faizal Tahir) dinobatkan sebagai juara kategori Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) 2017 di Singapura.

Tidak berakhir di situ, pada Isnin lalu di Anugerah Silet 2017 yang berlangsung di Jakarta telah mengiktiraf lagu Seluruh Cinta dendangannya (duet bersama Cakra) sebagai pemenang kategori Lagu Tema Sinetron Tersilet.

Single itu yang juga pernah mengungguli kategori Anugerah Kolaborasi Terbaik pada APM 2015 menjadi lagu tema untuk drama Cahaya Hati yang disiarkan di Indonesia.

Siti dalam kenyataan terbarunya melahirkan kesyukuran atas rezeki yang diterima.

"Alhamdulillah, saya hanya mampu memanjat kesyukuran di atas kejayaan ini. Saya sebenarnya diundang menghadiri kedua-dua acara itu, namun kerana keadaan saya berbadan dua, ia terpaksa ditolak.

"Malah, saya juga diminta membuat persembahan. Sekalipun saya tidak dapat hadir memberi sokongan, ia tetap bermakna.

"Saya anggap rezeki penuh makna selepas mengumumkan kehamilan," katanya menurut laporan portal BH Online.

Di kesempatan itu, penyanyi lagu Sepenuh Perasaan itu merakamkan setinggi penghargaan kepada para peminat yang menjadi tulang belakang atas kejayaannya selama ini.

"Kejayaan ini takkan saya kecapi tanpa peminat. Terima kasih kepada Sitizoners Malaysia, Singapura dan Indonesia.

"Selama 21 tahun di arena seni, mereka tak pernah jemu menyokong saya hingga kini," katanya lagi.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)