Kredit foto: BH Online

Penyanyi dan guru vokal, Syafinaz Selamat menjadi antara 370 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat bersempena dengan Hari Wilayah Persekutuan semalam.

Penyanyi ini menerima penganugerahan Darjah Panglima Mahkota Wilayah (WMW) yang seterusnya membawa kepada gelaran Datuk dari Yang DiPertuan Agung.

Difahamkan, Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sejak tahun 2008 itu dibuat dengan objektif menghargai dan mengiktiraf sumbangan warga Wilayah Persekutuan yang telah banyak menabur jasa dalam membangunkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Bagaimanapun ia tidak terhad kepada warga Wilayah Persekutuan, malah turut dianugerahkan kepada mereka yang tidak bermastautin tetapi memberi bakti kepada pembangunan wilayah itu.

Penganugerahan itu tentu sahaja selaras dengan pencapaian prolifik penyanyi bersuara soprano ini dalam menaikkan taraf industri seni Malaysia dalam tempoh 30 tahun penglibatannya.

Untuk info, Syafinaz adalah seorang pensyarah yang bertugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta merupakan penasihat dan juga vokal master untuk Koir Kebangsaan Malaysia.

Tidak terkecuali, Syafinaz juga diberikan kepercayaan mengadili pelbagai program pertandingan seni suara seperti Akademi Fantasia (Musim 3, 4 dan Megastar), Who Will Win, Mentor, One In A Million, Pop Krew, Bintang Kecil, Bintang RTM dan merupakan pelatih suara muzik untuk Audition II.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)