Oleh pada 21 Jan 2018 kategori

Sumber foto: sports247.my 

Sukan Malaysia ke-19 akan diadakan pada 12 hingga 22 September ini di negeri Perak Darul Ridzuan. Ia akan berlangsung di 12 daerah di Perak.

Perak telah melancarkan logo, maskot dan lagu Sukma pada 20 Januari semalam. Slogan ‘Wow! Kita Hebat’, merupakan slogan yang dipilih dan seramai 11,000 atlet dan pegawai dari 14 kontinjen seluruh negara akan bertanding dalam 26 jenis sukan melibatkan 369 acara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata Sukma ke-19 ini akan mencipta sejarah yang mana seluruh rakyat segenap pelosok negeri akan meraikan acara tersebut yang akan berlangsung 234 hari lagi.

"Selepas 24 tahun berlalu, Perak bakal menjadi tuan rumah buat kali kedua selepas menganjurkannya untuk edisi kelima pada tahun 1994.

"Penganjuran sukan dua tahun sekali ini dilihat mampu memupuk semangat integrasi nasional bukan sahaja dalam kalangan atlet tetapi juga rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata semalam di Bulatan Amanjaya Ipoh semasa merasmikan majlis pelancaran tersebut.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail turut hadir dalam majlis tersebut.

Zambry turut melancarkan laman rasmi Facebook, Instagram dan Twitter Sukma XIX Perak 2018 dalam majlis tersebut.

Sokongan dari semua pihak amat diperlukan bagi memastikan Perak menjadi penganjur Sukma yang terbaik dan dalam masa yang sama menjadi juara keseluruhan untuk penganjuran kali ini, kata Zambry.

Sukma XIX Perak 2018 bakal dibantu oleh 3,000 sukarelawan anak Perak. Zambry juga berharap Sukma kali ini akan menjadi yang terbaik dan paling tular di laman sosial.

Sumber berita: Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)