Oleh pada 30 Jan 2019 kategori

Sukan Olimpik adalah karnival sukan terbesar di dunia yang menghimpunkan pelbagai sukan seperti bola sepak, berenang, lumba lari dan sebagainya. Ianya lebih besar daripada Sukan Asia dan Sukan Komenwal kerana di Sukan Olimpik, pesertanya terdiri daripada kesemua negara di seluruh dunia.

Syarat penyertaannya juga begitu ketat dan hanya yang melepasi syarat-syarat tertentu sahaja akan dibenarkan bertanding dalam Sukan Olimpik. Atlet Malaysia juga banyak kali terpilih untuk bertanding dalam sukan ini terutamanya dalam sukan badminton. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejak pengenalan Sukan Olimpik zaman moden pada tahun 1896 dan kemunculan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada tahun 1924, populariti sukan-sukan lain juga turut meningkat. Diadakan setiap 4 tahun, setiap penganjuran Sukan Olimpik biasanya akan menyaksikan pertambahan sukan-sukan baru dan juga pengurangan sukan-sukan tertentu.

Populariti sesuatu sukan sahaja tidak menjamin tempatnya dalam Sukan Olimpik. Sukan skuash dan boling misalnya, tidak pernah dipertandingkan dalam Sukan Olimpik. Perkara ini semestinya merugikan Malaysia memandangkan kita mempunyai ramai atlet hebat dalam kedua sukan ini yang pastinya mampu menyumbangkan pingat buat negara.

Dalam sejarah Sukan Olimpik, terdapat beberapa buah sukan yang boleh dianggap pelik tetapi pernah dipertandingkan. Kali ini pihak Iluminasi ingin berkongsi senarai 5 sukan pelik yang pernah dipertandingkan di Sukan Olimpik. Untuk makluman, sukan-sukan ini tidak lagi dipertandingkan lagi pada masa kini.

1. Pertandingan menembak burung

pertandingan menembak burung

Pada tahun 1900 di Sukan Olimpik Paris, buat pertama kalinya acara menembak burung telah dipertandingkan. Syaratnya mudah, peserta yang menembang burung merpati paling banyak akan diisyhtiharkan sebagai pemenang. Dalam pertandingan itu, hampir 300 ekor burung telah dibunuh.

Malah, kawasan lapang sasar tempat pertandingan itu diadakan turut dipenuhi dengan darah dan bulu burung. Pertandingan seperti ini tentulah telah mendapat kecaman pelbagai pihak terutamanya aktivis pencinta haiwan. Selepas itu, pertandingan menembak burung tidak lagi dipertandingkan dalam sejarah sukan Olimpik sehingga ke hari ini.

2. Renang berirama solo 

renang berirama solo

Nama acara ini sahaja sudah cukup mengelirukan. Namun, pada Sukan Olimpik 1984 yang diadakan di Los Angeles, acara renang berirama diperkenalkan dan terdapat dua kategori iaitu solo dan duet. Ianya turut dianjurkan 4 tahun kemudian di Sukan Olimpik Seoul.

Acara renang berirama secara solo ini kali terakhir dianjurkan pada tahun 1992. Pihak jawatankuasa penganjuran Olimpik akhirnya sedar bahawa acara solo ini seakan-akan tidak logik kerana peserta tidak perlu berenang secara berirarama dengan peserta lain, menjadikannya sukar untuk memberi penilaian kepada mereka. Pada tahun 1996, kategori solo ini digantikan pula dengan kategori renang berirama berkumpulan di Sukan Olimpik Atlanta.

3. Renang berhalangan

renang berhalangan

Mungkin anda biasa mendengar mengenai acara lari berhalangan (obstacle race) walaupun ianya tidak pernah dianjurkan di Sukan Olimpik. Namun, pada tahun 1900, buat pertama kalinya acara renang berhalangan telah dipertandingkan.

Dalam acara ini, 12 orang atlet daripada 5 negara telah menyertainya. Setiap peserta dikehendaki menghabiskan renangan sejauh 200 meter. Sepanjang laluan, mereka perlu melepasi pelbagai halangan seperti memanjat tiang, mendayung sampan dan berenang melalui bawah bot sebelum sampai ke garisan penamat.

4. Lompat jauh berkuda

lompat jauh berkuda

Dalam sukan berkuda atau equestrian, terdapat beberapa kategori yang dipertandingkan antaranya Dressage, Eventing dan Show jumping. Namun, pada tahun 1900 di Sukan Olimpik Paris, kategori lompat jauh berkuda telah dipertandingkan buat pertama kalinya.

Acara itu menyaksikan atlit Belgium Belgian Constant Octave van Langhendonck bersama kudanya ‘Extra-Dry’ telah mendapat pingat emas. Sejak daripada itu, kategori ini tidak lagi dipertandingkan dalam mana-mana penganjuran Sukan Olimpik sehingga ke hari ini.

5. Lumba bot

motor bot olimpik

Tahun 1908 di Sukan Olimpik London menyaksikan buat pertama kalinya dalam sejarah penganjuran Sukan Olimpik acara sukan bermotor telah dianjurkan. Walau bagaimanapun, ianya bukan acara perlumbaan motorsikal atau kereta, sebaliknya lumba bot.

Setiap peserta dikehendaki menghabiskan 5 pusingan dengan jarak keseluruhan 8 batu nautika. Malangnya, ketika pertandingan sedang berlangsung, cuaca dan ombak yang ganas menyebabkan hanya satu peserta sahaja menamatkan perlumbaan.

Kredit:

  1. Olympics
  2. CNN
  3. Business Insider



Hakcipta iluminasi.com (2017)