Kredit foto: Instagram Janna Nick & Instagram Sufian Suhaimi
Sufian Suhaimi menyifatkan nyanyian versi Janna Nick untuk single baharunya, Di Matamu mempunyai tarikan tersendiri kerana diolah dengan cara nyanyian yang unik.
Dalam pada itu, Sufian mengutuk sikap sesetengah netizen yang merendahkan pelakon itu kerana hakikatnya, kata Sufian, setiap penyanyi mempunyai ekspresi tersendiri dalam mengalunkan melodi sesebuah lagu.
Kredit foto: Instagram Janna Nick
"Tak baik cakap begitu (menyanyi sumbang), masing-masing ada rendisi sendiri untuk cover lagu Di Matamu, Janna Nick pun ada versi tersendiri.
"Saya suka dengar bila ramai orang cover (nyanyi semula) dan cuba improvise mengikut cara mereka,” kata Sufian kepada Mstar Online.
Sufian menjawab pertanyaan berkaitan versi nyanyian Janna untuk lagu Di Matamu yang mendapat kecaman ramai.
Rata-rata beranggapan kononnya vokal pelakon muda itu sumbang dan telah merosakkan lagu berkenaan.
Sementara itu, penyanyi Terasa Ada ini menzahirkan penghargaan buat para peminat yang memberi sokongan penuh kepada single baharunya meskipun belum lagi dilancarkan secara rasmi.
Kredit foto: Instagram Sufian Suhaimi
"Alhamdulillah. Ia adalah permulaan yang baik untuk lagu ni. Walaupun belum lancar secara rasmi tapi versi yang tidak rasmi sudah mencecah lebih lapan juta tontonan YouTube dalam masa tiga minggu.
"Terima kasih kepada semua yang menyokong terutamanya rakan-rakan artis, rakan media, dan peminat,” katanya.
Di Matamu dalam versi rakaman studio akan menemui peminat mulai esok.
Bercerita lanjut, Sufian akui berasa teruja, bercampur gementar dalam menanti reaksi para pendengar.
"Bimbang pun ada tapi dalam masa yang sama teruja. Saya harap orang ramai boleh terima lagu ini dan sesuaikan dengan hidup masing-masing,” katanya.
Sebelum ini, lagu itu menjadi sensasi dan tular apabila liriknya dikatakan mempunyai kaitan dengan konflik perhubungan beliau dengan bekas tunangnya, aktres Elfira Loy.