Oleh pada 11 Mar 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Sufian Suhaimi

Penyanyi Sufian Suhaimi menafikan faktor wang hantaran menjadi penyebab pertunangannya dengan aktres Elfira Loy putus.

Sufian mengatakan pelbagai spekulasi yang timbul sebelum ini hanyalah rentetan tindakan sesetengah pihak dalam usaha menjadi orang pertama membongkarkan isu masalah pertunangan mereka.

Terdahulu, timbul kisah kononnya Sufian tidak mampu membayar jumlah wang hantaran tinggi yang diminta keluarga Elfira.

"Saya percaya, dalam hal sebegini, banyak pihak seperti mahu menjadi yang pertama. Seolah-olah, mereka tahu segala-gala yang berlaku.

"Tidak kurang juga yang membuat andaian dan kesimpulan sendiri, termasuklah dalam soal wang hantaran. Sedangkan, hakikatnya tiada isu pun dalam perkara itu.

"Silalah berhenti daripada membuat kesimpulan sendiri dan hormatilah keluarga saya serta Elfira," katanya kepada portal BH Online.

Jujurnya, kata pelantun lagu Terakhir ini, tiada jumlah wang hantaran tepat yang ditetapkan, namun dia ada diberikan beberapa syarat lain jika benar-benar ingin memperisterikan gadis muda itu.

"Sebelum berkahwin dengan anaknya, ibu Elfira ada meletakkan syarat seperti saya perlu menghafal Surah al-Mulk, selain menabung sejumlah wang setiap hari," katanya.

Dalam perkembangan lain, sesetengah pengguna laman sosial mempersendakan nama beliau dengan penggunaan tanda pagar #terasaadawalausekejap, berdasarkan lagu popularnya, Terasa Ada.

Mengulas hal itu, Sufian berkata, fokusnya kini adalah dalam berhadapan kontroversi yang timbul, selain membersihkan nama baiknya yang sudah tercalar.

"Dalam hal mempersendakan ini, ia tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka. Begitupun, saya maafkan mereka kerana masing-masing tidak tahu apa yang berlaku," katanya yang kini menghitung hari dalam menantikan pelancaran single keempatnya, Di Matamu.

Di laman Youtube, video lirik tidak rasmi lagu itu menduduki tangga ketiga carta trending Malaysia. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)