"Aku malaslah nak dengar ceramah Israk Mikraj, sama je setiap tahun. Lagi lagi ulas isu yang sama. Tak ada sudut pandang yang lain ke?" Fikri mengomel sendirian sambil menonton Anugerah Meletop Era.
"Apa maksud kau isu yang sama tu?" Soal Azmi dari meja makan. Masak benar beliau akan sikap sahabatnya itu. Jika tak kenali betul betul, pasti kena cop Liberal atau Sekular. Matilanak!
"Ya lah. Lagi lagi cerita pasal Nabi diperjalankan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Dah la kadang kadang depa dok petik hadith palsu. Geram betul aku. Ustaz ustaz ni tak kaji dulu ke kesohehan riwayat tu. Paling kuat pun, depa kaitkan dengan isu Palestin." Fikri jujur menerangkan. Sambil menjawab soalan sambil mengomel pakaian yang digunakan oleh Neelofa ketika mengacara.
BESARKAN TEKS A- A+
Azmi terdiam sejenak dan cuba mencari ilham. Seminit juga termenung. Tiba tiba fikirannya menerawang point yang telah diberi oleh Ustaz Pahrol Juoi dalam Majalah I beberapa tahun lepas. Yes!
"Fikri, aku nak tanya kau satu soalan. Kau tahu kan masa Nabi nak ke Masjidil Aqsa tu Nabi naik buraq. Betul kan?" Azmi memulakan.
"Aku tahu. Dah berpuluh kali aku dengar dari kecil." Fikri menjawab sambil matanya menonton persembahan Faizal Tahir pula.
"Ok. Macam ni Fikri. Buraq ni kita anggap satu kenderaan yang berteknologi tinggi. Bila Nabi menungganginya, cepat saja sampai ke Masjidil Aqsa. Jadi, aku nak tanya, apakah ciri ciri yang ada Nabi Muhammad?"
"Nabi ni jujur, amanah, baik, akhlak dipelihara, contoh ikutan." Fikri menjawab sambil badannya menoleh ke arah Azmi.
"Maksudnya sekarang ini, disebabkan Nabi ada ciri ciri yang baik dalam dirinya, maka beliau layak lah kan menaiki kenderaan yang awesome ketika tu?" Azmi menduga.
Fikri semakin tertarik. "Ok, then."
Azmi meneruskan. "Baik, begini. Kita anggap buraq ini seperti pesawat tempur yang paling canggih ketika ini. Laju terbangannya, tepat bidikannya. Apa akan jadi, jika teknologi seperti ini digunakan oleh pihak yang jahat?"
"Jadilah macam Amerika tu. Bom sana, bom sini. Zionis Yahudi pun sama." Fikri menjawab mengikut kefahaman semasa beliau.
"Ha, tahu pun. Setuju tak kalau aku cakap yang layak mengendalikan segala bentuk teknologi di dunia adalah mereka yang sama ciri seperti Nabi Muhammad?"
"Maksud kau? Jelaskan lagi boleh." Fikri mahukan penjelasan. Jarang benar beliau mendengar dengan baik tanpa menyampuk. Ternyata, huraian Azmi sangat menarik hatinya.
"Maksudnya macam ni. Buraq bukan sahaja boleh dianggap seperti pesawat tempur masa kini, tapi apa jua teknologi yang memudahkan kehidupan manusia. Sebagai contoh, komputer yang kita gunakan. Handphone. Kereta. Tak kisahlah apa pun, yang pasti ia alat yang memudahkan kehidupan kita seharian. Kau bayangkan kalau segala jenis teknologi ini digunakan oleh mereka yang busuk hatinya, maka yang ada handphone akan menyalah gunakannya.
Kau tengok sahajalah remaja zaman ni. Ada handphone, pergi layari porn, main games sampai ketagih. Jangan kata remaja, yang dah kahwin pun terjebak dengan benda benda tak elok. Balik dari reunion alumni sekolah, dok mesej lucah dengan bini dan laki orang. Lepas tu pandai pula salahkan Yahudi rosakkan umat Islam menggunakan teknologi.
Kau nampak tak bahananya bila 'buraq' yang digunakan oleh orang yang tak ingat Tuhan?"
"Fuhh.. power penerangan kau. First time aku dengar. Terima kasih Azmi." Nadanya seakan akan berpuas hati penerangan yang Azmi berikan.
"Alhamdulillah. Apa yang aku tahu, aku kongsikan. Israk dan Mikraj ni bukan sekadar kita takjub dengan hal hal ajaib yang berlaku. Tapi ianya memberi kita pengajaraan lebih dari itu. Itulah peristiwa saatnya Nabi dihiburkan oleh Allah melihat kebesaranNya. Nabi diangkat sehingga ke langit untuk bertemu Sang Maha Pencipta. Entah berapa galaksi yang Nabi tempuhi dan lalui.
Kau tahu, setiap satu galaksi memiliki 200 bilion bintang. Sedang galaksi seperti Bima Sakti ini pun, berbilion lagi di alam semesta. Allahu. Inilah yang menguatkan lagi untuk Nabi berdakwah. Tidak pernah putus asa kerana Nabi tahu tentang hakikat kebesaran Tuhan.
Kita pun kena cubalah pandang sekeliling kita, keajaiban dunia, pembuktian sains, perkembangan teknologi dan lain-lain, sebagai salah satu tanda kebesaran Tuhan. Sebagai manusia memang kita selalu terlupa, sebab tu setiap tahun ceramah walau ulang benda sama pun tak ada gunanya untuk diri kita, kalau kita merasakan diri kita pandai. Walhal kita ni insan kerdil sahaja."
Penulisan asal : Akhi Fairuz