Pada masa kini, sos tomato hanyalah sekadar bahan penambah perisa. Ianya digunakan sebagai salah satu bahan masakan atau ditambah ketika pada makanan yang sudah dimasak seperti mi goreng, nasi goreng dan sebagainya.

Secara umumnya, rakyat Malaysia lebih menggemari sos cili kerana rasanya yang pedas sementara kanak-kanak pula lebih cenderung untuk memilih sos tomato kerana rasanya yang masam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi masyarakat Barat pula, tidak kira orang dewasa atau kanak-kanak, sos tomato menjadi pilihan kerana mereka tidak menggemari makanan yang pedas. Di Amerika Syarikat, 97% daripada setiap rumah dikatakan memiliki sos tomato sebagai bahan penambah rasa.

Bercerita perihal sos tomato, tahukah anda sos tomato dahulunya pernah dianggap sebagai ubat?

Asal-usul sos tomato

sejarah sos tomato

Satu ketika dahulu, sos makanan (dipanggil ketchup dalam bahasa Inggeris) hanyalah diperbuat daripada ikan atau cendawan, dan beberapa bahan lain. Perkataan ketchup dikatakan berasal daripada bahasa Hokkien, kê-tsiap, nama sos yang dihasilkan daripada ikan yang ditapai.

Sebelum sampai ke Amerika Syarikat, sos ini banyak digunakan sebagai bahan penambah perisa di pelbagai negara Asia seperti Vietnam, Thailand, Filipina dan sebagainya. Malah, bahan-bahan yang digunakan juga sedikit berlainan bagi setiap kawasan seperti cendawan, kacang, ikan dan sebagainya.

Suatu ketika dahulu, sos ini menjadi pilihan para pedagang kerana ianya mampu bertahan dalam jangka masa lama dan tidak mudah rosak. Namun, pada tahun 1834, Dr. John Cooke menambah tomato ke dalam sos ini, lalu terhasillah sos tomato. Oleh itu, secara umumnya "ketchup" kini merujuk kepada sos tomato.

Penjualan sos tomato sebagai ubat

pill ketchup

Dr. John Cook merupakan Presiden di Jabatan Perubatan di Willoughby University, Ohio. Dengan penambahan tomato ini, sos ini didakwa lebih berkhasiat kerana mengandungi pelbagai vitamin dan antioksidan.

Malah, beliau turut mendapatkan Archibald Miles, seorang jurujual ubat yang turut menjual ubatnya yang popular ketika itu “American Hygiene Pill” untuk menjadikan resipi sos tomatonya sebagai ubat dalam bentuk pil. Ubat yang dihasilkan ini didakwa mempunyai pelbagai kelebihan untuk mengubati pelbagai penyakit seperti:

  1. Cirit-birit
  2. Masalah ketidakhadaman makanan
  3. Jaundis
  4. Rheumatism

Ternyata ramai yang mempercayai dakwaannya itu kerana ramai orang yang mengambil sos tomato sebagai ubat untuk mengubati penyakit yang dialami mereka. Kejayaan dan populariti pil tomato yang dihasilkan oleh Archibald Miles ini menyebabkan ramai pihak mula menirunya.

Bukan itu sahaja, malah pihak yang meniru idea pil tomato ini mendakwa bahawa pil yang mereka jual turut sama boleh menyembuhkan pelbagai penyakit seperti rheumatism, selsema, demam dan lain-lain. Malangnya, kebanyakan pil tomato tiruan ini sebenarnya langsung tidak mempunyai sebarang kebaikan.

Malah, pil-pil ini langsung tidak mempunyai intipati tomato di dalamnya sebaliknya hanya mengandungi julap, iaitu bahan pelawas. Dakwaan demi dakwaan yang mengarut ini menyebabkan industri pil tomato ini akhirnya runtuh menjelang tahun 1840.

Sos tomato pada masa kini

heinz ketchup

Pada masa kini, sos tomato biasanya mengandungi tomato dan cuka sebagai bahan utama. Selain itu, beberapa bahan lain juga turut ditambah sebagai bahan penambah rasa seperti gula. Dalam erti kata lain, sos tomato bukanlah sejenis makanan yang sihat.

Sekiranya anda mahukan segala kebaikan yang terdapat pada sebiji tomato, digalakkan memakan tomato yang belum diproses. Tomato sememangnya terbukti mempunyai pelbagai kebaikan untuk kesihatan jantung dan mampu mengurangkan risiko mendapat beberapa jenis penyakit kanser.

Kredit:

  1. Smithsonian Mag
  2. Quora
  3. National Geographic
  4. Food Beast



Hakcipta iluminasi.com (2017)