Penyakit kusta mungkin penyakit yang jarang yang didengari pada masa kini. Penyakit ini juga dikenali sebagai Hansen, sempena nama saintis yang membuat penemuan saintitik mengenainya pada tahun 1873 iaitu oleh Dr Armaeur Hansen dari Norway.

Penyakit ini adalah disebabkan serangan bakteria Mycobacterium Leprae. Penyakit ini mudah merebak melalui pernafasan dan boleh menyerang saraf periferal serta tisu lain seperti saluran pernafasan dan mata. Kebanyakan kes mengenai penyakit ini direkodkan di kalangan negara-negara membangun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Rawatan untuk pesakit kusta

sejarah kusta di malaysia

Di Malaysia, kes penyakit kusta direkodkan seawal tahun 1926. Pada peringkat awal, tiada rawatan yang diberikan kepada penghidap penyakit ini. Oleh itu mereka biasanya diasingkan dan disingkirkan oleh ahli keluarga mereka.

Pesakit juga biasanya tidak dibenarkan keluar rumah untuk bergaul dengan masyarakat kerana penyakit ini sangat mudah berjangkit. Oleh itu, suatu ketika dahulu pesakit kusta akan berkumpul sesama mereka sahaja.

Segalanya berubah apabila Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menemui penawar bagi penyakit kusta ini. Rawatan yang dikenali sebagai Multidrug Theraphy (MDT) ini telah diperkenalkan pada tahun 1983.

Rawatan MDT ini melibatkan penggunaan 3 jenis ubat antibiotik yang berlainan iaitu Clofazimin, Dapson dan Rifampicin. Pengambilan ketiga-tiga ubat ini dikatakan sangat berkesan untuk membunuh bakteria ini malah pesakit juga tidak perlu khuatir penyakit ini akan menyerang mereka semula.

Kewujudan pusat kawalan kusta kedua terbesar di dunia

lembah harapan

Sebelum penemuan rawatan MDT oleh WHO, pesakit kusta biasanya akan diasingkan daripada ahli keluarga mereka. Oleh itu, wujudlah beberapa pusat penempatan pesakit kusta di seluruh negara pada ketika itu antaranya di Pulau Ketam (Klang), Setapak (KL), Pulau Pangkor (Perak), Kota Bharu (Kelantan) dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1926, kerajaan British yang memerintah pada ketika itu telah membina satu pusat penempatan yang dikenali sebagai Lembah Harapan (Valley of Hope). Lembah Harapan ini kini berada di kawasan Sungai Buloh.

Setelah Lembah Harapan dibuka, pesakit-pesakit kusta daripada semua kem perkampungan kusta seluruh negara telah ditutup dan dipindahkan ke sini. Dibuka pada tahun 1926, Lembah Harapan pernah mencatatkan rekod seramai 2000 orang pesakit kusta ditempatkan disini.

perkampungan lembah harapan

Penempatan semula kesemua pesakit kusta ke Lembah Harapan ini menjadikannya pusat kawalan kusta kedua terbesar dunia pada ketika itu. Sementara itu, Pulau Cilion di Filipina pula merupakan perkampungan kusta terbesar dunia pada ketika itu.

Selari dengan kewujudan Lembah Harapan, Enakmen Kusta 1926 juga telah diperkenalkan bagi mengawal penyakit ini daripada terus merebak. Menurut enakmen ini, setiap pesakit kusta wajib ditempatkan di Lembah Harapan. Malah, pesakit juga dilarang keras daripada menggunakan segala kemudahan awam dan menginap di hotel bagi mengelakkan penyakit ini daripada tersebar.

Lembah Harapan, perkampungan serba lengkap

valley of hope

Walaupun asalnya dibina sebagai pusat pengasingan bagi pesakit kusta, kawasan Lembah Harapan ini sebenarnya serba lengkap dengan pelbagai kemudahan. Pusat penempatan ini meliputi kawasan seluas hampir 230 hektar dengan pelbagai tanaman antaranya getah dan kelapa sawit.

Malah, kerana stigma dan kebimbangan masyarakat luar bahawa penyakit kusta boleh berjangkit melalui sentuhan, maka kerajaan juga telah memperkenalkan matawang khas bagi penduduk di perkampungan ini. Pengenalan wang ini juga bagi memudahkan penduduk disini melakukan urusan jual beli.

Selain itu, terdapat sebuah bas yang disediakan bagi penduduk perkampungan ini. Dikenali sebagai Morris, bas ini disediakan kerajaan bagi memudahkan penduduk bergerak dan bersiar-siar dalam kawasan perkampungan ini. Dalam erti kata lain, Lembah Harapan bukan setakat pusat pengasingan semata-mata, tetapi sebuah kawasan perkampungan serba lengkap.

pusat kawalan kusta negara

Selain kemudahan hospital, kawasan perkampungan ini juga lengkap dengan pusat beribat antaranya masjidd, kuil dan gereja. Malah, kawasan ini juga mempunyai sekolah sendiri.

Kini, Lembah Harapan dikenali sebagai Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN). Tidak seperti dahulu, perkampungan ini sekarang kurang meriah dengan dianggarkan hanya terdapat kira-kira 100 orang pesakit ditempatkan di kawasan ini. Selain dijadikan sebagai pusat penyelidikan kusta, kawasan ini juga menjadi hab jualan tumbuh-tumbuhan dan pokok bunga daripada bekas pesakit kusta.

Kredit:

  1. Jabatan Warisan Negara
  2. Akhbar Selangor Kini. Keluaran 20 - 29 Ogos 2018
  3. Utusan
  4. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)