Ketika syarikat lain berlumba-lumba menghasilkan kapal terbang terpantas, canggih dan besar, syarikat Stratolaunch Systems Corporation daripada Amerika Syarikat terus mendahului kedudukan kapal terbang terbesar dengan penciptaan kapal terbang mereka yang diberi nama Stratolaunch.

konsep kapal terbang paling besar di dunia

Namun, Stratolaunch bukanlah projek baru sebaliknya telah diumumkan sejak tahun 2011 lagi. Ianya merupakan idea 2 individu hebat iaitu Paul Allen, pengasas bersama syarikat Microsoft dan Burt Rutan, pengasas syarikat Scaled Composites. Keduanya pernah bekerjasama sebelum ini dalam  projek SpaceShipOne.

Diumumkan pada tahun 2011, ianya mengambil masa hampir 8 tahun sebelum Stratolaunch membuat penerbangannya yang pertama pada bulan April 2019 baru-baru ini di Mojave Air and Space Port. Kapal terbang ini berjaya mencapai ketinggian 4,600 meter dan kelajuan maksimum 305km/jam dalam penerbangan yang mengambil masa 2 jam 29 minit itu.

Objektif penciptaan Stratolaunch

stratolaunch

Tidak seperti pesawat komersial biasa yang membawa penumpang daripada suatu destinasi ke destinasi yang lain, matlamat dan objektif penciptaan Stratolaunch lebih besar. Ianya dirancang sebagai pesawat yang bukan sahaja membawa, tetapi menjadi pusat pelancaran roket ke satelit pada masa hadapan.

Stratolaunch berharap dapat membawa roket seberat 250-ton yang dimuatkan dengan satelit ke ketinggian 35,000 kaki ke dalam ruang stratosfera.  Setelah berada di ketinggian yang diingini, enjin roket akan menyala, membolehkan ianya dilancarkan ke angkasa lepas dengan membawa bersamanya satelit.

Pada masa ini, hanya terdapat beberapa kemudahan pilihan seperti Pusat Angkasa Kennedy di Florid yang boleh mengendalikan pelancaran roket. Ini bermakna terdapat persaingan yang ketat untuk penjadualan yang menyebakan masa menunggu yang lama. 

Sementara itu, terdapat banyak landasan kapal terbang yang boleh digunakan untuk melakukan penerbangan. Oleh itu,  Stratolaunch diharapkan akan memberikan lebih banyak pilihan dan masa yang lebih fleksibel bagi syarikat yang ingin melancarkan satelit ke orbit.

Sejarah penciptaan Stratolaunch

kapal terbang stratolaunch 926

Walaupun projek Stratolaunch ini hanya diumumkan pada tahun 2011, kerja-kerja pembinaanya dikatakan telah bermula setahun lebih awal. Pesawat ini menggunakan 6 buah enjin dan 28 buah roda pendaratan yang telah diubah suai yang sebenarnya direka untuk Boeing 747.

Malah, syarikat penerbangan aeroangkasa Scaled Composites yang bekerja dengan Stratolaunch untuk membina pesawat ini telah dapat menjimatkan wang dengan mengubahsuai 3 rangka pesawat Boeing 747 untuk menggabungkannya bersama-sama.

konsep kapal terbang awam terbesar

Penggabungan 3 buah pesawat Boeing ini menjadikan kerangka pesawat Stratolaunch ini begitu lebar dan boleh dianggap sebagai pesawat yang terbesar di dunia secara keseluruhannya. Walau bagaimanapun, terdapat pesawat lain yang mempunyai ukuran panjang yang melebihi kerangka badan pesawat Stratolaunch ini.

Dengan kelebaran pesawat ini, ia mengisi hampir setiap sudut hangar sekitar 100,000 kaki persegi di Mojave Air and Space Port. Berat maksimumnya sewaktu pelancaran 540,000 kg. Dengan saiznya ini, ia boleh membawa lebih dari 230,000 kg muatan. dan memerlukan landasan sekurang-kurangnya 3,700 meter untuk melakukan penerbangan.

Matlamat Stratolaunch yang berubah-ubah

hangar kapal terbesar dunia 219

Sepanjang lebih 9 tahuh semenjak pengumuman mengenai projek ini, matlamat penciptaan Stratolaunch dikatakan telah beberapa kali berubah. Pada mulanya ia bertujuan untuk membawa roket SpaceX Falcon 9 yang diubahsuai ke angkasa, tetapi dibatalkan apabila kedua-dua syarikat itu menamatkan kerjasama.

Menjelang tahun 2016 ia telah menemui rakan kongsi baru, Orkital Orbital milik Northrop Grumman yang membina roket Pegasus XL. Stratolaunch sekali berharap dapat membina enjin roket dan roket sendiri, tetapi akibat beberapa masalah mereka terpaksa menghentikan projek itu dan terpaksa membuang beberapa pekerja awal tahun ini.

Masa depan yang samar-samar

pencipta stratolaunch 882

Salah seorang individu kuat yang mencetuskan idea pembinaan Stratolaunch adalah Paul Allen. Walau bagaimanapun, setelah kematiannya pada tahun lepas ramai yang menjangka projek ini turut sama akan berakhir.

Walaupun terdapat wakil daripada syarikat milik Paul Allen mengatakan jutawan tersebut telahpun mengasingkan sebahagian wangnya untuk pembiayaan bagi projek ini, masa depan projek ini masih samar-samar. Jurucakap syarikat ketika ditanya juga tidak dapat memberi respon bilakah Stratolaunch merancang untuk menyelesaikan penerbangan tambahan.

Selain itu, projek ini juga perlu melepasi halangan utama iaitu  pengesahan dari Federal Aviation Administration sebelum ia dapat membawa roket dan satelit ke ruang angkasa.

Kredit:

  1. Space News
  2. Wikipedia
  3. Wired
  4. Stratolaunch


Hakcipta iluminasi.com (2017)