siti sarah menangis kecewa dengan alina hassan 1

Kredit foto: Instagram Siti Sarah & Instagram Alina Hassan

Dek kerana kesilapan Alina Hassan sewaktu beraksi di pentas separuh akhir Mentor Otai, penyanyi Siti Sarah selaku mentornya, hilang kawalan emosi.

Malah peluang kedua yang ditawarkan juri tetap, Edry Abdul Halim dan Mark Adam kepada Alina tetap tidak dapat memujuk rasa ralat Sarah.

"Sukar untuk saya kawal reaksi wajah kerana jujurnya saya terlalu kecewa dengan beberapa kesilapan dilakukan oleh Kak Alina.

"Begitupun, saya tetap akan menggalas tanggungjawab sebagai mentor sehingga ke minggu akhir kerana itulah janji saya sejak awal-awal lagi.

"Tidak tahu di mana silapnya? Saya sudah sedaya-upaya melakukan tugas sebagai mentor bagi memastikan Kak Alina membuat persembahan dengan baik minggu ini," luah Sarah kepada BH Online.

Alina yang mempertaruhkan lagu Sembilu dan I Have Nothing, ketika itu hanya mampu mengakui kesilapan yang dilakukan hingga Sarah mengalirkan air mata di balik pentas.

Akui gementar menjadi antara faktor penyumbang kepada kemerosotan prestasinya, Alina turut menyifatkan wujud beberapa punca lain yang mengakibatkan fokusnya terganggu.

Namun, jauh di lubuk hatinya dibelenggu rasa bersalah mengenangkan reaksi penyanyi Jangan Kau Mimpi itu yang kelihatan betul-betul terkesan.

siti sarah menangis kecewa dengan alina hassan 2

Kredit foto: BH Online

"Saya diselubungi rasa bersalah apabila gagal memberikan yang terbaik pada malam ini (semalam). Sehinggakan saya tidak dapat hendak memandang wajah Sarah. Dia bukan saja mentor, malah idola saya.

"Saya berharap Sarah tidak berputus asa untuk terus mendidik saya sehingga ke pentas final, selain terus memberikan kepercayaan kepada saya. Hanya ungkapan maaf mampu ucapkan kepadanya," kata Alina.

Alina menjadi antara finalis peringkat akhir yang bakal berlangsung pada Ahad ini, selain AJ, Aznie dan Elvira untuk merebut takhta juara dengan ganjaran wang tunai RM100,000.


tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)