Kredit foto: Instagram Siti Sarah

Penyanyi Siti Sarah Raisuddin berkata, beliau menawarkan peluang kepada juara Sinaran Passport Kegemilangan 1996, Alina Hassan menjadi protegenya bukanlah hanya atas dasar simpati semata-mata.

Sebaliknya, Sarah melihat Alina perlu dibantu kerana mempunyai bakat besar yang layak diketengahkan.

Malah pemilihan Alina turut mendapat campur tangan daripada suaminya, Shuib.

"Tidak dinafikan ketika sesi uji bakat, yang datang semua boleh menyanyi. Tapi yang saya pilih adalah mereka yang berjaya menjentik hati saya.

"Masa saya dengar kak Alina nyanyi, saya rasa seperti macam kenal dia. Tapi bila saya tengok pekerjaan terkininya, saya memang terkejut dan sebak.

"Kak Alina ada penjiwaan nyanyian yang sangat berat dan kebanyakan bakat baru tak ada faktor itu.

"Bila berbincang dengan team saya, termasuk Shuib, Shuib kata kepada saya, 'ibu kena tolong kak Alina'.

"Sejujurnya kisah pekerjaan dan hidup dia adalah nombor dua dan tiga tapi bakat dan nyanyiannya adalah yang sebab pertama saya pilih dia," katanya dalam sesi FB Live bersama Sinar Harian.

Sarah memilih Alina bersama seorang lagi bakat pilihannya, Ayie yang merupakan seorang anggota polis.

Dalam pada itu, penyanyi Jangan Kau Mimpi ini berkata, meskipun Alina berani tampil untuk mengenengahkan kembali namanya dalam persada hiburan, namun keyakinan diri yang dimiliki bekas peserta Kilauan Emas itu nyata sudah berkurangan.

pemilihan alina hassan mentor otai dapat campur tangan suami 2

Kredit foto: Instagram Siti Sarah

"Bila saya jumpa, keyakinan diri dia memang kurang. Tapi saya nampak semangat dia, sebab itu saya yakin untuk bantu dia dan dia juga perlukan seseorang untuk bimbing dia kembali.

"Saya pernah cakap pada kak Alina, kalau seorang memang susah kita nak pergi jauh. Tapi bila kita ada kumpulan, mereka akan tegur kita supaya kita ada pembaharuan," katanya.

Mengimbau episod duka perjalanan karier seni Alina yang pernah menyepikan diri daripada dunia seni, Sarah berkata, kemunculan semula ibu kepada empat orang anak itu adalah atas dasar minatnya yang mendalam dalam bidang nyanyian.

"Selepas berkahwin, dia ambil keputusan untuk memberi tumpuan pada keluarga. Tapi minatnya tak pernah padam. Walaupun dia buat kerja lain tapi bila kita ada bakat, walaupun tak nak menyanyi lagi, tapi akhirnya kita tetap akan nyanyi.

"Untuk masih boleh berdiri di atas pentas tanpa bantuan sesiapa memerlukan kekuatan yang hebat dan saya sangat bangga dengan dirinya.

"Macam saya juga semasa lama menghilang, kerana suara saya juga hilang, saya tetap nyanyi juga. Jawapan ini mungkin sama pada semua penyanyi, tapi itulah kenyataannya," dedahnya.

Diajukan pertanyaan bagaimana beliau hendak membimbing seseorang yang lebih berusia, Sarah mengatakan kedua-dua mereka akan berkongsi pengalaman masing-masing untuk manfaat bersama.

pemilihan alina hassan mentor otai dapat campur tangan suami 3

Kredit foto: Instagram Siti Sarah

"Bila suara saya hilang dulu, saya banyak belajar terutamanya secara praktikal. Dulu sebelum menyanyi tak ada nak warm up, tapi bila saya berlatih untuk mendapatkan suara, ia sudah jadi kebiasaan dan rupanya sesi warm up itu bagus sebelum menyanyi.

"Tidak dinafikan pada awalnya saya agak bimbang dan pernah terfikir bagaimana nak membimbing mereka yang lebih berusia dan boleh ke mereka cepat tangkap.

"Tapi bila dah bermula, ternyata kak Alina seorang yang cepat belajar.

"Awal-awal lagi saya dah mintak maaf dan bila berada dalam kelas, kami tak lihat pada faktor umur. Apa yang saya ada dan tahu saya cuba bantu," ujarnya.

Empat penyanyi berpengalaman dipilih sebagai mentor untuk membimbing para peserta, iaitu Siti Sarah, Misha Omar, Tam Spider dan Zarul Husin.

Dikemudikan pasangan hos Haziq Hussni (Hot FM) dan Elly Mazlein, Mentor Otai ke udara secara langsung setiap Ahad, jam 9.00 malam di saluran TV3, dibawakan dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Ganjaran wang tunai RM100,000 menanti juara, RM50,000 kepada pemenang tempat kedua dan RM20,000 untuk tangga ketiga.

Mengenai perkembangan terkini, Sarah akan muncul dengan single baharu tidak lama lagi, sebagai buah tangan kepada para peminat yang merindukan kemunculannya. 

Malah, beliau bakal tampil dengan single bersama Shuib apabila tiba waktu yang sesuai.




Hakcipta iluminasi.com (2017)