bergelar tukang cuci alina hassan diejek rakan artis 1

Kredit foto: Instagram Siti Sarah

Penyanyi Alina Hassan, mendedahkan dirinya, yang berkongsi tentang pekerjaan sebagai tukang cuci sebelum ini, pernah menjadi mangsa ejekan rakan artis.

Maklum sahaja, sebagai penyanyi yang pernah membina nama dengan dua album studio suatu ketika dahulu, tentu saja Alina dianggap tidak patut merendahkan 'martabat' kaum selebriti dengan melakukan pekerjaan sedemikian.

Namun, jauh di sudut hatinya tidak sedikitpun menyimpan rasa kecil hati kerana percaya itulah rezeki dan ketentuan yang ditetapkan ALLAH SWT. 

"Kalau orang tanya saya akan jawab dan bercerita. Diakui ada yang sedih dan simpati, tetapi tidak kurang juga yang memperlekehkan kerja ini. Mereka cakap, saya artis jadi tidak patut jadi tukang cuci.

"Saya fikir balik, pada usia sebegini apa lagi pekerjaan sesuai untuk saya? Kalau tidak bekerja, saya nak makan apa? Jadi, saya anggap cakap-cakap mereka sekadar angin lalu saja.

"Saya tidak perlu malu. Biarlah orang nak cakap apa pun. Bagi saya, pekerjaan ini sangat mulia. Hati saya tenang setiap kali dapat bersihkan tempat kotor seperti tandas. Walaupun gaji tidak banyak, tapi saya puas," katanya kepada Harian Metro.

Semakin mendapat perhatian dalam program realiti Mentor Otai, bekas juara Sinaran Pasport Kegemilangan 2006 ini berkata, dia masih lagi menganggap dirinya sebagai tukang cuci.

Begitupun, akuinya, mentornya, Siti Sarah adalah insan yang paling banyak menabur kata-kata semangat agar bangkit daripada cakap-cakap orang sekeliling.

bergelar tukang cuci alina hassan diejek rakan artis 2

Kredit foto: Instagram Siti Sarah

"Saya sudah sebati dengan pekerjaan ini. Setiap kali Sarah atau suaminya berkongsi sesuatu, saya rasa kerdil. Mereka sangat baik dengan saya," katanya.

Alina, 50, berkata, rasa terasing dalam diri adakalanya membuatkan dirinya terlupa pernah membabitkan diri dalam bidang muzik suatu ketika dahulu.

"Saya hargai sikap ambil berat mereka dan orang sekeliling. Saya tidak menjangka masih ada yang sayang dan kenal saya. Malah, kadang-kadang saya lupa pernah berada dalam industri ini," katanya.

Di kesempatan sama, penyanyi lagu Teratai ini ingin merakamkan penghargaan kepada pihak Seniman dan presidennya, Zed Zaidi, yang menghulurkan bantuan untuk mendapatkan tempat tinggal selepas dia diarahkan keluar daripada rumah sewa baru-baru ini.

"Alhamdulillah, saya bersyukur jika mereka boleh membantu. Malah saya memang mengharapkan bantuan mereka. Itu saja jalan terakhir saya. Terima kasih Seniman," katanya.


tags : , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)