Kredit foto: Sinar Harian

Bekas juara Sinaran Passport Kegemilangan (1996) dan finalis Kilauan Emas (2013), Alina Hassan, 51, membayangkan perjalanan hidupnya yang penuh suka dan duka sejak menyepi daripada bidang hiburan beberapa tahun lepas.

Memperincikan kehidupan sukar yang dilalui, Alina berkata, pelbagai pekerjaan terpaksa dilakukan demi mencari sesuap nasi selepas bercerai dengan bekas suaminya.

Pernah berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di pusat membeli belah Suria KLCC, Alina kemudiannya bergelar tukang cuci untuk menyara kehidupan.

“Saya berkahwin dulu, saya membuat keputusan untuk meninggalkan bidang seni dan memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga. Namun apakah daya jodoh bersama bekas suami tidak panjang dan kami berpisah," katanya kepada portal Sinar Harian menerusi sesi FB Sinar Harian baru-baru ini.

Nyanyian adalah punca rezeki buatnya, justeru bintang yang pernah menempa kegemilangan menerusi dua buah album studio dan lagu Dingin ini, terus menerima tawaran persembahan biarpun dengan bayaran serendah RM100.

“Saya cuba kembali menyanyi, tetapi bukan mudah kerana saya dah lama tinggalkan bidang nyanyian lagipun tawaran pun tak selalu ada. Kalau adapun bayarannya terlalu rendah, di mana saya pernah dibayar sebanyak RM100 ketika menggantikan tempat orang," kongsinya.

Gelaran selebriti bukan penghalang untuk artis bersuara lantang ini mencuba beberapa jenis pekerjaan demi meneruskan hidup.

bekas juara sinaran passport kegemilangan jadi jaga tukang cuci 2

Kredit foto: Sinar Harian

“Jadi saya terpaksa memilih untuk melakukan kerja lain yang mampu memberikan pendapatan tetap termasuklah menjadi jaga di KLCC sebelum masuk program Kilauan Emas dan terkini sebagai tukang cuci,” katanya.

Awalnya, Alina akui terdetik rasa malu mengenangkan jika ada peminat yang perasan dirinya melakukan pekerjaan terbabit.

Namun, semakin hari dia sudah terbiasa sekaligus enggan lagi menghiraukan pandangan masyarakat.

“Tak tahulah sama ada orang perasan atau tidak ketika saya menjalankan kerja-kerja saya itu. Tapi kalau ada yang perasanpun, saya tak ambil peduli kerana perlu survive untuk meneruskan kehidupan saya.

“Mulanya memanglah saya rasa kekok nak buat kerja tu, tapi bila dah lama-lama saya boleh biasakan diri dan merasa puas hati setiap kali dapat melunaskan tanggungjawab yang diberikan itu dengan sebaik yang mungkin,” luahnya.

Biarpun begitu, ia tidak menghalang Alina meneruskan minat dalam dunia nyanyian.

Usaha mengintai peluang akhirnya membawa beliau sebagai protege penyanyi Siti Sarah dalam program realiti terbaharu, Mentor Otai.

“Walaupun tahu keadaan saya sudah tidak sama seperti dulu, tetapi apa salahnya saya mengambil peluang yang ada dan alhamdulillah terpilih menjadi protege Sarah," katanya.

Mengenai perancangan masa hadapan, Alina masih berhasrat meneruskan kerja sebagai tukang cuci.

Namun sekiranya kemenangan berpihak kepadanya, wang ganjaran yang diperoleh akan dimanfaatkan untuk membuka syarikat khidmat pembersihan sendiri.

Beliau teruja untuk memberikan komitmen penuh menjayakan pertandingan nyanyian berkenaan di bawah bimbingan Sarah.

“Kalau ada rezeki menang, saya nak gunakan hadiah kemenangan itu untuk beli sebuah van dan perkakas mencuci kerana saya nak teruskan kerja mencuci tetapi dengan membuka syarikat saya sendiri pula nanti.

“Apa-apa pun, saya nak fokus kepada program Mentor terlebih dulu dan cuba memberikan yang terbaik dengan bantuan dan bimbingan daripada Sarah selaku mentor saya,” katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)