Kredit foto: Beautifulnara & Instagram Alina Hassan

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) akan cuba menyelesaikan isu penyanyi, Alina Hassan, 50, yang sebelum ini mengadu tidak mempunyai tempat tinggal.

Menurut presidennya, Zed Zaidi, pihaknya akan terlebih dahulu mengumpulkan beberapa dokumen daripada Alina, sebelum berpeluang melaksanakan proses mendapatkan rumah untuknya.

peserta mentor otai alina hassan mengadu tiada tempat tinggal ini jawab seniman 2

Kredit foto: Instagram Alina Hassan

“Memandangkan dia sudah buat permohonan kepada DBKL, jadi kami mahu tengok semula salinan borang dan dokumen berkenaan . Jika ada, boleh serahkan dan kami rujuk kepada mereka. Insya-Allah, Seniman boleh usahakan.

“Buat sementara waktu, kami juga boleh bantu carikan rumah terdekat dengan tempat tinggal sebelum ini. Jadi, dia tidak perlu susah payah pindahkan barang.

“Kalau dia tidak ada duit untuk bayar wang pendahuluan, Seniman juga cuba cari penaja untuk selesaikan masalah ini. Persatuan sangat prihatin nasib semua ahli dan sedaya upaya cuba membantu menyelesaikan masalah ditanggung,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata, pihak SENIMAN juga membuka ruang kepada mana-mana ahli untuk berkongsi masalah peribadi yang dialami agar kemelut kehidupan mereka dapat diselesaikan bersama.

Sebelum ini, Seniman bertindak mendapatkan rumah bantuan daripada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk 10 selebriti yang memerlukan.

Terdahulu, Alina dalam kenyataan kepada portal Harian Metro memaklumkan dirinya tidak mempunyai tempat tinggal untuk didiami selepas diarahkan keluar daripada rumah sewanya pada minggu lalu.

Peserta Mentor Otai itu terpaksa menginap di hotel yang disediakan oleh pihak produksi program tersebut buat sementara waktu.

Dalam masa sama, Alina mengadu tidak mempunyai wang secukupnya untuk membayar deposit jika ingin menghuni rumah sewa baru.

Untuk info, Alina merupakan penyanyi profesional yang pernah menempa zaman kegemilangan menerusi dua buah album studio. Bakatnya mendapat perhatian selepas menjuarai program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996.




Hakcipta iluminasi.com (2017)