Oleh pada 16 Aug 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Baby Shima & Instagram Siti Sarah

Wakil pihak pengurusan Baby Shima di Malaysia, MVM Production, Hadi Rumnan menafikan ada unsur gangguan mistik sewaktu kejadian penyanyi itu pengsan selepas beraksi di pentas Big Stage pada Ahad lalu.

Kata Hadi, syarikat pengurusan terlebih dahulu mengambil tindakan berjaga-jaga terhadap Shima bagi mengelakkan sebarang ancaman sejak dia bertanding pada 5 Ogos lalu.

"Apa yang berlaku pada Baby Shima di pentas Big Stage malam tadi bukan kerana unsur-unsur mistik tetapi kerana terlalu penat.

"Memang pihak kami sudah diingatkan sebelum ini untuk memeriksa keadaan tempat itu sejak mula-mula sampai lagi dan tiada perkara yang mencurigakan pun.

"Kami pun tidak terfikir ke arah itu. Apapun, hanya Allah yang tahu jika wujud perkara sebegitu," katanya kepada Astro Gempak.

Di lokasi sama pada tahun 2016, penyanyi Siti Sarah juga pernah mengalami situasi serupa apabila pitam selepas persembahan pertandingan realiti Gegar Vaganza musim ketiga.

Bagaimanapun, Sarah memberitahu dia hanya terlalu lemah dan kehabisan tenaga hingga rebah.

Manakala, konsert kedua Big Stage baru-baru ini kecoh menyaksikan Shima pula pengsan di pentas Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Mendendangkan lagu Ku Tak Akan Bersuara nyanyian asal Nike Ardilla, Shima yang tidak sedarkan diri akhirnya diangkat petugas produksi menuju ke belakang pentas, sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan susulan.

Dalam pada itu, Hadi berkata, dia tetap akan memberikan sokongan penuh kepada Shima untuk meneruskan persaingan.

siti sarah juga alami situasi sama baby shima pengsan kerana gangguan mistik ini jawab pihak pengurusan 2

Kredit foto: Instagram Baby Shima

"Kami akan terus menasihati Baby Shima untuk menjaga diri dan terus mengikut nasihat yang disarankan doktor. Mungkin ada alternatif lain dengan pengambilan booster Vitamin B Complex untuk terus membekalkannya tenaga.

"Dia akan mengadakan persembahan di Makasar dan Palembang pada Sabtu depan dan semua persembahannya di Indonesia sudah berada dalam kontrak bersama syarikat di Indonesia. Cuma kami akan sentiasa memantau keadaannya dari semasa ke semasa," katanya.

Minggu ini Shima bakal berduet dengan Zizi Kirana menerusi lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)