Oleh pada 17 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Astro Gempak & Instagram Baby Shima

"Saya marah kerana sayangkan dia... Saya tahu potensi dirinya dan sudah beri segala-galanya sebelum persembahan."

Demikian kata ratu dangdut, Mas Idayu susulan video 'panas' yang memaparkan dirinya memarahi Baby Shima, peserta negara dalam rancangan realiti, D'Academy Asia, siaran di Jakarta, Indonesia.

Tidak puas hati dengan kualiti persembahan yang ditunjukkan penyanyi muda itu, Mas Idayu yang menginjak usia 48 tahun mengakui amat kesal dan kecewa dengan prestasi Shima.

"Siapa yang kenal saya tahu sikap tegas saya dalam mendidik. Ini kerana bagi saya, dia (Shima) seperti anak saya sendiri. Pasti saya berharap dia memberikan yang terbaik.

"Peminat tidak tahu, saya bersama Shima bersengkang mata sehingga jam 3 pagi sebelum konsert diadakan pada sebelah malam. Kami sama-sama berlatih untuk memberi persembahan terbaik sebagai wakil Malaysia," katanya.

Dalam insiden itu, Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli teruk dihentam juri berkenaan usai persembahan lagu Wulan Merindu pada konsert ketiga pertandingan yang turut disertai peserta dari Asia itu.

Seorang lagi wakil Malaysia ialah anggota kumpulan Forteen, One.

Sementara itu, Mas Idayu yang hampir tiga dekad menceburi dunia seni memberitahu, dia tidak boleh bertolak ansur dengan apa yang digelarkannya sebagai persembahan 'tidak menjadi' itu.

Menurutnya, menyaksikan persembahan Shima, dia berasa malu dengan juri-juri dari negara lain.

"Kita kena sedar peserta dari negara lain memberi persembahan yang sangat bagus dan ada kualiti tersendiri.

"Saya mahu Malaysia mampu memberi saingan dan tidak lemah," katanya.

Penyanyi lagu Robek Hatiku ini mengaku, dia berang kerana Shima mempunyai potensi dalam bidang nyanyian berdasarkan pakej lengkap yang dimiliki.

Tambahnya, dia sedar tanggungjawab untuk mempertahankan peserta Malaysia, namun tidak berdaya menolong wanita itu atas persembahan teruk yang ditampilkan.

"Saya sedih kerana Shima seolah-olah tidak beroleh ilmu yang saya ajar. Kalau saya sanggup bersengkang mata, dia juga perlu sama-sama menghargainya dan mampu memberi persembahan terbaik," katanya.

Mengenai kritikan yang dilontarkan netizen di media sosial, bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia (AF) 2016 ini menganggap peminat tidak tahu cerita sebenar.

"Tidak mengapalah... Mereka tak tahu apa yang berlaku dan ini membantu Shima popular. Pada masa sama, ia juga memperkuatkan karektor saya sebagai juri.

"Kritikan dan hentaman mereka menguatkan lagi saya sebagai juri dan misi membawa nama negara," katanya.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)