Kredit foto: Astro Gempak & Instagram Baby Shima

Penyanyi Baby Shima mencuri perhatian umum selepas jatuh pengsan di pentas program realiti Big Stage malam tadi.

Awalnya disangka gimik, namun selepas beberapa ketika dia tidak sedarkan diri, penonton mula menyedari ia adalah kejadian benar.

Berikutan itu, pihak paramedik menyerbu pentas untuk menghulurkan bantuan.

Beberapa minit kemudian, pengacara Aliff Satar dan Sherry Alhadad memberitahu keadaan terkini Shima yang berada dalam keadaan baik dan telahpun sedarkan diri.

Hasil rawatan yang dijalani di hospital, dikhabarkan Shima berada dalam keadaan kepenatan hingga menyebabkan dia rebah sebelum sempat menerima komen para pengkritik.

Hal itu dimaklumkan oleh pihak pengurusan Shima yang turut mendedahkan kesibukan dihadapi penyanyi ini dalam memenuhi komitmennya sebagai peserta pertandingan berkenaan, serta dalam masa sama perlu menjayakan undangan nyanyian yang telah dipersetujui di negara seberang.

ini punca sebenar baby shima pengsan mengejut di pentas big stage 2

Kredit foto: Astro Gempak

"Shima ada persembahan malam semalam di Semedang, Indonesia dan sampai di Kuala Lumpur pada 3 petang tadi.

"Dia ada mengadu sakit kepala dan pada jam 6 petang tadi, Shima makan panadol.

"Sebelum naik ke pentas melakukan persembahan, Shima mengatakan badannya berada dalam keadaan lemah.

"Namun begitu, dia tetap meneruskan persembahan dan akhirnya pengsan. Saya tak sangka perkara ini terjadi," kata wakil pihak pengurusan Shima kepada portal Astro Gempak.

Difahamkan, penyanyi lagu Tak Sabar itu perlu mendapatkan rehat secukupnya berdasarkan arahan doktor.

Terdahulu, Shima mempertaruhkan lagu Ku Tak Akan Bersuara nyanyian asal Nike Ardila dalam konsert kedua program realiti yang disertai bintang-bintang muda atau BBNU (Budak Baru Nak Up).

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Fara Hezel yang diumumkan sebagai peserta sulung meninggalkan pertandingan.

Manakala, sembilan lagi penyanyi iaitu Sarah Suhairi, Ariff Bahran, Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Tajul, Syafiq Farhain, Baby Shima, Sissy Iman dan Wani Kayrie, diberi peluang untuk meneruskan perjuangan dalam konsert ketiga yang bakal berlangsung minggu hadapan pada Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.




Hakcipta iluminasi.com (2017)