Kredit: Facebook PU Rahmat & Instagram Netflix Korea
Menerusi Facebook, penceramah dan pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Rahmat berharap agar mana-mana golongan Islamis khususnya asatizah dan personaliti media sosial (Influencer) Islamik yang menonton siri Netflix seperti Squid Game dan Money Heist tidak perlu sehingga membuat 'bedah siri'.
"Saya faham jalan ceritanya menarik, terdapat plot twist serta penuh pengajaran. Tetapi, siri tersebut juga menonjolkan adegan seks separuh bogel dan hal-hal haram lain," tegasnya.
Tambahnya, ia telah menjadi hujah apabila terdapat kanak-kanak bawah umur meminta ibu bapa membenarkan mereka menonton siri Netflix kerana dihalang menggunakan kawalan ibu bapa (child lock).
"Tontonlah jika mahu kerana masing-masing sudah dewasa. Tetapi, jangan pula kalian mempromosi secara tidak langsung kerana pengikut (follower) kalian bukan semuanya orang dewasa," ulasnya lagi.
Komen Pilihan
"Itulah antara peranan Netflix. Menormalisasikan kelucahan melampau. Pertama kali saya menonton drama bersiri Money Heist tahun lepas, saya terkejut besar. Saya bukanlah orang yang betul-betul suci. Tetapi, saya tidak sangka adegan seks sebegitu wujud dalam cerita tersebut.
"Drama ini menjadi bualan rata-rata rakyat Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seolah-olah ia suatu drama yang wajib ditonton. Ia membuat saya terfikir, rupanya cerita lucah ini bukanlah satu pantang larang yang hanya ditonton sesetengah orang.
"Mereka yang nampak tinggi ilmu agama juga layan. Mungkin melalui drama-drama sebegini juga telah membuat nafsu seseorang itu membuak-buak sehingga muncul kes-kes yang hangat sekarang ini?," tulis seorang netizen.
Sumber: Facebook PU Rahmat