Orang Malaysia amat bertuah. Selain daripada mempunyai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rasmi, kita juga mempunyai banyak bahasa lain yang boleh digunakan sebagai medium komunikasi.

Namun kemajmukan ini pun, ada keburukannya juga kan? Ramai anggota masyarakat kita kerap tidak konsisten dalam penggunaan bahasa, melompat daripada satu bahasa ke satu bahasa lain tanpa kita sedari. Namun bagi 22,000 ribu penduduk beberapa daerah di Kepulauan Canary, lain pula ceritanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bahasa unik orang Guanches

los guanches kedatangan sepanyol

Suku etnik Guanches yang menetap di Kepulauan Canary sekian lama mempunyai satu sistem komunikasi bersifat unik - mereka mampu berkomunikasi dengan hanya menggunakan bunyi wisel yang dibuat dengan mulut dan ini merupakan satu tradisi warisan nenek moyang mereka. Sistem bahasa wisel yang digelarkan sebagai Silbo Gomero kini, dicipta berasaskan daripada bahasa pertuturan orang Guanche zaman dahulu yang gagal direkodkan catatannya.

Masyarakat Guanche berjaya menterjemahkan kebanyakan bahasa komunikasi mereka kepada bentuk wisel, disebabkan sistem fonetik mereka ringkas, memudahkan terjemahan ke dalam bentuk siulan bergantung kepada tona siulan itu.

silbo gomero tugu peringatan

Bagaimanapun, format asal Silbo Gomero berdasarkan kepada bahasa asal orang Guanche mula pupus pada abad ke 17, selepas kedatangan penjajah Sepanyol ke gugusan kepulauan itu.

Kedatangan orang Sepanyol menyebabkan bahasa orang Guanche sedikit demi sedikit ditinggalkan dan digantikan dengan bahasa penjajah. Orang Guanche yang kreatif mengadaptasikan bahasa wisel mereka, menterjemahkannya berdasarkan kepada bahasa Sepanyol pula. Hebat kan?

Kenapa perlu bahasa siulan di kalangan orang Guanche?

diorama orang guanche

Sistem komunikasi menggunakan siulan ini sebenarnya dibangunkan sebagai satu kaedah mengadaptasikan diri mereka dengan faktor geografi mereka sendiri, yang tinggal dalam kawasan berbukit-bukit.

Orang Guanche memerlukan satu cara untuk berkomunikasi daripada jarak jauh dengan mudah. Berbeza dengan percakapan biasa, bunyi siulan yang dibuat manusia mampu bergerak sehingga 5 km jauhnya, membolehkan individu yang berada dalam kawasan sekitar itu menerima isyarat dengan jelas dan tepat.

kanak kanak cuba silbo gomero

Selepas kedatangan penjajah Sepanyol, bahasa siulan ini memainkan peranan yang cukup besar pada masyarakat mereka.Orang Guanche mula menggunakan bahasa mereka ini untuk berkomunikasi secara rahsia sesama mereka, tanpa diketahui pegawai-pegawai tentera Sepanyol yang bertugas mengawal jajahan mereka.

Hampir pupus sebelum diselamatkan

kelas silbo gomero

Malangnya, bahasa Silbo Gomero mula berdepan kepupusan pada era 1950-an, selepas tekanan ekonomi pada masyarakat Guanche memerlukan mereka mula mengembara mencari haluan baru menyebabkan penggunanya tidak lagi mengamalkannya. Perkembangan teknologi yang memudahkan komunikasi juga menyebabkan bahasa itu semakin kurang digunakan.

Berikutan peningkatan taraf hidup yang mengubah hidup mereka, orang Guanche yang kini semakin ramai berpendidikan dan berpendapatan baik mula menganggap penutur bahasa warisan mereka ini adalah mereka yang datang daripada status lebih rendah menyebabkan stigma. Persepsi buruk ini menyebabkan ramai yang enggan menggunakannya, takut digelarkan bermacam gelaran buruk.

Bagaimanapun, kesedaran masyarakat Guanche untuk memelihara bahasa ini mula digerakkan pada era 90-an. Kelas-kelas percuma mula dianjurkan bagi mengajar anak muda Guanche bahasa nenek moyang mereka, agar tidak dilupakan. Kesan gerakan secara kecil-kecilan, pada 26 Jun 1997 Parlimen Kepulauan Canary meluluskan rang undang-undang yang mewajibkan bahasa Silbo Gomero diajar pada semua murid tahun 1 dan 2 di sekolah.

Akhirnya, bahasa yang hampir pupus ini bukan setakat berjaya dilindungi, malahan dapat diwariskan pada generasi-generasi baru penduduk Kepulauan Canary kerana kita semua tahu, bersiul jauh lebih pantas daripada menaip.




Hakcipta iluminasi.com (2017)