kompilasi rekaan awal

Kunio Okawara mungkin bukan nama yang biasa kita dengar tetapi bagi peminat siri animasi ataupun siri model Gundam, beliau adalah pereka sebenar kepada model-model Gundam yang kita boleh lihat sekarang ini. Kunio mencatat sejarah menjadi orang pertama di Jepun yang dilantik sebagai pereka mekanikal yang bertanggungjawab merevolusikan rekaan robot-robot yang digambarkan dalam siri anime di Jepun pada era 70-an.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lahir di sebuah kawasan tenang di Inagi, Kunio menghindarkan dirinya daripada kesibukan Tokyo dan di kawasan itulah dia tinggal, sejak dilahirkan pada 1947. Memang berminat sejak kecil untuk menjadi seorang pereka, dia masuk ke universiti untuk belajar rekaan grafik namun menukarkan pengkhususan beliau ke rekaan tekstil pada tahun kedua.

Tamat belajar, Kunio bekerja di salah sebuah kilang tekstil terbesar sehinggalah beliau berkahwin. Atas alasan mahu menjimatkan masa berulang alik, dia mencuba nasib bekerja dengan sebuah studio produksi bernama Tatsunoko Productions yang lebih dekat dengan rumahnya, lalu diterima bekerja sebagai pelukis latar belakang.

gatchaman

Walaupun begitu, majikan beliau ketika itu meminta beliau untuk menghentikan sebentar latihan sebagai artis latar belakang untuk membantu merekacipta rekaan robot untuk siri animasi 'Science Ninja Team Gatchaman' atau lebih dikenali pada kita dengan nama 'G-Force',yang pernah popular di Malaysia satu masa dulu.

Kunio mula dikreditkan sebagai pereka mekanikal bagi setiap projek yang dia terlibat dengan 'Gatchaman' adalah batu loncatannya. Namanya mula jadi terkenal sehinggakan produksi Sunrise, salah satu produksi terbesar di Jepun mengambilnya bekerjanya sebagai pekerja kontrak atas desakan seorang pereka Sunrise bernama Yoshikazu Yasuhiko, yang mahu bekerjasama dengan Kunio. Kunio yang ketika itu sudah bekerja sendiri dijemput menyertai pasukan di bawah Sunrise sebagai pekerja kontrak.

rekaan asal mobile suit gundam

Rekaan awal robot-robot yang ada di Sunrise pada ketika itu lebih bersifat sains fiksyen pada pandangan Kunio. Produksi Sunrise terlalu memfokuskan pada tema-tema berat sains yang lebih berbentuk pendidikan, berbeza dengan Tatsunoko Productions tempat lama Kunio bekerja dulu, yang lebih mementingkan unsur menghiburkan dalam produksi mereka.

Kunio melihat rekaan-rekaan pada ketika itu yang digelarkan 'Guncannon' kurang sesuai untuk dijadikan peneraju kepada kisah yang ingin dipaparkan. Rekaan watak utamanya kurang ciri keperwiraan dan Kunio memberikan beberapa cadangan penambahbaikan.

Yoshiyuki Tomino, pengarah produk Sunrise yang berpengalaman dan pernah berkhidmat dengan Osamu Tezuka (bapa manga (komik) Jepun), meminta Kunio menggunakan kebolehannya untuk menghasilkan rekaan watak mekanikal bagi satu siri baru yang dinamakan 'Gunboy.' Yoshiyuki meminta Kunio membangunkan satu rekaan robot yang lebih realistik, lebih dekat dengan rekaan-rekaan pakaian yang diguna dalam siri "Starship Troopers" tulisan Robert A.Heinlein ketikta itu, tidak terikut-ikut dengan rekaan robot gergasi yang popular di Jepun ketika itu seperti rekaan Mazinger Z.

okawara rekaan gunboy

Rekaan pertama Kunio merupakan satu watak robot yang diinspirasikan daripada pakaian yang dipakai oleh angkasawan, kerana ceritanya berlatar belakangkan angkasa. Rekaan robot pada ketika itu terlalu mirip dengan sifat sebuah suit atau pakaian angkasawan membuatkan dia menggelarkannya 'mobile suits' namun rekaannya dirasakan belum cukup kuat untuk dijadikan siri animasi.

Apa yang menyukarkan keadaan pada itu adalah kerana Kunio lebih menumpukan kepada rekaan-rekaan yang boleh dijadikan permainan popular, jadi rekaannya kurang berketrampilan kerana terlalu dikurung oleh bayangan bagaimana permainan itu hendak dimainkan. Produksi tertangguh tanpa jalan cerita yang disiapkan, kerana kesemua pihak menunggu untuk Kunio menyiapkan dulu rekaan robot sebagai watak utamanya.

okawara rekaan awal gundam

Kurang berpuas hati dengan rekaan 'Gunboy' peringkat awal, Kunio memasukkan elemen-elemen Jepun pada rekaan robotnya, lalu membuang semua elemen baju angkasawan yang digunakan sebelum ini. Watak robot yang direka Kunio kini lebih mirip pada rekaan seorang samurai Jepun, dengan topi perisai dan tanduk berbentuk V. Tingginya dijadikan 18 meter dan mulut yang wujud pada rekaan awal, ditutup dengan topeng kerana kelihatan pelik pada keseluruhan rekaan, jika robot itu mempunyai mulut.

Gembira melihat rekaan akhir yang disiapkan oleh Kunio, Yoshiyuki Tomino akhirnya menyiapkan jalan cerita, watak dan mengubah nama siri yang bakal dihasilkan itu daripada 'Gunboy' kepada 'Mobile Suits Gundam.' Disiarkan buat pertama kali pada 7 April 1979 sehingga 26 Januari 1980, siriĀ  'Mobile Suits Gundam' meletup selepas memperkenalkan perubahan pada jenis rekaan watak yang lebih bersifat realistik dalam industri animasi Jepun, sehingga menjadi acuan kepada siri-siri lain meniru prinsip rekaan yang digunakan.

rekaan watak penjahat siri gundam

Kunio bukan sahaja terlibat secara langsung dalam penghasilan rekaan watak Gundam paling ikonik iaitu model RX-78, beliau juga bertanggungjawab menghasilkan rekaan untuk ketiga-tiga model robot bagi pihak lawan iaitu robot Zaku, Gouf dan Dom yang sehingga sekarang masih popular di kalangan peminat Gundam dan juga peminat siri animasi robot.

Walaupun Kunio bertindak sebagai pereka model-model Gundam pada awalnya, Sunrise mula mengubah rekaan-rekaan awal beliau kerana semua karya yang beliau hasilkan menjadi hak milik Sunrise. Bermula dengan siri Zeta Gundam, Yoshiyuki Tomino mula membenarkan generasi-generasi baru menyumbangkan idea mereka kepada rekaan-rekaan lain untuk siri Gundam. Kunio masih terlibat membantu merekabentuk watak-watak baru dalam skop yang lebih kecil dan namanya masih lagi disenaraikan sebagai pereka mekanikal untuk siri-siri baru selepas itu.

kunio okawara dimejanya

Dirinya mengakui, cara beliau bekerja berbeza dengan orang lain. Apabila dia dapat sesuatu projek, dia lebih mementingkan supaya projek itu dapat dihabiskan pada masa yang ditetapkan. Kunio kurang memikirkan sama ada rekaannya itu baik atau buruk, yang penting kerja jalan, dapat komisyen dan kerjanya diselesaikan. Jadi pada dia, melihat rekaan awalnya diperkembangkan bukanlah sesuatu yang buruk pada beliau. Namun, Kunio tetap berpendapat ada banyak rekaan Gundam ketika ini yang tak masuk akal yang tak mungkin dia akan bangunkan.

Kunio tetap menyumbangkan tenaganya mereka cipta rekaan baru bagi siri Gundam apabila diminta dan dia memainkan peranan besar dalam siri Gundam Unicorn yang terbit pada 2010. Pada 2016, Kunio telah diminta oleh pencipta permainan video popular "World of Tanks" untuk merekacipta satu kereta kebal dan Kunio menyiapkan sebuah rekaan kereta kebal bernama O-47 yang memang jelas ada ciri-ciri Gundam pada rekaannya.

Begitulah kisah pereka yang mencipta robot ikonik Gundam yang menjadi acuan kepada banyak rekaan-rekaan fantasi masyarakat dunia.

Rujukan

Forbes Games

World of Tanks




Hakcipta iluminasi.com (2017)