Persempadan setiap negara yang wujud pada masa kini wujud hasil daripada peperangan dan juga perjanjian yang telah dimeterai satu ketika dahulu. Garisan persempadan negara juga melambangkan had kuasa dan pengaruh sesuatu negara terhadap kawasan tersebut.

Menariknya, terdapat satu kawasan kecil dimana pemilikannya berubah-ubah bagi setiap 6 bulan. Dikenali umum sebagai Pulau Pheasant, setiap 6 bulan penguasaannya akan bertukar antara negara Perancis dan Sepanyol. Dari segi lokasi, pulau ini terletak di Sungai Pheasant yang mengalir ke Lautan Atlantik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pulau ini juga begitu kecil dengan keluasan hanya 0.00682 kilometer persegi. Bagi masyarakat daripada kedua buah negara, pulau ini dikenali dengan nama berbeza. Pulau ini digelar Île des Faisans oleh orang Perancis sementara orang Sepanyol pula memanggilnya Isla de los Faisanes.

Sejarah pemilikan Pulau Pheasant

treaty of the pyrenees 446

Segalanya bermula pada tahun 1659 apabila wakil daripada kedua-dua buah negara Perancis dan Sepanyol telah menandatangani sebuah perjanjian yang dikenali sebagai "Perjanjian Pyrenees ". Langkah ini diambil sebagai jalan pendamaian bagi menghentikan peperangan yang sudah berlanjutan lebih 30 tahun lamanya,

Selain persetujuan untuk menamatkan peperangan, perjanjian yang telah ditandatangani ini juga menentukan kawasan persempadanan yang meliputi kawasan pergunungan di Pyrenees, sungai Bidasoa hinggalah ke Teluk Biscay di Lautan Antik seterusnya mempentuk kawasan persempadanan semulajadi antara Perancis dan Sepanyol.

Seperti kebiasaannya, kawasan sungai biasanya dijadikan batas sempadan antara dua buah negara. Dengan mengguna pakai kaedah ini, sungai ini akan menjadi sempadan antara Perancis dan Sepanyol. Sementara itu, Pulau Pheasant ini pula sepatutnya dibahagi kepada dua dimana setiap negara menguasai sebahagian daripada pulau ini.

Walau bagaimanapun, melalui Perjanjian Pyrenees, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengiktiraf pulau kecil ini sebagai sebuah "kondominium".

Pengiktirafan Pulau Pheasant sebagai sebuah kondominium

pulau unik 657

Sama seperti konsep rumah kondominium dimana ianya dikongsi oleh orang ramai, dengan mengiktiraf pulau ini sebagai sebuah kondominium ianya bermakna Sepanyol dan Perancis mempunyai kekuasaan yang sama terhadap tanah kecil ini.

Menariknya, Pulau Pheasant merupakan kawasan kondominium paling lama wujud di atas muka bumi. Lebih menarik, walaupun dianggap sebagai sebuah kondominium, kekuasaan ke atasnya tidak dikongsi pada masa yang sama sebaliknya secara berselang-seli.

Mengikut perjanjian yang dimeterai, pulau ini akan terletak di bawah penguasaan Perancis selama 6 bulan dan 6 bulan berikunya, ia akan terletak di bawah penguasaan Sepanyol seperti berikut:

  • Sepanyol: 1 Februari – 31 Julai
  • Perancis: 1 Ogos – 31 Januari

Sebelum perjanjian ini dibuat, kawasan Pulau Pheasant ini dianggap sebagai sebuah kawasan neutral yang tidak  dimiliki oleh mana-mana pihak. Sebagai kawasan yang neutral, ianya sering dijadikan tempat perjumpaan antara kedua-dua kerajaan Perancis dan Sepanyol. Selain itu, ianya juga dijadikan tempat pertukaran banduan antara kedua-dua negara.

Pulau ini juga merakamkan banyak peristiwa bersejarah kerana statusnya yang neutral. Di pulau inilah Raja Perancis, Raja Louis XIII menemui pasangannya daripada Sepanyol, Menariknya, disinilah juga beberapa pasangan diraja kedua-dua negara menemui jodoh mereka.

Pulau Pheasant pada masa kini

upacara penyerahan kuasa 560

Walaupun berada sangat hampir dengan kawasan tanah besar, Pulau Pheasant tidak dibuka kepada orang awam. Ianya hanya terletak kira-kira 100 kaki daripada kawasan Perancis dan 150 kaki daripada kawasan Sepanyol.

Berikut perjanjian pemilikan pulau ini yang telah dibuat lebih daripada 400 tahun lalu, setiap 6 bulan, pegawai-pegawai daripada kedua-dua buah negara ini akan bertemu bagi upacara penyerahan kuasa dilakukan.

Sejak tahun 1659, pulau ini telah ditukar-tukar pemilikannya antara kedua negara ini sebanyak lebih daripada 700 kali. Perkongsian kedaulatan antara Sepanyol dan Perancis ini menjadi bukti kemakmuran yang dicapai antara kedua buah negara ini.

Kredit:

  1. Atlas Obscura
  2. The New York Times
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)