Oleh pada 07 Sep 2021 kategori

Lebih kurang 60 tahun yang lalu, seluruh dunia terutamanya Amerika Syarikat dikejutkan dengan satu berita yang menyedihkan. Sebuah pesawat iaitu Sabena Flight 548 dilaporkan telah terhempas di Belgium ketika dalam perjalanan dari New York menuju ke Prague, Republik Czech.

Lebih menggemparkan lagi apabila pesawat malang itu membawa pasukan luncur ais Amerika Syarikat yang akan menyertai Kejohanan Dunia Luncur Ais di Prague. Kesemua 72 penumpang telah terkorban termasuklah 18 peluncur ais terhebat Amerika, jurulatih, pegawai sukan, ahli keluarga dan penumpang lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kejadian itu turut dirasai dunia sukan terutamanya sukan luncur ais di mana Amerika Syarikat mendominasi sukan itu selama lebih sedekad.

Juara yang terkorban

Seperti biasa, Amerika Syarikat akan menghantar atlet sukan luncur ais terbaik mereka untuk bertanding di kejohanan utama seperti Kejohanan Dunia Luncir Ais 1961 yang berlangsung di Prague.

Antara atlet yang berada di dalam pesawat itu ialah Laurence Owen yang berusia 16 tahun. Laurence baru sahaja memenangi Kejuaraan Luncur Ais Amerika dan menjadi penghias muka hadapan majalah Sport Illustrated.

laurence owen

Bersama-sama Laurence ialah kakaknya Maribel Owen yang memenangi pingat gangsa Olimpik dalam luncur ais berpasangan. Turut bersama mereka ialah pasangan Maribel yang juga pemenang Olimpik iaitu Dudley Richards. Malah, ibu Laurence dan Maribel serta jurulatih mereka turut terkorban. 

Selain keluarga Owen, atlet lain yang turut terkorban ialah pemenang pingat Olimpik iaitu Gregory Kelly, Steffi Westerfeld, Rhode Lee Michelson, Bradley Lord, Dee Dee Sherbloom dan Larry Pierce.

Kemalangan Sabena Flight 548 

Pada 14 Februari 1961, pesawat yang membawa 72 penumpang itu selamat melepasi Lautan Atlantik dan menuju ke Brussels untuk persinggahan di Lapangan Terbang Nasional Belgium.

Kira-kira hampir jam 10 pagi pada 15 Februari, ada sesuatu yang tidak kena ketika pesawat itu menghampiri Brussels. Selama 20 minit terakhir, juruterbang Louis Lambrechts tidak menghubungi Lapangan Terbang Brussels. 

maribel owen

Dudley Richards dan Maribel Owen

Lamberchts telah melabuhkan tayar untuk melakukan pendaratan tetapi melakukan satu pusingan, mungkin kerana sebuah pesawat kecil Perancis masih belum berlepas dari Landasan 20 lapangan terbang itu.

Setelah membuat satu pusingan, pesawat itu melakukan cubaan pendaratan kedua di Landasan 25 tetapi masih gagal dan terus membuat pusingan kali kedua. Melihat keadaan itu, pihak kawalan udara mengetahui bahawa juruterbang mengalami masalah untuk mendaratkan pesawat itu secara normal.

Tidak lama selepas membuat pusingan ketiga, pesawat itu dilihat seperti hilang kawalan dan jatuh menjunam di lokasi tiga kilometer dari lapangan terbang. Pihak kawalan udara telah menyalakan isyarat kecemasan dan pasukan keselamatan bergegas ke tapak kejadian. 

Punca sebenar tidak diketahui

Pesawat itu terhempas di kawasan berpaya berhampiran sebuah kawasan ladang. Menurut saksi, pesawat itu meletup setelah jauh ke tanah dan kelihatan asap hitam yang tebal keluar dari bangkai pesawat yang terbakar.

nahas sabena flight 548

Seorang peladang bernama Theo de Laet yang sedang bekerja ketika itu turut terbunuh akibat terkena serpihan pesawat yang terhempas.

Saksi yang berada di tempat kejadian ingin membantu tetapi terhalang oleh bahang api yang terlalu panas. Raja Belgium ketika itu iaitu Boudouin I dan pemaisurinya turut melawat kawasan kejadian.

Boudouin I juga mendermakan keranda dengan mohor diraja kepada semua mangsa untuk mayat mereka dihantar pulang ke negara masing-masing.

Walaupun punca sebenar kemalangan tidak dapat dipastikan, pesawat itu dipercayai mengalami masalah teknikal berikutan ia berlaku ketika cuaca dalam keadaan baik.

Membina semula pasukan luncur ais

Sebelum kejadian malang itu, pasukan luncur ais Amerika sedang bersiap sedia untuk menghadapi Olimpik Musim Sejuk 1964 di mana mereka ingin mempertahankan kejuaraan mereka. Namun, segalanya berubah.

tugu peringatan

Tugu peringatan mangsa di tapak kejadian

Ramai atlet yang baru bersara atau terlalu muda terpaksa mengambil alih tempat kosong yang ditinggalkan. Salah seorangnya ialah Barbara Roles yang baru bersara selepas memenangi pingat gangsa pada Olimpik 1960.

Bagi seorang peluncur ais berusia 11 tahun, Scott Ethan Allen, dia terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ahli pasukan kebangsaan. Allen telah mengejutkan semua orang apabila berjaya memenangi pingat gangsa di Olimpik Musim Sejuk 1964 di Austria pada usia 14 tahun.

Bagi Peggy Flemming yang berusia 12 tahun ketika pesawat Sabena Flight 548 mengorbankan jurulatihnya, dia berusaha keras dan berjaya memenangi pingat emas pada Olimpik 1968.

Amerika turut menubuhkan Dana Peringatan untuk mengingati atlet yang terkorban dan membina generasi baru pasukan luncur ais. Antara mereka yang menerima dana itu ialah atlet Olimpik 2014 Ashley Wagner dan Olimpik 2018 Adam Rippon.




Hakcipta iluminasi.com (2017)