obor olimpik tokyo 200

Dalam Sukan Olimpik, antara saat yang dinanti-nantikan adalah majlis upacara penyalaan obor yang menandakan permulaan Sukan Olimpik secara rasmi. Apakah kisah atau sejarah di sebalik nyalaan obor ini?

Bagi yang tidak tahu, api obor Olimpik adalah simbol yang digunakan dalam pergerakan Sukan Olimpik. Ia juga merupakan simbol kesinambungan antara penganjuran Sukan Olimpik kuno dan moden.

Beberapa bulan sebelum Sukan Olimpik dilancarkan secara rasmi, api Olimpik akan dinyalakan di Olympia, Greece. Upacara ini menandakan permulaan larian membawa obor Olimpik dan akan secara rasmi diakhiri dengan menghidupkan api di kawah (couldron) Olimpik semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik.

Untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020, upacara membawa obor api Sukan Olimpik ini di Jepun bermula di wilayah Fukushima yang dilanda gempa kuat pada tahun 2011 yang mencetuskan bencana tsunami dan nuklear dan obor ini dibawa berarak selama empat bulan dan melibatkan ribuan pelari.

Sejarah Sukan Olimpik dan ritual nyalaan obor

maksud obor olimpik

Api telah dianggap simbol suci dalam banyak zaman peradaban sejak dahulu lagi. Api banyak digunakan dalam pelbagai ritual, tradisi dan mitologi kuno. Dalam mitologi Yunani, Dewa Prometheus mencuri api dari Zeus dan memberikannya kepada manusia.

Untuk meraikan pemindahan api dari Prometheus kepada manusia, orang Yunani akan mengadakan perlumbaan relay, di mana atlet akan menyalakan obor yang dinyalakan dengan api dan menyerahkan kepada pelari berikutnya sehingga pemenang sampai ke garisan penamat.

Sukan Olimpik pertama kali diadakan pada tahun 776 SM oleh orang Yunani. Penganjurannya diadakan setiap 4 tahun untuk menghormati Zeus dan dewa-dewa Yunani yang lain. Penganjuran ini juga menandakan masa kedamaian di antara perang, seperti istirahat 'rekreasi' dari perang.

sejarah olimpik

Pada awal permulaan penganjurannya, seorang pelari (sebagai simbol kedamaian) akan melakukan perjalanan ke seluruh Greece menyatakan "gencatan senjata" untuk semua perang. Gencatan senjata akan kekal berlaku sepanjang pengajuran Sukan Olimpik berlangsung agar penonton dapat melakukan perjalanan ke tempat acara berlangsung dengan selamat.

Di Olympia, terdapat sebuah altar yang dikhaskan untuk dewi kelahiran dan perkahwinan - Hera. Pada permulaan Sukan Olimpik, orang Yunani akan menyalakan kuali api di atas altar Hera. Mereka menyalakan api menggunakan cermin berongga yang disebut skaphia (mirip dengan cermin parabola moden), memusatkan sinar matahari pada satu titik untuk menyalakan api.

Api akan menyala sepanjang Sukan sebagai tanda kemurnian dan kedamaian. Setelah seribu tahun, orang Yunani berhenti menganjurkan Sukan Olimpik dan dengan itu terhentilah juga upacara nyalaan api dan obor yang begitu sinonim dengan pengnnjuran Sukan Olimpik.

Larian obor Sukan Olimpik modenĀ 

sejarah obor olimpik

Sukan Olimpik muncul semula pada tahun 1896 ketika Olimpik moden pertama diadakan di Athens. Namun, hanyalah beberapa tahun kemudian tradisi nyalaan api dan larian obor muncul kembali. Api Olimpik sebagai simbol pergerakan Olimpik moden diperkenalkan oleh arkitek Jan Wils yanng merekabentuk stadium untuk Olimpik Musim Panas 1928 di Amsterdam.

Dalam Sukan Olimpik 1928 di Amsterdam, nyalaan api diperkenalkan semula tetapi tidak ada larian obor. Larian membawaa obor muncul semula pada 1936 di Berlin yang ketika itu di bawah pemerintahan Adolf Hitler.

Carl Diem, seorang profesor sejarah Jerman dan Ketua Setiausaha Jawatankuasa Penganjur Sukan ingin menghubungkan penganjuran Sukan Olimpik moden ke sejarah mereka dan oleh itu telah memperkenalkan semula larian obor.

rekabentuk obor olimpik

Api dinyalakan di Olympia sama seperti asalnya dan kemudian dibawa ke Berlin untuk permulaan Olimpik. Larian obor kemudian diperkenalkan di Sukan Olimpik Musim Sejuk pada tahun 1952.

Namun, dalam acara ini, api dinyalakan di Norway dan bukannya di Olympia kerana ia adalah tempat kelahiran sukan ski. Setelah itu, diputuskan bahawa api untuk Olimpik musim sejuk dan musim panas akan dinyalakan di Olympia, seperti sebelumnya.

Sejak itu tradisi ini telah dimasukkan dalam Piagam Olimpik sebagai peraturan 13 yang bermaksud "Api Olimpik adalah api yang dinyalakan di Olympia di bawah kekuasaan IOC".

Larian obor masa kini

nyalaan obor olimpik

Pada zaman moden, setiap penganjuran Sukan Olimpik akan diperkenalkan dengan rekabentuk obor yang baru. Rekaan obor ini sering mewakili negara tuan rumah dan dengan itu biasanya mempunyai rekabentuk khas yang menggambarkan negara tuan rumah.

Penghasilan obor boleh mengambil masa satu atau dua tahun meliputi proses merancang, merekabentuk dan membinanya. Dan setelah obor itu dibina, ia diuji dengan ketat dalam semua jenis keadaan cuaca. Kadang-kadang obor akan diarak walaupun keadaan yang teruk seperti berada di bawah air atau menghadapi angin kencang. Obor mesti diuji untuk menghadapi kesukaran seperti ini.

Bagi yang tidak tahu, obor ini tidak hanya dihasilkan satu dan diberikan kepada pelari berikutnya, sebaliknya setelah mendapat persetujuan dan ujian, 10,000 hingga 15,000 replika obor ini akan dihasilkan untuk semua ribuan pembawa obor dan beberapa obor tambahan sekiranya obor kehabisan bahan bakar semasa larian.

Selepas pelari membawa obor menamatkan larian mereka, mereka boleh membeli obor yang mereka pegang dan pelari untuk jarak berikutnya akan menggunakan obor yang baru. Selain daripada laluan udara, obor Olimpik telah membuat beberapa perjalanan luar biasa seperti di kapal, kereta kebal, dalam kereta, belakang kuda, bawah air dan bahkan ke ruang angkasa lepas.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Medium
  3. History
  4. CNN


Hakcipta iluminasi.com (2017)