Kredit foto: Instagram Faezah Elai & Instagram Fazura
Pelakon Faezah Elai, 36, mengakui sudah meminta maaf kepada penerima trofi yang mewakili Fazura pada Anugerah Telenovela 2018, Sabtu lalu ekoran kecaman yang diterimanya di media sosial.
“Saya sudah minta maaf dengan wanita terbabit. Namun dia tidak memberikan sebarang jawapan,” kata Faezah kepada Harian Metro.
Merasakan dirinya sudah melaksanakan tanggungjawab memulihkan keadaan, pelakon filem Tanda Putera itu berkata, dia memulangkan kepada hak wanita terbabit termasuk indvidu tertentu untuk memaafkannya ataupun tidak.
Beliau bagaimanapun kesal kerana ada pihak yang bagai sengaja memanjangkan isu berkenaan meskipun tidak berada dalam majlis ketika kejadian berlaku.
“Saya sudah mesej dia secara peribadi di Instagram. Saya minta maaf dengan ikhlas. Sama ada dia maafkan saya atau tidak, terpulang. Apa yang penting, saya sudah buat bahagian saya.
“Sekarang ini, kalau netizen mahu terus mengata dan menghina saya pula, silakan tanggung dosa.
“Perkara ini bermula selepas ditimbulkan individu tertentu. Sedangkan, kalau sesiapa berada di tempat kejadian tahu perkara sebenar. Disebabkan pemahaman salah membuatkan ia jadi perdebatan dalam kalangan netizen,” katanya.
Isu hangat Faezah mula didebatkan sejak Sabtu lalu apabila dia dikatakan menyindir wakil Fazura pada malam anugerah itu dengan gambaran bentuk tubuh pelakon tersebut selepas melahirkan lima anak.
Dalam pada itu, Faezah berkata, dia kecewa kerana sikap positif yang sering dilaungkan Fazura sebagai pendirian hidupnya seolah diketepikan ketika menangani kontroversi kali ini.
Kredit foto: Instagram Faezah Elai
“Sebelum ini Fazura selalu melaungkan ingin sesuatu yang positif saja dan sayangi diri. Tetapi, tindakannya memuat naik perkara itu di Instagram mengundang kepada perkara negatif.
“Netizen melemparkan kata-kata negatif dan saling bergaduh. Adakah itu sesuatu yang positif? Orang kata saya sengaja berbuat sedemikian, kerana mahu publisiti. Saya sudah tidak berlakon, jadi tak perlu semua itu.
“Saya menjadi penyampai pun disebabkan penganjur yang minta dan bukannya saya menawarkan diri,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu turut mengakui, dia bertindak menutup ruangan komen pada video yang dimuatnaik kerena bimbang ia menjadi medan perbalahan antara netizen.