Kebiasaannya, apabila seorang bayi mengalami sedu, orang tua-tua kata itu tanda nak membesar.
Walaupun terdapat pelbagai faktor dari segi perubatan yang menjadi punca sedu, namun rata-rata sedu yang terjadi adalah disebabkan makan/minum terlalu cepat sehingga mengakibatkan perut kembung dan ketidakselesaan. Situasi ini mengecutkan diafragma yang kemudiannya akan menghasilkan sedu.
BESARKAN TEKS A- A+
Bayangkan anda sedang berdiri untuk berucap di hadapan khalayak ramai atau sedang berada dalam bilik mesyuarat bersama bos-bos besar, apabila sedu pertama berlaku, sudah pasti anda terus berasa resah sambil berdoa agar ia tidak akan berulang. Tapi ketahuilah bahawa anda berkemungkinan besar akan 'diganggu' setiap 15 saat untuk beberapa ketika sebelum sedu itu berlalu pergi.
Kenapa manusia sedu, tersedu atau bersedu?
Hiccups merupakan penyedutan nafas secara pantas yang terjadi akibat aktiviti di bahagian otot interkostal yang terletak di antara diafragma dan tulang rusuk.
Sebenarnya ia merupakan suatu proses pernafasan biasa di mana diafragma mengecut dan otot-otot akan membantu mengepam udara ke dalam paru-paru. Tetapi apabila sedu berlaku, kontraksi ini berlaku lebih pantas dan di luar kawalan sehingga mendapat 'serangan' bertubi-tubi.
Pada masa yang sama, larinks (larynx) juga mengecut dan menutup glotis sepenuhnya. Ini sekaligus menghalang sebarang pengambilan udara yang menghasilkan bunyi kecil "hik" itu. Manakala kontraksi pantas otot pula menyebabkan sedikit sentakan (jerking) di bahagian bahu, leher dan kepala.
Punca berlakunya sedu / hiccups
Seperti yang dinyatakan, sedu berpunca daripada kembung perut yang terjadi apabila seseorang makan atau minum dengan terlalu cepat. Apabila perut menjadi kembung, ia menolak kembali asid perut ke dalam esofagus yang akan menyebabkan ketidakselesaan di bahagian itu.
Ketidakselesaan itulah yang menyebabkan berlakunya kontraksi diafragma yang menghasilkan sedu. Anda boleh mengurangkan ketidakselesaan dan menghentikan sedu dengan mengurangkan kadar oksigen ataupun meninggikan kadar karbon dioksida.
Tempoh kebiasannya individu sedu/bersedu
Kebiasaannya sedu hanya terjadi selama beberapa minit sahaja. Walau bagaimanapun, sedu kronik yang berpanjangan sehingga berhari-hari atau berminggu-minggu juga boleh terjadi disebabkan faktor lain.
Jika anda mengalami sedu lebih daripada 2 hari, sila berjumpa doktor dengan segera. Sedu berpanjangan ini mungkin petanda anda mengalami masalah kesihatan lain yang perlu dirawat seperti kerosakan pada saraf frenik atau gangguan metabolisme. Pesakit strok atau lelah juga berisiko untuk mendapat sedu yang lebih panjang daripada biasa.
Cara dan tips mengelakkan sedu
Jika anda mempunyai gas berlebihan dalam perut, anda berkemungkinan besar akan mendapat sedu. Jadi, amalkan tip berikut untuk mengelakkan sedu:
1. Elakkan makan dengan gelojoh
Makan perlahan-lahan ataupun kurangkan makan. Ingat, apabila anda menelan makanan, anda juga akan menambah isipadu udara dalam perut.
2. Elakkan minum air soda
Minum air juga perlu dibuat dengan perlahan-lahan agar perut boleh memproses makanan pada kadar yang sepatutnya. Elakkan meminum minuman berkarbonat kerana ia hanya akan mempercepatkan penghasilan sedu.
3. Elakkan makanan hot and spicy
Makanan yang terlalu panas atau pedas juga boleh merengsakan saraf frenik dan menyebabkan sedu. Pastikan suhu makanan berada pada paras normal dan tidak terlalu panas sebelum dimakan.
4. Ubat-ubatan punca sedu
Terdapat ubat-ubatan yang boleh meningkatkan risiko mendapat sedu seperti kortikosteroid, ubat tahan sakit, barbiturat dan benzodiazepina.
Sekiranya mana-mana ubat menyebabkan anda mengalami sedu kronik berpanjangan, pastikan anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengubah rawatan perubatan.
Cara dan tips menghilangkan sedu
Terdapat pelbagai petua nenek moyang dari seluruh dunia tentang cara mengatasi sedu secara semula jadi. Ada yang menyuruh anda menahan nafas, bernafas dalam beg kertas, menyedut air batu, menggigit lemon, berkumur dan sebagainya.
Ternyata, kebanyakan tip dan petua ini sememangnya berkesan kerana ia meningkatkan paras karbon dioksida dalam badan dan mengurangkan iritasi pada saraf dan tisu.
Bernafas menggunakan beg kertas merupakan salah satu cara yang paling efektif kerana ia akan meningkatkan kadar karbon dioksida dalam paru-paru dengan pantas dan mengendurkan diafragma.
Menahan nafas juga berkesan tetapi sedu yang dialami acap kali mengganggu proses ini dan membanjiri semula paru-paru dengan oksigen.
Tak kiralah apa cara yang anda lakukan, sedu sememangnya menjengkelkan dan boleh terjadi pada bila-bila masa sebagaimana bersin terjadi. Jika anda dah cuba pelbagai cara dan sedu masih tidak hilang, bawa bertenang dan tunggu sahaja sehingga ia berlalu pergi.
Lepas itu, beringat-ingatlah : janganlah makan dengan gelojoh lagi!
Rujukan: