Kredit foto: Instagram Lan Kristal

Demi mengembangkan kerjaya seni sebagai penyanyi solo, vokalis Kristal, Lan, berhasrat untuk berehat seketika daripada menyertai kumpulan rock itu.

Lan, 32, memberitahu, niat itu timbul sejak awal tahun ini atas sebab mahu mempelbagaikan genre muzik sekaligus keluar daripada zon selesanya.

"Saya pernah meluahkan hasrat untuk berehat seketika daripada kumpulan Kristal, walaupun secara bergurau. Jadi, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan dibuat secara tiba-tiba.

"Tempoh 20 tahun berkecimpung dalam bidang seni, saya tidak mahu selesa menyanyikan lagu berentak rock semata-mata, sebaliknya ingin berekperimentasi untuk kebaikan kerjaya saya juga.

"Keputusan itu juga bukanlah diambil setelah saya menyertai program Gegar Vaganza (GV), sebaliknya ia sudah berlegar-legar di fikiran sejak awal tahun lagi," katanya yang dipetik daripada portal BH Online.

Menerusi rancangan realiti itu menyaksikan penyanyi ini tampil konsisten dalam setiap persembahannya sehingga juri tetap, Datuk Ramli MS menyifatkan beliau sebagai peserta dengan paling banyak peningkatan.

Dalam konsert keempat baru-baru ini, Lan mendendangkan Naluri Cinta, duet bersama teman rapatnya, Siti Nordiana.

Lan memberitahu, agak payah membuang label dan imej yang diletakkan peminat muzik terhadapnya selama ini.

"Saya bersyukur apabila usaha dan inisiatif untuk menampilkan sesuatu yang berbeza mendapat pujian daripada Tok Ram (Ramli) kerana seperti kita sedia maklum, beliau begitu teliti dengan segala segi.

"Saya cuba menonjolkan kelainan saban minggu kerana jujur saya akui, bukan mudah untuk menangkis imej rock yang sudah sebati dengan diri ini. Maklumlah, saya bertapak dalam industri muzik menerusi genre terbabit," katanya.

Kumpulan Kristal yang mula aktif sejak tahun 1999 pernah popular dengan beberapa lagu berhantu, antaranya Seragam Hitam, Resam Pak Belalang dan Delaila.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)