Oleh pada 22 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Astro Awani & Instagram Gegar Vaganza

Anggota Kristal, Rody memberi ruang untuk vokalis kumpulannya, Lan mengembangkan kerjaya solo, sementara dalam masa sama, kumpulan itu bakal mencari penyanyi baru.

“Kita bagi dia peluang untuk buat solo. Mungkin ada rezeki dia kan dan kita akan teruskan dengan pencarian penyanyi baru.

“Kalau dia nak rehat daripada Kristal, takkan kita nak rehat juga. Kena teruskanlah Kristal,” kata Rody memetik portal Media Hiburan.

Menurut pemain gitar kumpulan Kristal ini, beliau dan ahli kumpulan lain tidak mengetahui rancangan Lan menyertai Gegar Vaganza musim keempat (GV4) sebaliknya hanya mendapat berita itu daripada pihak lain.

“Sebenarnya dia masuk GV4 pun kita dengar daripada orang lain, bukan daripada dia. Tapi kita fikir positif, kalau rezeki dia dapat 'Top 3' mungkin dia akan bawa naik sekali nama Kristal.

“Tapi sebaliknya dia nak kembang ke solo pula. Macam tak seronoklah kan macam tu.

“Jadi kami bertiga memilih untuk mencari pengganti,” katanya lagi.

Bercerita mengenai respon peminat tentang keputusan mereka mencari vokalis baru, Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin, 31, mengakui mendapat kecaman hebat sehingga ada yang menganggap Kristal tidak akan kemana tanpa Lan.

“Ramai juga yang kecam saya, kecam kitorang. Kata nanti Kristal tak kemana, kata kitorang dengki lah, kata kitorang ada banyak job untuk program TV.

“Tapi pada masa yang sama kita tak kisah pun Lan nak show sorang kat mana-mana. Sampai ada pihak nak satu band tapi kitorang terpaksa tolak sebab dia dah ada show lain. Tak apa lah tak ada rezeki. Kita jenis terbuka, rezeki masing-masing,” katanya.

Rody memberitahu, berbeza dengan band lain, ahli Kristal tidak pernah mengambil tindakan terhadap Lan yang menyanyikan lagu kumpulan itu tanpa kehadiran mereka.

“Kalau ikut band lain, penyanyi bawa lagu band dan nyanyi tanpa band pasti ada tindakan dikenakan. Contoh ambil percent sedikit ke tapi kitorang tak macam tu.

“Kita rekod lagu sama-sama, siapkan satu lagu bukan senang, susah tapi bila jadi macam ni semua kecam pula. Kita pun ada tanggungan juga.

“Yang terbaru keluar klip video bawah 'MVM Music' Lan & Kristal. Kiranya sekarang Kristal dah tak ada penyanyi,” katanya.

Sementara itu, Rody mengakui kontrak Kristal dengan syarikat terdahulu telahpun tamat. Justeru dia tidak mengetahui sekiranya Lan ada mengikat kontrak secara solo ataupun tidak.

“Lagipun Kristal dah habis kontrak dengan syarikat itu. Kita tak tahu Lan ada tandantangan kontrak secara solo ke tak sebab ramai kawan beritahu macam itu, tapi kita macam tak percaya.

“Tapi jadi macam ni pula. Bila satu band ni, apa-apa keputusan kenalah berbincang dulu kan?

“Bukan masalah rezeki atau dengki, tapi kepuasan main muzik dan berkarya tu biar Kristal band bersama dan berjaya pun bersama-sama,” katanya.

Menyentuh uijibakat yang bakal diadakan, Rody berkata, mereka akan mengumumkan tarikhnya kelak bersama kriteria vokalis yang dicari.

Beliau mengharapkan sokongan berterusan daripada peminat, baik kepada kumpulan Kristal mahupun kerjaya solo Lan.

“Sekarang peminat boleh minat dua-dua. Sokong Lan, sokong Kristal dan sokong perjuangan saya dan ahli yang lain,” katanya.

Sumber berita: Media Hiburan




Hakcipta iluminasi.com (2017)