Kredit foto: Astro Gempak & Instagram Rody Kristal
Rody dan anggota Kristal lain, Asraf dan Afifi akan muncul dalam sebuah sidang media khas dalam tempoh terdekat untuk menjawab tuduhan yang dilontarkan bekas vokalis kumpulan itu, Lan.
Rody yang juga gitaris kumpulan, berkata, penjelasan yang bakal dibuat adalah berhubung kenyataan Lan yang mendakwa dirinya dilayan seperti tunggul kayu sepanjang menganggotai kumpulan berkenaan.
"Buat masa ini kami tidak boleh beri sebarang komen lagi mengenai perkara itu. Insya-Allah dalam masa terdekat akan mengadakan satu sidang media.
"Kami belum berbincang apa-apa lagi, tapi akan maklumkan bila dan waktu sidang media itu akan dilakukan.
"Segala persoalan akan kami jawab nanti," kata Rody menurut portal Mstar Online.
Terdahulu, menerusi kenyataan di laman sosial kumpulan rock itu, mereka mengumumkan bakal merehatkan Lan kerana ingin memberi laluan kepada karier solonya.
Susulan itu, Kristal mencari vokalis baru menerusi sesi ujibakat yang akan diadakan.
Namun Lan dalam respon balasnya, meluahkan rasa terkilan kerana mendakwa telah dilayan seperti orang asing sepanjang pembabitan selama 18 tahun bersama mereka.
Malah, secara rasminya dia mengumumkan pengunduran daripada kumpulan itu kerana sudah tawar hati.
Sumber berita: Mstar