virus corona covid 19 aids hiv

Di atas kertas, dikatakan wujud banyak persamaan yang ada di antara virus penyebab wabak SARS pada tahun 2003, SARS-CoV-1 dan 'adiknya', SARS-CoV-2 yang menyebabkan jangkitan Covid-19.

Penyelidikan dan rekod semasa wabak SARS melanda ditambah dengan kajian ke atas jangkitan wabak MERS pada tahun 2012 diharap mampu memberikan kita petunjuk jelas apakah risiko berhadapan Covid-19. Itu pandangan majoriti penyelidik pada mulanya.

Bagaimanapun hari demi hari - pendapat itu nyata disanggah satu per satu. SARS-CoV-2 mula menampakkan sifat sebenarnya yang nyata berbeza berbanding jangkitan virus corona sebelumnya.

Salah satu penemuan terbaru, adalah berkaitan kemampuannya menyerang sistem imuniti tubuh badan kita melawan jangkitan. Beberapa kajian peringkat awal berjaya menunjukkan bahawa SARS-CoV-2 mempunyai kemampuan yang hampir serupa seperti virus HIV; penyebab utama penyakit AIDS di seluruh dunia.

Kewujudan simptom di luar jangkaan

simptom jangkitan covid 19

Pada peringkat awal, apa yang kita tahu tentang virus SARS-CoV-2 adalah virus itu mempunyai 79.5% persamaan dengan virus SARS-CoV-1 yang datang sebelumnya.

SARS-CoV-2 menyerang tubuh melalui reseptor yang digelarkan angiotensin-converting enzyme 2 atau ACE2 sebagai pintu masuk, menjalani proses inkubasi selama 5 ke 6 hari sebelum mula menyebabkan jangkitan. Simptom jangkitan yang kelihatan pada pesakit juga berbeza mengikut tahap jangkitan - sama ada ringan, teruk atau kritikal.

Antara simptom-simptom yang kerap berlaku adalah pneumonia iaitu jangkitan pada paru-paru, cirit-birit, sesak nafas atau dyspnea serta kerosakan organ-organ dalaman. Itu adalah perkara-perkara asas yang kita tahu tentang jangkitan Covid-19.

Apa yang membimbangkan, wujud trend di mana berlakunya kadar peratusan pesakit yang menampakkan simptom lymphocytopenia; penurunan kadar sel darah putih dalam darah mula dilaporkan dalam jumlah kes lebih kerap.

Berbanding dengan dua virus lebih awal, hanya virus penyebab jangkitan MERS didapati mempunyai keupayaan serupa dan SARS-CoV-1 tidak menampakkan petanda mampu menyerang sel darah putih.

Ini merupakan satu perbezaan yang sangat besar dan penemuan ini, mengejutkan penyelidik yang menjalankan kajian.

Membunuh sistem imuniti

covid 19 antibodi rawatan ujian

Kemampuan menyerang sel darah putih atau 'T lymphocytes', lebih popular diklasifikasikan sebagai 'sel T' (T cells) merupakan sesuatu yang tidak dijangka mampu berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun, disebabkan oleh pertambahan jumlah laporan melapor tentang pesakit Covid-19 mengalami masalah kekurangan sel T, penyelidik daripada Universiti Fudan di Shanghai dan New York Blood Centre di Amerika Syarikat bekerjasama menjalankan kajian, bagi mengenalpasti punca berlakunya sel darah putih rendah dalam tubuh pesakit.

Sel T memainkan peranan yang sangat penting dalam tubuh badan kita, membolehkan sistem imuniti badan kita mengenalpasti sebarang bentuk jangkitan virus seterusnya mengaktifkan pembentukan antibodi dalam melawan jangkitan.

Apabila seseorang mengalami simptom lymphocytopenia, tubuh mereka tidak lagi mampu menyediakan sistem pertahanan badan sendiri - menyebabkan jangkitan mampu merebak tanpa dapat dikawal secara semulajadi oleh tubuh.

Situasi yang berlaku sama seperti jangkitan yang dihadapi pesakit AIDS.

Terkorban bersama virus

ilustrasi virus corona

Apa yang membezakan cara serangan dalam kes jangkitan AIDS dengan Covid-19 adalah faktor ketahanan virus yang melakukan serangan.

Virus HIV menyerang sel T, mampu membunuh sel T tanpa mengorbankan dirinya sendiri sebaliknya akan menjadikan sel T sebagai perumah bagi membolehkan virus membiak lebih pesat. Situasi itulah yang menyebabkan jangkitan HIV pada seseorang manusia kekal berlaku sepanjang hayat dan hanya boleh diperlahankan tanpa mampu disembuhkan (setakat ini).

Bagi virus SARS-CoV-2 pula kajian yang dijalankan mendapati - apabila virus tersebut menyerang mana-mana sel T, virus dan sel T yang diserang akan sama-sama reput mengakibatkan seseorang mengalami penurunan jangkitan tetapi dalam masa yang sama kehilangan sistem imuniti tubuh.

Sel T yang diuji dilaporkan mempunyai tahap sensitiviti yang tinggi terhadap kehadiran SARS-CoV-2, tetapi menampakkan sifat sebaliknya apabila didedahkan kepada virus SARS-CoV-1 penyebab jangkitan SARS - walaupun kedua-duanya menyerang sel melalui reseptor ACE2 yang serupa.

Disebabkan inilah semakin ramai pakar perubatan mengatakan punca kematian pesakit Covid-19 bukan saja disebabkan masalah pernafasan seperti yang diketahui sebelum ini - sebaliknya mampu datang daripada bermacam punca lain.

Pesakit kehilangan sistem imunisasi semulajadi badan

perkaitan hubungan kait covid19 korovirus dengan hiv aids

Kadar sel T dalam badan sebelum ini memang sudah digunakan sebagai kayu ukur bagi petugas perubatan, dalam meramal tahap jangkitan yang berkemungkinan berlaku pada pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, pada peringkat awal - tidak ada pihak menyangka kadar sel T yang rendah sebenarnya berkait dengan jangkitan virus novel itu.

Ini kerana banyak pihak menghubungkan kadar sel T yang rendah sehingga mampu menyebabkan kematian, berpunca daripada tahap kesihatan pesakit yang sudah agak uzur.

Kajian terbaru ini mengenalpasti keupayaan virus SARS-CoV-2 menyerang sel T, mampu menjadi petunjuk pertama kepada kita; virus yang kita sangka kita kenal, bukanlah virus biasa-biasa sebenarnya.

Penemuan ini sedikit sebanyak memperkukuhkan beberapa laporan bedah siasat pesakit Covid-19  yang telah meninggal dunia sebelum ini, apabila didapati sistem imuniti tubuh pesakit telah rosak atau gagal berfungsi, tanpa ditemui apa sebabnya.

Rujukan

Lymphopenia predicts disease severity of COVID-19: a descriptive and predictive study

SARS-CoV-2 infects T lymphocytes through its spike protein-mediated membrane fusion

Autopsy results show virus remains in COVID-19 patient bodies, damages immune system



Hakcipta iluminasi.com (2017)