Oleh pada 21 Sep 2018 kategori

Siapa yang tidak mengenali tempura? Makanan kebanggaan orang Jepun ini dikhabarkan paling sesuai dimasak menggunakan bahan bermusim di sana seperti terung, ubi keledek dan sebagainya. Bancuhan tepungnya pula diperbuat daripada telur, tepung, air, sedikit garam ataupun sos tentsuyu.

Namun, tahukah anda, makanan "goreng-goreng" tempura ini sebenarnya bukanlah berasal dari Jepun? Ia mula muncul pada kurun ke-16 daripada kedatangan tiga orang Portugis secara tidak sengaja di sana.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kedatangan tempura

Pada tahun 1543, sebuah kapal China yang dikemudikan oleh tiga orang pelayar Portugis sedang menuju ke Macau. Namun, mereka tersasar dari arah yang betul dan akhirnya tersadai di kepulauan Tanegashima di Jepun. Antonio da Mota, Zeimoto dan Antonio Peixoto merupakan warga Eropah pertama yang menjejakkan kaki di tanah matahari terbit itu. Ketiga-tiga mereka dilihat sebagai orang asing yang dianggap "barbarian dari selatan" oleh penduduk tempatan.

Ketika mereka tiba, orang Jepun sedang berbalah dalam perang saudara. Lama-kelamaan, penduduk tempatan mula berjual beli dengan pelayar Portugis ini. Kebanyakannya berurusan untuk membeli senapang. Maka, bermulalah hubungan perdagangan antara Jepun dan Portugis dengan penjualan senjata api. Kemudian, barang dagangan berkembang dengan kemasukan sabun, tembakau, kapas malah resipi juga turut dijual beli.

peixinhos da horta makanan portugis merupakan asal usul tempura

Warga Portugis itu menetap di Jepun sehingga tahun 1639 sebelum mereka diusir keluar. Undang-undang shogun Iemitsu percaya bahawa diayah Kristian merupakan suatu ancaman kepada masyarakat Jepun. Walaupun dihalau, mereka telah meninggalkan satu 'harta' yang memberikan kesan mendalam sehingga berabad lamanya di kepulauan itu iaitu resipi kacang buncis salut tepung yang dipanggil peixinhos da horta.

Hari ini, orang Jepun menggelarnya tenpura dan ia telah menjadi salah satu makanan ruji masyarakat di sana.

tempura jepun dicicah dengan sos istimewa manakala hidangan asal portugis tidak mempunyai sebarang sos

"Penjajahan" kulinari Portugis

Menurut Chef Jose Avillez, seorang chef bertaraf bintang Michelin di Lisbon, pengaruh Portugis dalam kulinari di seluruh dunia bukan sahaja terjadi di Jepun. Semasa Portugis mula tiba di Goa, India, mereka memasak sejenis masakan berasaskan bawang putih dan wain yang dipanggil carne de vinha d’alhos. Masakan ini kemudian diadaptasi oleh masyarakat tempatan India dan lahirlah menu popular India iaitu vindaloo.

Di Malaysia, kari debal (devil) yang terkenal di Melaka juga berasal daripada masakan pedagang-pedagang Portugis yang pernah bertapak di situ. Begitu juga dengan tat telur yang amat digemari di Macau dan China serta menu 'kebangsaan' Brazil iaitu feijoada. Kesemuanya merupakan variasi resipi yang diambil daripada orang Portugis.

tempura boleh digoreng menggunakan pelbagai bahan

Berbicara tentang peixinhos da horta, menu ini sering disediakan ketika hari Lent atau Ember yang disambut oleh orang Kristian. Perkataan tempura yang digunakan itu pula berasal daripada perkataan Latin "tempora" yang bermaksud tempoh. Semasa tempoh sambutan ini, penganut Katolik perlu berpuasa daripada memakan daging. Jadi, mereka mencari alternatif makanan lain dengan mencelup sayur-sayuran seperti kacang buncis ke dalam bancuhan tepung sebelum digoreng dengan minyak yang banyak.

Peixinhos da horta yang bermakna "ikan kecil dari taman" juga mempunyai fungsi lain. Menggunakan konsep sama seperti mengawet dan menyalai, para pelayar akan menggoreng sayuran supaya ia lebih tahan lama dalam perjalanan. Selain itu, bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk membeli ikan, kacang buncis celup tepung ini adalah pilihan yang terbaik untuk menggantikan ikan.

Perkembangan tempura di Jepun

Sekitar 200 tahun selepas kedatangan Portugis, transformasi dan populariti tempura mula berkembang ke utara Tokyo yang ketika itu masih dikenali sebagai bandar Edo. Banyak yatai (gerai jalanan) didirikan untuk menjual 'sate celup' berisi makanan laut dan sayur-sayuran yang digoreng panas-panas serta dimakan terus di situ.

gerai menjual tempura banyak di jepun digoreng panas panas

Pada awal kurun ke-19 pula, tempura mula mendapat tempat dalam menu restoran di Edo sehinggalah ia tersenarai dalam buku panduan restoran Edo di mana ia bukan sahaja digambarkan sebagai makanan snek jalanan malah dinikmati oleh golongan kelas atasan.

Mungkin disebabkan tidak tertakluk dengan tradisi dan anutan Kristian, orang Jepun berjaya mengolah resipi tempura dengan bancuhan tepung yang lebih ringan dan menggunakan pelbagai jenis bahan untuk disalut. Seperti yang kita dapat lihat hari ini, tempura Jepun menyediakan pelbagai pilihan menu daripada udang, ubi keledek sehinggalah cendawan shitake.

tempura donburi hidangan nasi bersama lauk tempura

Dalam zaman moden Jepun, suku kata pertama "tenpura" iaitu "ten" ditulis menggunakan karakter yang membawa makna "langit" atau "syurga". Dikhabarkan nama ini bertepatan dengan setiap gigitan tempura yang rangup dan lazat yang akan membuatkan sesiapapun berasa seperti berada dalam syurga makanan.

Rujukan:

1. NHK

2. Yabai

3. Komaba Times

4. BBC




Hakcipta iluminasi.com (2017)