Oleh pada 21 Feb 2020 kategori

Sejak dari dahulu sehinggalah sekarang, jenama roti Gardenia mempunyai satu keunikan yang kerap kali ditonjolkan sebagai kekuatan jenamanya.

Berbeza dengan jenama roti lain, jenama Gardenia mempopularkan rasa roti yang unik dikenali sebagai 'resipi Pakcik Slocum' atau 'Uncle Slocum recipe's', dikatakan sedap sehingga enak dimakan begitu saja.

Jika selama ini ada tertanya-tanya siapakah Uncle Slocum yang dimaksudkan - artikel ini ditulis khas untuk menjawab beberapa persoalan anda tentang Gardenia selain mengajukan beberapa misteri tentang jenama tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kedatangan Pakcik Slocum ke Sabah

siapa uncle slocumm roti gardenia

Sejarah bagaimana bermulanya roti Gardenia sebenarnya bermula sejak tahun 1969 di Sabah, walaupun roti Gardenia hanya mula popular sekitar tahun 1986 di Semenanjung Malaysia. Ada sebabnya kenapa itu berlaku, yang akan diceritakan kemudian. Untuk menceritakan tentang sejarah Gardenia, kita perlu bercerita tentang IESC terlebih dahulu.

International Executive Service Corporations atau IESC merupakan sebuah badan pembangunan ekonomi berpusat di Amerika Syarikat yang diasaskan oleh salah seorang ahli keluarga Rockefeller iaitu David Rockefeller. Penubuhan IESC adalah bertujuan untuk membangunkan firma-firma perniagaan milikan persendirian di seluruh dunia  bagi membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat dunia.

Salah satu idea yang diajukan adalah untuk membangunkan cabang perniagaan perniagaan roti di Malaysia pada tahun 1969, yang pada ketika itu baru saja beberapa tahun tertubuh. Bagi merealisasikan hasrat itu, Horatio Sye Slocum, seorang tukang roti berpengalaman yang telah bergiat lama dalam bidang pembuatan roti serta pasteri sebelum bekerja sebagai salah eksekutif bersama IESC, dihantar ke Malaysia bagi memulakan perniagaan roti.

Dalam memulakan perniagaan, Slocum yang hadir dengan bantuan dana IESC mahu menjalinkan kerjasama dengan warga tempatan dan seorang ahli perniagaan terkenal Sabah bernama Wong Tze Fatt, berjaya menjadi rakan kongsi Slocum. Mereka berdua bersama seorang lagi kenalan Slocum, pakar pembuatan krim pasteri bernama Jim Humphries  menjadi 3 orang pengasas utama jenama yang kita kenali sebagai Gardenia sekarang.

Resipi roti yang merupakan salah satu kemahiran utama Slocumm menjadi kekuatan utama produk makanan hasil kerjasama tersebut. Syarikat mereka iaitu Gardenia Food Industries terus berkembang dari Sabah ke Singapura dengan pembukaan Gardenia International Pty. Ltd. (Singapura), yang diharapkan bakal membantu memperbesarkan pasaran mereka ke seluruh Asia Tenggara.

Tiba di Semenanjung Malaysia

kilang gardenia shah alam

Satu perkara yang perlu anda tahu - kami tidak jelas apa sebenarnya yang menghalang Gardenia Food Industries daripada melebarkan perniagaan mereka ke Semenanjung Malaysia. Jika anda tahu, kongsikan dengan kami ya?

Apa yang kami tahu, jenama Gardenia yang ada di Semenanjung Malaysia dimulakan bermula daripada pembukaan sebuah kedai roti kecil di Plaza Bukit Timah, Singapura pada tahun 1978 - berasaskan kepada resipi sama yang dibawa oleh Sloccum. Apa yang berlaku antara Gardenia International Pty. Ltd. (Singapura) dengan Gardenia Food Industries dalam perjanjian mereka, menjadi misteri yang sukar untuk kami jelaskan dalam artikel ini.

Berikutan permintaan yang tinggi, keperluan untuk membesarkan perniagaan mula dilakukan sekitar tahun 1983 dan pada ketika inilah konsep mahu menjadikan roti putih sandwich sebagai identiti utama diperkemaskan Gardenia.

sejarah gardenia roti malaysia uncle slocumm

Kaedah pemasaran dengan pemfokusan kepada resipi Sloccu mula digunakan. Resipi Slocum juga ditambah baik melalui kaedah pembuatan yang mampu menghasilkan produk lebih lembut dengan rasa lebih enak. Dalam masa 2 tahun dibangunkan, jenama Gardenia berjaya mengambil alih pasaran seterusnya menjadi pilihan utama warga Singapura.

Pada tahun 1986 - sebuah syarikat baru yang tiada hubung kait dengan Gardenia Food Industries di Sabah selain daripada hanya berkongsi jenama yang sama, dibuka atas nama Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd sebagai cabang kepada pecahan perniagaan yang bermula di Singapura bagi memasuki pasaran Semenanjung Malaysia pula.

Mungkin atas faktor pelesenan atau perjanjian di antara kedua-dua syarikat, kedua-dua entiti yang beroperasi atas nama Gardenia ini sehingga kini beroperasi dalam pasaran yang berbeza.

Gardenia Food Industries terus menjalankan perniagaan di Sabah dan Sarawak, Brunei dan Indonesia sementara Gardenia Bakeries pula menjalankan operasi di Semenanjung Malaysia dan Singapura. Pelik dan aneh kan?

Dalam tahun yang sama, Gardenia di Singapura berjaya membuka kilang pertama mereka di republik itu sebelum memecah masuk pasaran di Thailand setahun berikutnya. Pada tahun 1991, kilang roti Gardenia yang pertama dibuka di Kuala Lumpur bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

Sejarah yang agak mengelirukan

kilang gardenia

Oleh kerana jenama Gardenia berpecah dua dan kedua-dua syarikat tidak mempunyai hubung kait antara satu sama lain, kisah tentang syarikat roti ini pasti akan menyebabkan kekeliruan. Apatah lagi apabila wujud perbezaan di antara produk di Semenanjung Malaysia dan Sabah, khasnya.

Penulis belum pernah merasai produk Gardenia di Sabah tetapi bagi mereka yang pernah merasainya, ramai mengatakan roti Gardenia di Semenanjung Malaysia lebih sedap dan lembut berbanding roti Gardenia di tempat asalnya. Selain itu, rangkaian produk kedua-dua syarikat juga berbeza-beza.

Gardenia di Semenanjung Malaysia memfokuskan pada penghasilan produk roti serta mee sebagai produk terbaru mereka. Sementara di Sabah, Gardenia memasarkan produk roti dan pastri serta produk unik seperti minuman dalam tin.

air tin gardenia sabah

Perkara ini menimbulkan kekeliruan besar sehinggakan pada tahun 2015, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd terpaksa mengeluarkan kenyataan memperjelaskan bagaimana hubungkait kedua-dua syarikat ini hanyalah pada jenama semata-mata. Ini kerana kilang Gardenia Food Industries di Sabah diarahkan tutup premis selama 2 minggu akibat masalah kebersihan.

Apa yang kita jelas daripada sejarah jenama Gardenia, kedua-duanya berkongsi resipi Sloccum tetapi dijalankan oleh dua entiti atau syarikat yang langsung tiada hubung kait. Bagaimana ini berlaku?

Kami mengandaikan ada pihak menjual lesen resipi Sloccu kepada pihak ketiga untuk digunakan bagi penghasilan produk yang serupa - tetapi mengapa jenama dan logo yang sama dikekalkan? Entahlah. Ini spekulasi kami saja tau! Anda tahu kenapa?

Legasi Slocum

pusara uncle slocum

Slocum meninggal dunia pada 30 September 1982 ketika usia 78 tahun dan namanya sehingga kini terus kekal menjadi rujukan resipi roti putih yang berkualiti tinggi. Mendiang selamat dikebumikan di Forest Hill Cemetery yang terletak di Alabama, Amerika Syarikat.

Nasib seorang lagi pengasas jenama Gardenia asal iaitu Wong Tze Fatt pula agak kurang baik. Selepas kejayaan demi kejayaan berjaya ditempanya meletakkan dia sebagai seorang 'taikun' perniagaan yang sangat disegani, Datuk Wong Tze Fatt dan isterinya, Datin Lee Bee hee ditemui mati dibunuh di kediaman mereka yang terletak di Kota Kinabalu, pada 10 Disember 2004.

kematian wong tze fatt

Tze Fatt yang berjaya membangunkan kumpulan perniagaan Tong Hing serta terus menjadi pemilik utama Gardenia Food Industries ditemui mati dengan kesan hentakan di kepala dengan objek tumpul. Pembunuh pasangan itu kemudiannya membakar bilik yang didiami kedua pasangan itu dan ketiga-tiganya, termasuklah pembunuh mereka mati dalam kebakaran sedih itu.

Jenama Gardenia terus berkembang di seluruh Asia, menjadi pilihan utama mereka yang gemarkan roti putih sebagai santapan harian - namun akan terus dihantui kisah sedih nasib yang menimpa pengasasnya, kekeliruan terhadap penggunaan jenamanya serta persoalan kenapa resipi Slocum di Semenanjung Malaysia lebih sedap berbanding resipi Slocum di Sabah.




Hakcipta iluminasi.com (2017)