Di taman tema seluruh dunia, permainan roller coaster merupakan tarikan utama bagi pengunjung dewasa. Malah, pengunjung juga tidak kisah sekiranya perlu beratur selama berjam-jam lamanya untuk menaiki permainan ini. Bagi yang berkemampuan pula, sudah tentulah tiket "fast lane" menjadi pilihan.

Sekiranya anda tanya pada mana-mana pengunjung yang gemarkan permainan ini, rata-ratanya akan mengatakan mereka menggemari keseronokan dan perasaan gementar ketika menikmati permainan yang hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Ianya bagaikan satu kepuasan dapat menjerit ketika roller coaster bergerak pantas di atas landasan. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkan anda terfikir, daripada manakah asal-usul permainan ini? Lebih menarik lagi, roller coaster yang dicipta pada penghujung 1800-an ini asalnya bukanlah dicipta untuk tujuan hiburan, sebaliknya dicipta untuk menangani masalah sosial dalam kalangan golongan orang muda pada waktu itu. Pelik bukan?

Masalah sosial yang semakin meruncing

aktiviti perjudian

Selepas tamatnya Perang Saudara di Amerika Syarikat, keadaan negara yang stabil dan membangun telah mewujudkan banyaknya pusat-pusat hiburan, perjudian, tarian dan rumah pelacuran. Perkara ini sudah tentulah membimbangkan.

LaMarcus Adna Thompson, seorang pereka cipta dan usahawan tempatan berusaha untuk mengurangkan gaya hidup yang tidak sihat ini. Beliau lahir di Ohio sebelum berhijrah ke Elkhart, Indiana.

Beliau telah mencipta sejenis alat atau mesin untuk mencipta stoking dan pakaian dalam wanita. Hasil perniagaannya ini dan paten mesin ini yang disewakan kepada orang lain telah menjadikan beliau seorang yang kaya. Namun, kerana masalah kesihatan, beliau terpaksa bersara awal namun masih dapat meneruskan kehidupan bergantung pendapatan daripada paten mesin ciptaannya.

Walaupun kaya, Thompson mengamalkan gaya hidup sederhana dan boleh dikatakan seseorang yang sangat taat pada agamanya. Seperti kebanyakan rakyatgolongan veteran Amerika Syarikat pada ketika itu, beliau khuatir peningkatan kekayaan negara tersebut akan memberi kesan buruk kepada gaya hidup golongan muda di negara tersebut.

Inspirasi untuk mencipta roller coaster

kereta api lombong

Tinggalan landasan kereta api lama di Mauch Chunk

Beliau mendapat idea untuk mencipta permainan roller coaster ini ketika sedang bercuti di sebuah pekan kecil bernama Mauch Chunk yang terletak di Pennsylvania. Ketika itu, beliau terlihat sekumpulan manusia menaiki kereta api lama yang digunakan di kawasan perlombonngan untuk berseronok.

Laluan kereta api Mauch Chunk telah dibina untuk menghubungkan kawasan perlomban di pekan ini dengan pelabuhan yang terletak di Lehigh River dan juga sebuah kilang besi di Bethlehem.

Kereta api tersebut walau bagaimanapun tidak lagi digunakan apabila kawasan perlombongan disitu tidak lagi beroperasi. Pada awal 1800-an, landasan kereta api tersebut dianggarkan sepanjang 9 batu dan digunakan untuk mengangkut arang batu mendaki Mt. Pisgah (Gunung Pisgah).

Menjelang abad ke 19, landasan kereta api ini telah dipanjangkan kepada 18 batu dan penggunaan lembu untuk menarik gerabak kereta api ini telah digantikan dengan enjin stim. Walau bagaimanapun, sebahagian besar kereta api itu masih digerakkan dengan bantuan graviti.

Gerabak kereta api ini akan bergerak laju menuruni landasan yang dibina menuruni bukit. Pergerakan kereta api ini cukup laju dan dikatakan lebih laju daripada seekor kuda yang sedang berlari. Sesetengah pihak mengatakan pergerakan kereta api ini cukup menakutkan memandangkan di penghujung bukit ini terdapat landasan sepanjang 600 kaki yang turun dengan curam.

Pada ketika itu, pengunjung yang ingin merasai keseronokan dan ketakutan menaiki kereta api tersebut dikehendaki membayar 1 dollar. Thomson mendapat idea daripada apa yang dilihatnya ini dan bercadang menghasilkan kereta api dengan versi yang lebih kecil daripada apa yang dilihatnya.

Binaan sistem roller coaster terawal

roller coaster pertama

Rekabentuk roller coaster ciptaan Thompson

Berdasarkan daripada apa yang dilihatnya di Pennsylvania, Thomson berjaya mencipta "roller coaster" yang pertama. Kesemuanya dibina menggunakan kayu dan beliau telah bertindak mempatenkan ciptaannya ini.

Permainan roller coaster ciptaannya yang pertama telah siap dibina dan dibuka pada musim bunga 1884 di Coney Island, New York. Ianya dibina di kawasan resort di kawasan ini yang turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti panggung wayang, restoran, litar lumba dan banyak lagi.

Ada sebab spesifik mengapa Thomson memilih kawasan ini. Di kawasan resort ini juga, terdapat kelab malam, pusat hiburan, pusat pelacuran dan yang seumpama dengannya. Dengan meletakkan roller coasternya di kawasan ini, ia akan dapat menarik minat pengunjung untuk mencubanya, seterusnya mengelakkan mereka mengunjungi pusat-pusat hiburan yang tidak memberi manfaat tersebut.

Kelajuan roller coaster tersebut hanyalah sekitar 10 batu/jam yang sudah dianggap cukup laju pada ketika itu memandangkan ianya hanya bergerakan menggunakan pecutan daripada kuasa graviti. Gerabak akan dilepaskan dari kawasan yang lebih tinggi dan bergerak laju turun sebelum naik kembali dan membuat pusingan.

Dalam tempoh hanya 3 minggu sahaja, beliau memperoleh 600 dollar setiap hari daripada jualan kutipan tiket. Dalam nilai sekarang, ianya adalah sekitar 15 ribu dollar setiap hari. Beliau tidak berhenti setakat itu sahaja sebaliknya melakukan banyak penambahbaikan dan memfailkan paten untuk roller coaster ciptaannya.

space mountain

Tidak lama kemudian, menyedari akan potensi permainan ini, beberapa pihak telah cuba meniru idea ini dan melakukan beberapa penambahbaikan padanya. Antaranya adalah menambahkan kelajuan roller coaster tersebut.

Sementara itu, Thomson pula lebih mementingkan pengalaman pengunjung menaiki permainan tersebut dengan menambahkan pelbagai elemen lain seperti terowong, lampu dan sebagainya. Bagi yang tidak tahu, permainan roller coaster popular "Space Mountain" yang ada di taman tema Disney World yang mempunyai terowong gelap dan lampu bercahaya mengambil idea daripada ciptaan asal oleh Thompson.

Asal usul terma "Roller Coaster"

permainan toboggan

Terma "roller coaster" hanya menjadi popular dan digunakan secara menyeluruh bagi merujuk kepada permainan yang menyeronokkan ini pada lewat 1880-an. Terdapat beberapa pendapat mengenai asal-usul terma ini.

Antara pendapat paling popular adalah ianya berasal daripada "toboggan" atau sled yang mempunyai roda dan ditarik ke atas bukit sebelum dilepaskan, sama seperti konsep roller coaster yang diperkenalkan oleh Thompson.

Roller coaster dan taman tema mulai suram dan kurang mendapat sambutan pada zaman Great Depression dan Perang Dunia Kedua apabila rakyat Amerika tidak mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan bagi tujuan hiburan.

Walau bagaimanapun, pembukaan taman tema Disneyland di California pada tahun 1955 telah memberikan harapan baru pada permainan ini bersama beberapa permainan lain yang dimuatkan di taman teman ini. Menjelang 1970-an, lebih banyak taman tema dibuka seluruh dunia malah setiap taman tema ini bersaing untuk membina roller coaster yang lebih menyeronokkan dan "menakutkan".

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. History.com
  3. Popular Mechanics



Hakcipta iluminasi.com (2017)