watak filem pixar

Pixar nama yang tidak asing lagi bagi peminat-peminat filem, bukan sahaja peminat filem animasi. Setakat ini belum ada lagi syarikat filem animasi lain yang mempunyai kemahiran penghasilan karya sekonsisten Pixar, dengan banyak karya Pixar dianggap sebagai filem-filem klasik seperti Toy Story, Finding Nemo dan juga The Incredibles.

Bagaimanapun, sebelum dikenali seluruh dunia, Pixar sebenarnya bermula daripada idea seorang genius yang berbakat besar - dengan kerjasama banyak pihak lain yang sekepala dengannya serta mendiang Steve Jobs, yang nyata seorang yang licik tetapi sangat handal berniaga.

pixar wireframe monster inc

Ini adalah sejarah syarikat animasi Pixar dan bagaimana mereka memulakan empayar animasi terkenal mereka.

Genius yang bervisi besar

ed catmull muda

Kisah Pixar bermula dengan seorang individu bertaraf genius bernama Edwin Earl Catmull atau lebih dikenali dengan nama Ed Catmull. Ed adalah individu terawal di dunia yang berjaya menggunakan kemahirannya membangunkan sistem yang mampu meletakkan warna dan tekstur pada model 3 dimensi.

Karya pertama Ed menggunakan teknologi yang dibangunkannya sendiri adalah animasi pendek tangannya yang digerakkan selama 1 minit. Video ini dipercayai adalah video animasi 3 dimensi pertama di dunia dan menjadi antara karya paling penting dalam sejarah pembikinan filem.

Ed menamatkan pengajiannya di University of Utah, ditawarkan bekerja dengan tempat dia belajar dan Ed berkhidmat di makmal komputer universiti tersebut. Semasa bekerja di sana, Ed berkenalan dengan seorang usahawan bernama Alexander Schure yang mempunyai minat yang serupa dengannya - animasi menggunakan komputer. Melihat kemampuan Ed, Alexander menawarkan tempat untuk Ed menjadi ketua makmal pembangunan perisian grafik komputer yang akan dibukanya di New York Institute of Technology.

Ed setuju dan dia kini mempunyai fasiliti serta dana yang lebih besar untuk memperkembangkan teknologi yang sudah dibangunkannya.

Pengaruh George Lucas dan Star Wars datang menjemput

lucasfilm graphics group

Populariti filem Star Wars yang terbit pada tahun 1977 membuka mata Ed tentang kesan khas filem. Bagaimanapun, George Lucas pengarah kepada Star Wars percaya perubahan lebih besar perlu dilakukan dalam proses pembikinan filem.

Bagi merealisasikan impiannya itu, George nekad mahu menjadi studio kesan khas miliknya sebagai studio terbaik dan paling moden bagi membangunkan teknologi baru penghasilan filem-filem beliau seterusnya; jadi George membuat keputusan mahu memperbanyakkan lagi penggunaan komputer dalam studio miliknya.

Mengetahui kewujudan genius bernama Ed Catmull yang menjadi pengasas kepada teknologi tekstur, George menjemput Ed menyertai studio miliknya. Keputusan berat terpaksa diambil Ed, meninggalkan Alexander dan makmal komputer yang telah mereka bina bersama.

gambar studio george lucas 1984

Ed menyertai Lucasfilm pada tahun 1979 dan mengetuai The Graphics Group, salah satu divisyen dalam Lucasfilm dan diberikan tugas mencabar membangunkan perisian mengedit filem dan audio digital serta membangunkan teknologi baru kesan khas untuk bunyi dan gambar.

Selama lebih 7 tahun Ed membangunkan pelbagai teknologi baru yang digunakan dalam beberapa buah filem popular, namun dana yang besar semakin banyak diperlukan bagi meneruskan operasi mereka. George sendiri nampak semakin terbeban dengan tahap kewangan yang diperlukan dan besar kemungkinan terpaksa menghentikan operasi The Graphics Group.

Kemunculan Steve Jobs menyelamatkan keadaan

steve jobs dan pasukan pixar

Berdepan kesulitan, Ed tahu satu-satunya jalan adalah usaha untuk memisahkan The Graphics Group keluar daripada Lucasfilm, namun mereka kekurangan dana untuk membeli kepentingan saham yang dipegang George Lucas.

Nasib baiklah ketika itu situasi menyebelahi mereka - Steve Jobs baru saja dipecat daripada syarikatnya sendiri iaitu Apple. Steve yang mencari peluang baru merasakan wujud satu potensi yang besar dimiliki Ed dan pasukannya, jadi Steve Jobs membeli The Graphics Group daripada George Lucas dengan harga 5 juta dollar. Semua teknologi yang telah dibangunkan bertukar tangan menjadi milik Steve Jobs dengan penubuhan syarikat baru itu yang kini bergerak sendiri.

pixar image computer

Nama Pixar yang dipilih sebenarnya adalah nama yang digunakan sebagai label sistem komputer yang dibangunkan mereka semasa bersama The Graphics Group iaitu Pixar Image Computers. Berasal daripada perkataan Sepanyol yang diubah suai yang membawa makna 'menghasilkan gambar,' nama itulah yang digunakan oleh Ed dan rakan kongsinya cuba menawarkan syarikat itu kepada Steve Jobs.

Pixar secara rasmi ditubuhkan dengan Steve Jobs menjadi pemegang saham utama dengan tiga individu iaitu Ed Catmull, Alvy Ray Smith dan John Lasseter bertindak sebagai pengendali Pixar. Bagaimanapun, Steve mempunyai idea yang berbeza tentang hala tuju Pixar.

Dia mahu Pixar menjadi syarikat yang memfokuskan kepada khidmat jualan perkakasan sistem PIxar Image Computer. Pada awalnya, hala tuju berjaya dengan banyak agensi kerajaan dan swasta mula menubuhkan divisyen grafik komputer menggunakan perkakasan dan perisian keluaran mereka termasuklah Walt Disney.

Bagaimanapun, lama kelamaan permintaan terhadap sistem itu semakin menurun kerana harganya yang tinggi serta peluang pelanggan yang semakin mengecil. Steve bertindak mengeluarkan lebih banyak dana bagi mengekalkan operasi namun tahap kewangan mereka kembali sempit, sehingga memaksa Pixar mula mengecilkan jumlah pekerja yang digajikan mereka.

John Lasseter menyelamatkan Pixar

john lasseter muda

Terdesak, Steve Jobs melakukan beberapa pembaharuan. John Lasseter, seorang animator berbakat yang setia dengan Ed Catmull sejak mula diberikan satu pasukan bagi membangunkan karya yang mampu digunakan dalam mempromosikan kemampuan Pixar Image Computer.

John pernah bekerja di Walt Disney sebagai animator namun obsesinya terhadap grafik buatan komputer, yang berlawanan dengan falsafah Disney mahu animasi dihasilkan secara tradisional membuatkan dia dipecat sebelum diambil bekerja dengan The Graphics Group.

animasi pertama pixar

Atas sokongan Steve Jobs dan Ed Catmull, pasukan John berjaya menghasilkan animasi pendek Luxo Jr., sebuah kisah tentang lampu meja yang ditayang pada awam dalam tahun 1986 dan setahun berikutnya, memenangi anugerah Academy Awards. Steve mula nampak potensi sebenar yang ada pada Pixar, mula membawa Pixar ke arah pembangunan animasi menggunakan komputer dan bukan lagi syarikat yang menjual perkakasan sebagai fokus.

Pixar mula terkenal sebagai sebuah studio animasi dengan mendapatkan kontrak penghasilan iklan bagi produk-produk terkenal dunia. Atas keyakinan hala tuju baru Pixar, Steve Jobs nekad menjual unit perkakasan Pixar pada tahun 1990 bagi mendapatkan dana yang cukup untuk meneruskan operasi studio mereka.

Steve Jobs mula mencorak masa depan Pixar sendiri

steve jobs pixar apple

Walaupun mula bertapak dan mencipta nama, kerugian yang ditanggung oleh Pixar masih terlalu besar. Bagi memastikan kepentingannya dijaga, Steve bertindak nekad melakukan sesuatu yang agresif.

Pada bulan Mac 1991, Steve bertindak memecat separuh daripada jumlah pekerja yang ada bagi mengurangkan kos operasi dan seterusnya mengugut untuk menutup Pixar sekiranya semua pegangan saham yang bukan dalam tangannya, tidak diberikan kepada beliau. Berhadapan risiko ditutup, semua pekerja yang memiliki saham dalam Pixar bertindak menjual saham mereka pada Steve menjadikan Steve Jobs pemilik tunggal studio tersebut.

Ini memberikan kebebasan pada Steve Jobs melakukan rancangannya yang sebenar - dia menutup studio tersebut dan kemudiannya, membuka syarikat baru dengan nama yang sama iaitu Pixar dengan semua pekerja diambil semula. Tindakan itu terpaksa dibuat Steve bagi memastikan dia berjaya mengutip semula kerugian yang ditanggungnya sebelum itu, yang bernilai lebih 50 juta dollar sendirian. Dia tidak akan boleh melakukannya selagi ada banyak pihak lain memegang kepentingan dalam syarikat tersebut.

Legasi 'Toy Story'

steve jobs toy story

Tahun berikutnya, atas pengaruh Pixar yang semakin tersebar serta kemampuan mereka dalam menghasilkan video animasi, Pixar diberikan tawaran kerjasama terbesar mereka. Walt Disney menawarkan kepada Pixar kontrak tiga filem yang bernilai lebih 21 juta dollar.

Semasa Pixar sibuk menghasilkan filem animasi berdurasi penuh pertama mereka, 'Toy Story' Steve Jobs tidak berhenti cuba menjual Pixar pada syarikat-syarikat gergasi lain seperti Microsoft dalam usaha menaikkan modal serta melindungi kerugian yang telah ditanggung sekian lama.

Menerima beberapa tawaran yang dirasakan sesuai, Steve bertindak menangguhkan penerimaan tawaran bagi melihat keuntungan yang mampu dijana oleh 'Toy Story.' Filem itu yang diterbitkan pada tahun 1995 meletup, meletakkan Pixar sebagai studio animasi komputer terulung dunia.

Kejayaan 'Toy Story' menjadi platform untuk Pixar berdiri sendiri dan semua tawaran yang diterima oleh Steve Jobs dalam membeli Pixar tidak lagi diendahkan. Melihat potensi yang ada Pixar, Steve nekad membuka Pixar sebagai sebuah syarikat milikan awam dan berjaya menjadi IPO terbesar dunia pada tahun 1995, berikutan sambutan menggalakkan orang awam.

Steve Jobs melepaskan pegangan sahamnya dalam Pixar, mengutip balik kerugian yang ditanggungnya selama ini dan menjadikan dirinya bilionair sekelip mata. Keuntungan yang diterima Steve dalam transaksi tersebut dianggarkan bernilai lebih 1.5 billion dollar.

Ed Catmull kini bertindak selaku Presiden kepada Pixar dan juga Walt Disney Animation Studios. Dia mengumumkan niat akan bersara sepenuhnya pada bulan Julai 2019.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)