Logo palang merah (red cross) merupakan antara lambang paling popular di seluruh dunia. Dengan melihatnya sahaja kita akan dapat mengenalpasti ianya berkaitan dengan bantuan kecemasan seperti kemalangan, kecederaan dan sebagainya.

Melalui usaha kemanusiaan, Persatuan Palang Merah memberikan bantuan kecemasan, pendidikan kesiapsiagaan bencana dan bantuan bencana. Malah, di peringkat sekolah rendah lagi para pelajar boleh menyertai persatuan ini untuk aktiviti kokurikulum sebagai alternatif kepada persatuan yang lain seperti pengakap, pandu puteri dan banyak lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa adalah sebuah gerakan kemanusiaan untuk menyelamatkan nyawa dan kesihatan manusia. Walaupun ia satu organisasi antarabangsa, pertubuhan ini adalah organisasi persendirian. Tiada kerajaan yang mengawal pergerakan persatuan ini.

Pada masa kini, persatuan ini dianggotai oleh 160 juta ahli seluruh dunia dengan penyertaan dari 190 buah negara. Persatuan ini mempunyai ibu pejabat di Switzerland dan bertindak sebelum, semasa dan selepas bencana dan kecemasan kesihatan dengan tidak memihak kepada kewarganegaraan, bangsa, jantina, kepercayaan agama, pendapat kelas dan politik.

Kali ini pihak Iluminasi ingin berkongsi serba sedikit mengenai sejarah penubuhan Persatuan Palang Merah. Untuk makluman juga, di Malaysia pertubuhan ini dikenali sebagai Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan pada penghujung artikel kami sertakan sejarah pertukaran daripada "palang merah" kepada "bulan sanit merah".

Idea penubuhan Persatuan Palang Merah

pengasas palang merah

Pertempuran Solferino yang berlaku pada tahun 1859 merupakan pertempuran terakhir Perang Kemerdekaan Itali Kedua. Ketika itulah seorang ahli perniagaan bernama Henry Dunant menyaksikan kejadian berdarah itu dan melihat betapa sedikitnya sokongan perubatan yang tersedia untuk tentera yang cedera.

Terdapat kira-kira 40,00 tentera yang mati, cedera dan hilang. Malangnya, tiada sumber perubatan yang mencukupi untuk menolong mereka.

Henry Dunant kemudiannya menerbitkan bukunya A Memory of Solferino pada tahun 1862. Buku tersebut kemudiannya diedarkan kepada pemimpin-pemimpi negara Eropah. Di dalamnya, beliau telah memberikan cadangan 2 perkara:

  1. Membentuk organisasi kemanusiaan antarabangsa bagi membantu tentera dan orang awam yang cedera dan menderita semasa peperangan.
  2. Mengadakan perjanjian antarabangsa agar tentera yang cedera dari mana-mana pasukan hendaklah dibantu .

Pada tahun 1863, Henry Dunant bergabung dengan sebuah jawatankuasa yang berpusat di Switzerland yang menggunakan rancangannya untuk mewujudkan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa. Hasilnya pada 1864 Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) telah dibentuk.

sejarah persatuan bulan sabit merah 320

Simbol salib merah yang biasa pada latar belakang putih adalah warna yang kotra atau berlawanan dengan bendera Switzerland. Daripada sinilah lahirlah simbol Persatuan Palang Merah yang begitu mudah diingati dan begitu sinonim dengan kerja-kerja bantuan kemanusiaan.

Kedatangan Palang Merah ke Amerika Syarikat

kedatangan red cross ke amerika syarikat

Persatuan Palang Merah datang ke Amerika Syarikat dengan bantuan dari Clara Barton. Beliau pernah mendengar tentang kumpulan ini semasa di Eropah ketika melakukan kunjungan selepas Perang Saudara di sana.

Sekembalinya, beliau berkempen untuk penubuhan jaringan Palang Merah di Amerika Syarikat serta pengesahan Konvensyen Geneva. Atas usahanya ini, beliau dan rakan-rakannya mengasaskan Perssatuan Palang Merah Amerika Syarikat pada 21 Mei 1881 di Washington, D.C.

Clara Barton memimpin Persatuan Palang Merah Amerika selama lebih daripada 20 tahun dan memainkan peranan besar dalam usaha memberikan bantuan bencana domestik dan antarabangsa yang pertama. Dalam tempoh ini, organisasi ini telah membantu Tentera A.S. dalam Perang Sepanyol-Amerika.

Palang Merah menerima piagam kongres pertama pada tahun 1900 diikuti dengan yang kedua pada tahun 1905. Clara Barton adalah Presidennya sehingga beliau bersara pada tahun 1904 pada usia 83. Beliau meninggal pada 12 April 1912 di Glen Echo, Maryland.

Peranan ketika Perang Dunia Pertama

red cross perang dunia pertama

Palang Merah sudah terlibat dengan program kejururawatan awam, keselamatan air, dan pertolongan cemas ketika Perang Dunia Pertama meletus. Jumlah keahlian juga meningkat daripada 17,000 menjadi lebih daripada 31 juta.

Orang ramai turut serta menyumbang sekitar $400 juta untuk membantu program yang dijalankan. Wang ini kemudiannya digunakan untuk membayar syarikat ambulans dan hospital dan merekrut 20,000 jururawat berdaftar. Lebih ramai jururawat dibawa masuk untuk membantu wabak influenza tahun 1918 di seluruh dunia.

Setelah perang berakhir, mereka memberikan perkhidmatan kepada veteran dan bantuan kepada mangsa banjir Sungai Mississippi tahun 1927, mangsa musim kemarau teruk dan banyak lagi.

Peranan ketika Perang Dunia Kedua

persatuan palang merah perang dunia kedua

Khidmat Palang Merah diperlukan lagi semasa Perang Dunia Kedua dan menawarkan perkhidmatan yang luas kepada Tentera A.S., mangsa perang saudara dan pihak Bersekutu. Lebih daripada 104,000 jururawat telah mendaftar untuk perkhidmatan ketenteraan.

Persatuan Palang Merah juga mengumpulkan sekitar 27 juta bungkusan untuk tawanan perang dan menghantar lebih dari 300,000 tan bekalan makanan dan perubatan.

Dalam tempoh tersebut, mereka juga memulakan program derma darah nasional dan berjaya mengumpulkan lebih dari 13 juta pint (sekitar 6.15juta liter) untuk angkatan tentera. Setelah perang berakhir, program derma darah orang awam telah dimulakan.

Sejarah penubuhan di Malaysia

persatuan bulan sabit merah malaysia

Di Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bermula pada tahun 1948 sebagai cabang Persatuan Palang Merah Britain di Borneo Utara Britain (sekarang negeri Sabah) dan Sarawak.

Pada tahun 1950, Persatuan Palang Merah Britain menubuhkan cawangan pertama di Pulau Pinang (ketika itu merupakan sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu) sebelum kemudiannya berkembang ke negeri-negeri lain.

Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) ini kemudiannya diiktiraf kerajaan Malaysia pada tahun 1957 setelah kemerdekaan dan Persatuan Palang Merah Antarabangsa pada pada 4 Julai 1963. BSMM turut menjadi ahli badan antarabangsa itu pada 24 Ogos 1963.

Berikutan penggabungan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta penubuhan Persekutuan Malaysia pada September 16 1963, suatu penggubalan akta baru yang dikenali sebagai Akta Persatuan Palang Merah Malaysia (Penswastaan) Akta 1965 telah bertindak menggabungkan Persatuan Palang Merah Malaya dan cawangannya Persatuan Palang Merah di Sabah dan Sarawak dibawah nama baru iaitu Persatuan Palang Merah Malaysia.

Pada 5 September 1975, Persatuan Palang Merah Malaysia telah ditukar nama kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia selaras dengan kebenaran penukaran nama Akta Persatuan Palang Merah Malaysia kepada Akta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia 1975 oleh Parlimen Malaysia.

Kredit:

  1. World Atlas
  2. IFRC
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)