Berbanding Perang Dunia Kedua, kisah dan sejarah sebenar mengenai Perang Dunia Pertama jarang diperkatakan. Hal ini mungkin disebabkan peperangan ini jarang dirujuk sebagai Perang Dunia Pertama lain tetapi menggunakan nama lain. Sebagai contoh, Amerika Syarikat merujuk peperangan ini sebagai "European War" manakala kebanyakan negara lain menamakan peperangan ini sebagai "Great War" atau "The Great War for Civilisation".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perang Dunia Pertama ini tidak seperti Perang Dunia Kedua dan terkemudian yang menyaksikan penggunaan pelbagai teknologi senjata baru. Kebanyakan askar masih lagi menggunakan teknik menyorok dan melakukan serangan daripada parit yang dibina.

Perang Dunia Pertama ini tercetus di Eropah sebelum merebak ke kawasan lain dan menyaksikan penglibatan kira-kira 70 juta askar dimana 60 juta daripadanya berasal daripada Eropah. Statistik ini menjadikan perang ini sebagai salah satu perang terbesar dalam sejarah. Sementara itu, kira-kira 9 juta askar dan 7 juta orang awam telah terkorban dalam peperangan ini.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi beberapa fakta ringkas dan menarik mengenai Perang Dunia Pertama yang jarang diperkatakan ini.

1. Sebab tercetusnya Perang Dunia Pertama

sejarah perang dunia pertama

Untuk rekod, Perang Dunia Pertama berlaku dalam tempoh 4 tahun iaitu dari 28 Julai 1914 hingga 11 November 1918. Peperangan ini menyaksikan negara-negara terlibat telah membentuk 2 pasukan, iaitu The Allies dan Central Powers. Pakatan The Allies ini pada awalnya dianggotai oleh British, France, Belgium dan Russia sebelum dianggotai Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

Sementara itu, pakatan Central Powers pula dianggotai oleh Jerman, Austria, Hungary, Bulgaria dan Turki. Konflik awal tercetus apabila pewaris takhta kerajaan Austria-Hungary telah dibunuh oleh seorang nasionalis Yugoslavia. Ini mendorong berlakunya beberapa krisis diplomatik yang dikenali sebagai July Crisis yang menyaksikan negara-negara terlibat membentuk dua buah pasukan.

Serangan Jerman ke atas Belgium menyebabkan Britain mengisytiharkan perang ke atas Jerman. Pada ketika itu, kerajaan Britain dikatakan mempunyai pasukan tentera yang sangat kuat dan dijangkakan mampu menang mudah. Ramai pihak yang menyangka perang yang bermula pada waktu musim panas itu akan tamat dalam tempoh 4 bulan iaitu sebelum perayaan Hari Natal. Walau bagaimanapun, Perang Dunia Pertama ini hanya tamat 4 tahun kemudian, bukannya 4 bulan seperti yang dijangka.

2. Wartawan boleh dibunuh

perang dunia pertama 753

Dalam peperangan, selain askar yang terlibat dalam peperangan pihak wartawan merupakan antara orang yang penting yang memainkan peranan untuk membuat liputan keadaan semasa di medan perang. Dalam mana-mana perang sekalipun, golongan wartawan ini adalah pihak berkecuali dimana mereka tidak boleh dibunuh oleh mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun, semasa Perang Dunia Pertama, golongan wartawan dianggap sebagai ancaman kepada negara-negara yang terlibat. Bagi menghalang penyebaran informasi sewaktu Perang Dunia Pertama, kerajaan mengharamkan wartawan daripada ke medan peperangan dan jika ditangkap mereka boleh dibunuh.

Bagi kerajaan, mereka berpendapat segala informasi yang dimuatkan di akhbar secara tidak langsung boleh membantu pihak musuh mengetahui keadaan sebenar tentera mereka. Selain itu, pengharaman ini juga untuk mengelakkan orang awam daripada mengetahui perkara sebenar yang berlaku seterusnya menyebabkan orang awam menjadi panik.

3. Penglibatan ratusan ribu askar bawah umur

askar bawah umur

Dalam mana-mana perang sekalipun, secara umumnya kanak-kanak diharamkan daripada menglibatkan diri. Walau bagaimanapun, statistik menunjukkan terdapat kira-kira 250,000 kanak-kanak yang menyertai pasukan tentera Britain. Bagaimanakah hal ini boleh terjadi?

Apabila perang hampir meletus, pihak Britain telah melakukan upacara besar-besaran untuk merekrut askar baru. Hanya mereka yang sudah berumur 18 tahun ke atas sahaja dibenarkan menyertai pasukan tentera. Walau bagaimanapun, ketiadaan sijil kelahiran menyaksikan ramai golongan kanak-kanak telah menipu umur mereka untuk menyertai tentera.

Selain didorong semangat patriotik, kebanyakan kanak-kanak ini mengambil keputusan untuk menyertai peperangan untuk melarikan diri daripada kehidupan mereka yang sukar. Terdapat juga kanak-kanak yang menukar nama mereka bagi mengelakkan dikesan oleh ibu bapa dan pihak sekolah. Mengikut rekod, Sidney Lewis merupakan kanak-kanak termuda yang direkrut dimana beliau hanyalah berusia 12 tahun ketika itu!

4. Terhasilnya idea bank darah dan teknik awal pembedahan plastik

teknik awal pembedahan plastik

Sewaktu perang, pihak British memerlukan bekalan darah yang banyak untuk merawat askar yang tercedera di medan pertempuran. Pada waktu tersebut, darah akan dipindahkan secara terus daripada seorang askar kepada askar yang lain. Seorang doktor daripada tentera Amerika Syarikat bernama Kapten Oswald Robertson kemudian mencetuskan idea pengwujudan bank darah.

Tahun 1917 menyaksikan kewujudan bank darah pertama dalam sejarah. Bagi mengelakkan darah daripada membeku, maka larutan sodium citrate dicampurkan pada darah yang disimpan di dalam bekas khas itu. Ianya kemudian akan diletakkan dalam kotak khas yang diisi ais untuk mengelakkannya daripada rosak. Setiap bekalan darah tersebut mampu bertahan sehingga 28 hari.

Penggunaan Shrapnel (peluru tabur) pada ketika itu menyaksikan banyak kecederaan parah di muka yang dialami oleh askar. Bagi membantu mangsa yang terkena peluru ini, seorang doktor Dr Harold Gillies berjaya merintis teknik awal pembinaan semula wajah.

5. Mendorong kepada penciptaan kereta kebal

kereta kebal pertama dunia

Perang Dunia Pertama menyaksikan penggunaan parit sebagai lokasi menyorok dan menembak sebagai strategi perang yang utama. Ini menyebabkan tiada progres yang ketara daripada kedua-dua belah pihak. Malah dikatakan 9 daripada 10 askar yang berada dalam parit ini tersebut terselamat daripada dibunuh oleh musuh. Maka penggunaan jentera berat seperti kereta kebal sangatlah diperlukan.

Sebelum tercetusnya perang, beberapa cadangan dan idea di England, Perancis dan Jerman untuk membina kereta kebal telah ditolak. Maka, ketika waktu perang pihak England dan Perancis secara rahsia telah membangunkan kereta kebal bagi mengalahkan pihak musuh yang sukar ditewaskan kerana kewujudan parit-parit ini.

England merupakan negara pertama yang mencipta kereta kebal yang praktikal di medan perang dimana ianya digunakan sewaktu Perang Somme pada September 15 1916. Perang Somme merupakan salah satu daripada beberapa siri peperangan yang berlaku sewaktu era Perang Dunia Pertama.

Kredit:

  1. BBC UK
  2. National Geographic Kids
  3. History



Hakcipta iluminasi.com (2017)