Kebanyakna generasi muda masa kini pasti tidak pernah mendengar tentang Czechoslovakia. Masakan tidak, negara ini sudah tidak lagi wujud kerana telah berpecah kepada 2 buah negara - Republik Czech dan Slovakia. Negara ini tidak lagi wujud secara rasmi pada 31 Disember 1992.

Negara ini secara geografinya berada di Eropah, dikelilingi oleh Austria, Jerman, Poland dan Hungary. Kawasan yang dipanggil Czechoslovakia ini telah dibentuk selepas Perang Dunia I berakhir, dan wujud dari 1918 hingga 1992, merangkumi tanah bersejarah Moravia, Slovakia, dan Bohemia.

Menariknya, pasukan bola sepak kebangsaan Czechoslovakia adalh pasukan yang konsisten di persada antarabangsa dengan lapan penampilan dalam Pusingan Akhir Piala Dunia FIFA, menduduki tempat kedua pada 1934 dan 1962.

Pasukan itu juga memenangi Kejohanan Bola Sepak Eropah pada 1976, menduduki tempat ketiga pada 1980 dan memenangi emas Olimpik pada tahun 1980. Pemain bola sepak terkenal seperti Pavel Nedvěd, Antonín Panenka, Milan Baroš, Tomáš Rosický, Vladimír Šmicer atau Petr Čech semuanya dilahirkan di Czechoslovakia.

Bagi yang tertanya-tanya, cara menyebut yang sebenar adalah "CHEK" + "oh" + "sluh" + "VAK" + "ee" + "uh").

Sejarah awal 

bendera czechoslovakia

Bendera Czechoslovakia (1920-1992)

Wilayah yang merangkumi kawasan Czechoslovakia ini pada asalnya didiami oleh puak Celtic, Germanic, dan Slavic. Terdapat pergolakan agama yang kerap, penaklukan dan pergeseran penduduk. Moravia dan Bohemia ditadbir bersama sepanjang sejarah mereka, tetapi Slovakia diperintah selama 1,000 tahun oleh Hungary.

Perbezaan pentadbiran inilah yang menjadi katalis perpecahan negara ini kemudiannya. 

Pada tahun 1620, orang Czech bertempur dalam Peperangan White Mountain dan kehilangan kedaulatan mereka kepada Empayar Hapsburg. Untuk 300 tahun kemudiannya, orang Czech berada di bawah pemerintahan Kerajaan Austria. Selepas Perang Dunia I, kerajaan monarki ini runtuh, dan negara bebas Czechoslovakia diasaskan.

Ketika zaman Perang Dunia Kedua, Czechoslovakia mempunyai populasi Jerman yang besar yang kebanyakannya tertumpu di kawasan sempadan Bohemia dan Moravia (Sudetenland).

Ada yang menyokong Nazi Jerman, yang menimbulkan tekanan dalaman dan luaran. Pada tahun 1938, Czechoslovakia terpaksa menyerahkan Sudetenland kepada Jerman. Hitler kemudiannya menyerang kawasan yang tinggal di Bohemia dan Moravia pada tahun berikutnya; Slovakia merdeka dan bertukar menjadi negara boneka Jerman.

Apabila Perang Dunia Kedua berakhir, tentera Soviet masuk dan menguasai sebahagian besar Bohemia (termasuk Prague), Moravia, dan Slovakia. Tentera Amerika Syarikat berjaya membebaskan sebahagian besar Bohemia barat dan bandar Plzen pada Mei 1945, dan pada bulan yang sama pemberontakan orang awam berlaku terhadap Jerman.

Selepas Jerman menyerah kalah, kira-kira 2.9 juta etnik Jerman terpaksa meninggalkan negara itu. Juga, pada masa itu, hanya beberapa ribu orang Yahudi tinggal di tanah Czech; lebih daripada 100,000 telah terkorban semasa Holocaust.

Pasca Perang Dunia Kedua 

czechoslovakia soviet

Orang Czech dan Slovakia menetapkan pilihan raya nasional dan demokratik untuk musim bunga 1946 dengan harapan bahawa Kesatuan Soviet akan membenarkan mereka membentuk kerajaan mereka sendiri.

Kebanyakan jawatan penting dimenangi oleh ahli-ahli Parti Komunis Czechoslovakia, yang berusaha untuk meneutralkan kuasa anti-komunis dan merampas kuasa pada Februari 1948.

Czechoslovakia dipimpin di bawah pemerintahan komunis yang ketat untuk 10 tahun berikutnya. Perjanjian Warsaw telah ditandatangani pada tahun 1955 dan perjanjian ini menubuhkan organisasi pertahanan bersama yang merangkumi Czechoslovakia, Albania, Bulgaria, Hungary, Poland, Jerman Timur, dan Romania.

Perjanjian ini antara lain memberi kuasa kepad pihak Kesatuan Soviet mengawal angkatan tentera untuk semua negara ini. Negara-negara Pakatan Warsaw yang lain bimbang tentang pembaharuan Czechoslovakia, dan mengatur tentera untuk menyerang dan menduduki negara itu pada 20 Ogos 1968.

Kerajaan Czechoslovak mengisytiharkan bahawa ini adalah pelanggaran Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa, tetapi golongan yang mahukan pembaharuan ini terpaksa menandatangani perjanjian yang membenarkan tentera Soviet kekal di sana. Sehingga akhir 1980-an, iklim sosial dan politik tidak berubah tanpa perubahan ketara berlaku.

Keretakan mula timbul apabila Parti Komunis Czechoslovakia mula berantakan pada awal 1960-an dan orang Slovakia yang merupakan sebahagian daripada kepimpinan mahukan lebih autonomi. Pada tahun 1968, pandangan politik beralih ke arah reformasi dan sosialisme, yang diketuai oleh presiden baru dan orang Slovak, Alexander Dubcek.

Beliau bercita-cita untuk mewujudkan lebih "demokrasi sosialis yang moden dan humanistik" untuk menjamin hak tertentu seperti kebebasan beragama, bersuara, akhbar, perhimpunan dan perjalanan. Penduduk mula menunjukkan sokongan untuk Czechoslovakia baharu.

Revolusi

perpecahan czechoslovakia

Perubahan berlaku pada 1989 selepas polis komunis secara kejam memecah demonstrasi aman untuk demokrasi, mencederakan peserta yang terdiri daripada para pelajar.

Forum Sivik telah ditubuhkan untuk memperjuangkan kebebasan awam dan pembaharuan birokrasi. Parti Komunis tidak lama kemudian hilang pengaruh dan digantikan oleh kerajaan campuran. Pilihan raya bebas telah diadakan pada bulan Jun 1990, dan lebih daripada 95 peratus penduduk mengundi.

Forum Sivik tidak dapat mengekalkan kepimpinannya, dan berpecah kepada "kelab" yang berbeza dengan agenda politik yang berasingan. Ini termasuk Perikatan Demokratik Sivik, Parti Demokratik Sosial Czech, dan Pergerakan Sivik.

Parti Demokratik Sivik menang di tanah Czech pada tahun 1992, dan Pergerakan untuk Slovakia Demokratik memperoleh kuasa di Slovakia mendorong keinginan Slovak untuk mempunyai autonomi.

Perpecahan mula meluas dan menjelang akhir tahun dan perjanjian telah dirangka untuk membolehkan kedua-dua republik itu berpisah. Ia diluluskan pada 27 Disember 1992, dan pada 1 Januari 1993 Republik Czech dan Slovakia diasaskan dengan aman.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)