Selama ribuan tahun, manusia zaman dahulu perlu menelusuri sungai, meneroka hutan belantara, menempuh pelbagai onak dan duri sebelum berjaya memperolehi bahan masakan untuk hidangan seterusnya.

Namun, manusia pada hari ini hanya perlu menggunakan sebatang jari sahaja untuk mendapatkan hidangan gourmet yang dihantar sehingga ke depan pintu kediaman.

Dengan kewujudan pelbagai aplikasi seperti GrabFood dan FoodPanda, perniagaan yang menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan semakin berkembang pesat. Walau bagaimanapun, penghantaran piza masih mengungguli carta dengan jumlah penghantaran sekitar satu bilion piza setahun di Amerika Syarikat sahaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin sesetengah orang tidak pernah menghafal nombor telefon pasangan atau ibu bapa mereka tetapi kemungkinan besar mereka boleh menyebut nombor telefon Pizza Hut dengan yakin apabila ditanya. 

Asal usul piza

Sejarawan mempunyai pandangan berbeza tentang asal usul piza. Ia bergantung kepada pandangan anda mengenai piza. Jika anda menganggap roti leper yang dimasak dalam ketuhar maka ia dicipta sejak zaman kuno Timur Tengah lagi di mana orang Babel kuno dan Mesir memakan roti leper yang dibakar dalam oven lumpur.

pelbagai jenis piza

Jika anda menganggap roti yang mempunyai topping maka ia berasal sejak zaman Yunani kuno dan Rom lagi. Masyarakat kuno memakan roti yang dibakar dengan minyak zaitun dan rempah di atasnya. Pada hari ini hidangan itu dipanggil sebagai Roti Focaccia.

Jika apa yang anda maksudkan itu adalah piza yang biasa dilihat pada hari ini iaitu roti yang diletakkan dengan sos tomato, keju, topping dan kemudian dibakar dalam ketuhar, maka ia berasal di Itali.

Walaupun masih terdapat perselisihan mengenai adakah piza sebenarnya diciptakan di bandar Naples, makanan istimewa Itali ini begitu popular di bandar yang terletak di pesisiran pantai itu. Makanan yang mudah disediakan dan senang dimakan serta menjadi pilihan bagi orang ramai terutamanya golongan muda.

Piza pada hari ini yang biasanya menggunakan bahan asas seperti keju, tomato dan bawang putih tidaklah banyak berbeza dengan piza pada zaman dahulu. Mungkin kini terdapat pelbagai perisa tambahan seperti sos dan lauk mengikut citarasa dan kesesuaian pasaran.

Makanan kelas bawahan di Itali

Dahulu, golongan bangsawan Itali sering menganggap piza adalah makanan yang "menjijikkan" dan hanya untuk orang miskin sahaja tetapi pada hari ini piza merupakan makanan yang boleh dikatakan agak mahal walaupun pada harga mampu milik.

ratu dan raja itali

Raja Umberto I dan Ratu Margherita 

Pada pertengahan abad ke-19, Itali yang pada asalnya merangkumi banyak wilayah dan negeri-negeri yang terpisah telah disatukan sebagai sebuah kerajaan. Sebelum itu, penyebaran makanan di Itali hanya terbatas di bandar-bandar kecil sahaja.

Sebagai contoh, cannoli dicipta dan popular di Palermo manakala lasagna dan piza pula dicipta dan popular di Naples sahaja. Namun, nasib piza bakal berubah apabila Raja dan Ratu Itali pada waktu itu berkunjung ke Naples buat pertama kalinya.

Pada 1878, Ratu Margherita menjadi ratu pertama setelah Itali disatukan. Dia mengahwini sepupunya sendiri bernama Umberto yang kemudian dikenali sebagai Raja Umberto I. Sebagai pasangan diraja pertama di Itali yang baru, tugas utama mereka adalah untuk menyatukan negara dan mencegah sebarang bentuk revolusi atau pemberontakan.

Pasangan itu sering melakukan lawatan ke seluruh Itali bagi mendapat sokongan dan meningkatkan semangat rakyatnya. Pada tahun 1889, pasangan diraja itu tiba di Naples buat pertama kalinya bagi menangani pergolakan di sana.

Nasib piza berubah selama-lamanya

penghantaran pizza

Ratu itu dikatakan telah bosan dengan makanan "mewah" golongan bangsawan di Itali yang kebanyakannya diinspirasi dari masakan Perancis. Pada suatu malam, Ratu Margherita meminta untuk dihidangkan dengan makanan tempatan Naples.

Seorang pemilik restoran Pizzeria Brandi yang terkenal di Naples bernama Raffaele Esposito telah dipanggil untuk menyiapkan piza untuk dihidangkan kepada ketua negara itu. 

Esposito bersama isterinya telah membuat tiga jenis piza berbeza termasuk satu piza yang dibuat menggunakan keju mozzarela putih, daun selasih (basil) dan tomato yang melambang warna bendera Itali yang baru. Apabila siap, Esposito menghantarnya ke istana dan secara tidak langsung menjadi pesanan dan penghantaran piza yang pertama di dunia.

Apabila Ratu Margherita memakan piza berwarna seperti bendera Itali itu, dia amat menyukainya dan menyatakan sebagai salah satu makanan terbaik yang pernah dimakannya.

Beberapa hari kemudian, Esposito menerima sepucuk surat daripada Ketua Hidangan Diraja. Surat itu menyatakan bahawa Ratu amat menyukai ketiga-tiga piza yang dihasilkannya terutama piza yang melambangkan bendera Itali. Esposito kemudian menamakan piza itu sebagai Piza Margherita.

restoran pizzeria brandi di naples

Restoran Pizzeria Brandi di Naples

Pada hari ini, kedai piza yang pernah dimiliki oleh Esposito iaitu Pizzeria Brandi masih lagi beroperasi di Naples. Walaupun Raffaele Esposito sering mendapat nama sebagai orang pertama mencipta dan mempopularkan piza, hidangan itu sebenarnya telah wujud bertahun-tahun lebih awal.

Kini, cawangannya keduanya Pizzeria Brandi dibuka di Emiriah Arab Bersatu di mana penduduknya mula fanatik terhadap piza. Pemilik terkini juga mencari peluang untuk membuka cawangan baru di Amerika Syarikat.

Rujukan:

1. Siapa yang mencipta piza

2. Sejarah piza sepanjang zaman

3. Bagaimana piza boleh menjadi begitu popular




Hakcipta iluminasi.com (2017)