Negara Amerika Syarikat sememangnya mempunyai sejarah yang unik dan sepanjang. Negara ini juga sering digelar sebagai negara "Uncle Sam". Persoalannya, siapakah Uncle Sam ini? Siapakah invidividu ini sehinggakan namanya begitu sinonim dengan negara Amerika Syarikat.

Walaupun terdapat pihak yang mempersoalkan asal-usul istilah "Uncle Sam" ini, ramai pihak berpendapat ia dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan dari New York bernama Samuel Wilson. Beliau dikenali ramai sebagai "Uncle Sam" Wilson dimana perkataan "Sam" itu adalah singkatan namanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Cop Identifikasi Pada Tong Stok Daging

samuel wilson 468

Samuel Wilson adalah seorang ahli perniagaan yang membekalkan daging kepada kerajaan Amerika Syarikat ketika era peperangan pada tahun 1812. Stok daging yang dihantarnya ini akan diletakkan dalam tong yang akan dicop dengan indentifikasi "U.S" untuk menandakan ianya adalah hak milik kerajaan.

Mungkin kebetulan, identifikasi "U.S" ini boleh merujuk kepada "Uncle Sam" dan "United States" kerana huruf awalan kedua perkataan ini adalah sama. Tentera Amerika Syarikat pada ketika itu mula bergurau sesama mereka dengan mengatakan identifikasi "U.S." itu digunakan oleh Uncle Sam untuk merujuk namanya sendiri dan bukanlah sebagai tanda ianya milik Amerika Syarikat.

Penggunaan identifikasi "U.S." ini dikatakan telah menyebabkan gelaran Uncle Sam telah digunakan untuk merujuk kepada Amerika Syarikat. Ramai pihak menganggap bahawa "Uncle Sam" mungkin merupakan identifikasi atau kodnama yang merujuk kepada Amerika Syarikat.

Lama-kelamaan, penggunaan perkataan Uncle Sam bagi merujuk kepada negara Amerika Syarikat telah melekat dan digunakan secara meluas.

Penggunaan istilah "Uncle Sam" secara meluas

sejarah uncle sam 715

Istilah "Uncle Sam" ini menjadi semakin popular bagi merujuk kepada negara Amerika Syarikat apabila beberapa orang kartunis tempatan mula menggunakan istilah ini daripada awal 1830-an sehingga 1861.

Selain itu, kartunis terkenal seperti Sir John Tenniel dan John Leech daripada majalah lawak British, Punch, turut mempopularkan watak Uncle Sam apabila melukisnya sebagai seorang lelaki yang matang, memakai topi dan seluar yang mempunyai corak berjalur.

Seorang lagi kartunis popular Thomas Nast terus menambah baik imej ini dan dibantu dengan ramai lagi kartunis lain, imej dan gelaran Uncle Sam ini menjadi semakin sinonim dengan Amerika Syarikat.

Penggunaan imej Uncle Sam dalam poster peperangan

poster i want you 356

Salah satu imej popular yang memaparkan lukisan imej Uncle Sam ini adalah poster untuk merekrut askar Amerika Syarikat pada Perang Dunia Pertama. DIsertai dengan kapsyen "I Want You", ia memaparkan Uncle Sam sebagai seorang lelaki matang berambut putih dan mirip Presiden Abraham Lincoln.

Imej tersebut juga memaparkan Uncle Sam memakai pakaian yang mempunyai elemen rekabentuk bendar Amerika Syarikat. Contohnya, penggunaan topi dengan jalur merah dan biru dan bintang putih. Ianya turut digunakan dalam poster merekrut tentera Amerika Syarikat pada Perang Dunia Kedua.

Sebahagian besar daripada kita pasti pernah melihat imej poster yang sudah pun dijadikan meme ini. Lukisan ini dihasilkan oleh seorang pelukis bernama James Montgomery Flagg.

Pengiktirafan daripada kerajaan

Menariknya, pada tahun 1961 pihak Kongres Amerika Syarikat sendiri telah mengiktiraf Samuel Wilson sebagai pencetus gelaran Uncle Sam buat negara Amerika Syarikat.

Pengiktirafan ini seolah-oleh satu penerimaan kerajaan Amerika Syarikat terhadap gelaran "Uncle Sam" yang diberikan kepada negara tersebut. Malah, setiap tahun pada tarikh 13 September juga diisytiharkan sebagai "Uncle Sam Day".

Samuel WIlson meninggal dunia pada tahun 1854 ketika berusia 88 tahun. Jasadnya telah disemadikan bersebelahan kubur isterinya Betsey Mann di kawasan tanah perkburan Oakwood di pekan Troy, New York. Maka, tidak hairanlah pekan ini mendapat gelaran "The Home of Uncle Sam".

Kredit:

  1. History
  2. Britannica Encyclopaedia
  3. New World Encyclopedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)