Tidak seperti biskut chip coklat atau burger bakar, sejarah penciptaan roti adalah sangat kompleks, dan tidak dihasilkan oleh seseorang individu, mahupun masyarakat tertentu, sebaliknya, ianya berkembang kepada resipi hari ini dalam tempoh masa yang sangat lama, melebihi ribuan tahun.
Sejarah Awal Penciptaan Roti
BESARKAN TEKS A- A+
Versi roti moden dalam bentuk kepingan adalah merupakan suatu ciptaan yang agak baru, dipasarkan oleh syarikat Wonder Bread sekitar tahun 1930an. Walaupun versi ini agak terkini, roti sebenarnya merupakan makanan masyarakat purba yang hidup sekitar 22,000 tahun lalu. Pasti tidak pernah di fikiran anda bahawa roti setua ini kan?
Pada tahun 2004, di sebuah tapak penggalian arkaeologi yang dipanggil Ohalo II, yang terletak di Palestin, para saintis telah menemui sejumlah bijirin barli dalam batu pengisar yang sudah berusia 22,000 tahun. Penemuan ini merupakan bukti pertama manusia memproses bijirin liar untuk dijadikan makanan. Bijirin barli yang dikisar akan digunakan untuk dijadikan roti.
Menurut seorang profesor di Lipscomb University, Amerika Syarikat iaitu Howard Miller yang merupakan pakar sejarawan makanan, penciptaan 'roti' pada waktu tersebut mungkin tidak sama seperti yang ada pada hari ini. Kemungkinan roti pada zaman tersebut lebih kepada dalam bentuk kek leper yang dibakar di atas batu, atau di dalam nyalaan api.
Berkembangnya Sektor Pertanian dan Penghasilan Roti
Masyarakat purba yang dikenali sebagai Natufian adalah golongan pertama yang menanam dan menuai bijirin roti (bijirin barli) secara liar untuk dijadikan sumber makanan. Mereka adalah masyarakat pemburu zaman Mesolitik yang hidup di sekitar kawasan Lembah Sungai Jordan di Timur Tengah sekitar 12,500 tahun lalu.
Para pengkaji sejarah mempercayai bahawa orang Natufian adalah masyarakat purba pertama yang melakukan transisi perubahan daripada kebergantungan kepada sumber semula jadi sedia ada, kepada pertanian yang berupaya sedikit sebanyak mengawal segala aspek pembekalan makanan secara lebih tersusun berbanding sebelumnya. William Rubel, seorang lagi sejarawan makanan di dalam bukunya 'Bread: A Global History' menceritakan bagaimana orang Natufian membina infrastruktur bagi mengisar bijirin barli yang kemudiannya digunakan untuk dijadikan roti.
Menurut William, orang Natufian adalah masyarakat berasaskan pertanian pertama di dunia, dan mereka akan memproses bijirin menjadi tepung kasar, yang kemudiannya mereka bakar di atas api secara terus menjadi roti tanpa yis, seperti roti pita yang kecil. Beberapa ribu tahun berikutnya, ilmu pertanian dan penanaman bijirin telah tersebar ke kawasan Timur Tengah, dan barat daya Asia, melalui aktiviti perdagangan dengan masyarakat lain di Lembah Nile, Mesopotamia dan timur Lembah Indus.
Roti Adalah Makanan Ruji Bagi Tamadun-Tamadun Besar Dunia
Roti adalah percikan revolusi yang membawa kepada perkembangan sesebuah tamadun dan unit politik yang lebih besar. Roti membolehkan pengumpulan makanan lebihan, dan dengan bekalan sumber makanan yang stabil, kampung-kampung menjadi lebih besar, dan akhirnya membawa kepada kewujudan bandar-bandar besar.
Selepas 5,000 tahun orang Natufian mencipta roti leper, tiga tamadun di era Zaman Gangsa iaitu Tamadun Mesir Purba, Tamadun Mesopotamia, dan Tamadun Harappan telah berkembang dengan pesat dan membangun. Ketiga-tiganya, yang dikategorikan sebagai tamadun terbesar pada zaman purba, sangat bergantung kepada roti sebagai sumber makanan. Sebahagian besar diet mereka terdiri daripada roti, sebagaimana rakyat Malaysia bergantung kepada nasi. Roti membenarkan sumber bekalan makanan berlebihan, dan membentuk kelas sosial dalam kalangan masyarakat purba.
Kaitan Antara Roti dan Arak
Menurut rekod sejarah, roti pertama yang mengandungi yis hanya dihasilkan sekitar 1000 BC oleh masyarakat Mesir Purba. Pada zaman tersebut, mereka sudah menghasilkan yis secara skala kecil. Namun, terdapat percanggahan dari segi sejarah asal penciptaan yis, kerana terdapat bukti sejarah lain yang menunjukkan bahawa masyarakat Mesopotamia turut menghasilkan roti dengan kandungan yis.
Malah, sejarah penciptaan roti beryis sebenarnya ada kaitan dengan penciptaan arak. Masyarakat Mesir Purba menggunakan bijiran barli dan emmer untuk menghasilkan arak masam, dan doh roti. Menurut sebuah buku tentang Mesir Purba, masyarakat Mesir mungkin menghasilkan arak dengan membakar doh yang kaya dengan yis kepada roti arak. Roti tersebut kemudian dihancurkan dan dicampur dengan air, sebelum ditapai menjadi arak.
Menurut Howard Miller, arak adalah roti dalam bentuk cecair, kerana ianya menggunakan bahan yang sama untuk dihasilkan (air, bijirin dan yis), namun hanya pada kadar yang berbeza. Daripada buaian ketamadunan roti leper kepada pek kepingan di pasar raya seperti yang kita ketahui hari ini, roti telah berkembang sejajar dengan masyarakat, sejak pertama kali manusia menghancurkan bijirin menggunakan batu pengisar ribuan tahun lalu.
Rujukan: