Oleh pada 16 Dec 2017 kategori

Baru-baru ini iluminasi.com berkongsi kisah menyayat hati di mana 4 pasangan kembar yang terpisah sejak kecil telah bertemu semula selepas berpuluh-puluh tahun terpisah. Tak dapat dibayangkan bagaimana perasaan mereka ketika bertemu dengan separuh daripada jiwa hilang selama ini.

2 pasang kembar seiras yang terpisah 755

Namun, terdapat satu lagi kes yang lebih rumit daripada kes-kes tersebut. Dan kisah ini dikatakan yang pertama di dunia yang pernah terjadi. Ia seperti sebuah drama yang telah ditulis dengan rapi kerana apa yang terjadi sukar untuk diproses oleh akal fikiran.

Ikuti kisah Jorge dan Carlos Castro & William dan Wilber Velasco.

Kelahiran 2 pasang kembar seiras 

Pada 21 Disember 1988, seorang ibu hamil dari bandar Bogota, Colombia telah melahirkan sepasang kembar seiras, William dan Jorge. Bayi kembar ini dilahirkan secara pramatang iaitu 7 bulan di Materno Infantil Hospital di Bogota.

Sehari kemudian, bayi kembar seiras Wilber dan Carlos pula dilahirkan, di wilayah Santander di bahagian utara Colombia. Kebetulan, Wilber dan Carlos juga dilahirkan secara pramatang. Bagi mendapatkan rawatan, Wilber dan Carlos dibawa sejauh hampir 450 kilometer ke hospital tempat kelahiran William dan Jorge.

Kecuaian pihak hospital

Ketika dirawat di hospital ini, berlakunya pertukaran 2 pasang kembar yang merubah kehidupan mereka selamanya. Tempat William dan Carlos tertukar di antara satu sama lain, akibat daripada kecuaian pihak hospital. Lebih malang, kedua-dua ibu bapa pasangan kembar ini tidak menyedari hal itu.

pertukaran kembar 594

Akibatnya, William dan Wilber dibawa pulang ibu bapa William ke Santander, sebuah kawasan pedalaman yang sangat daif yang mana dikatakan tiada bekalan air dan elektrik. Manakala Jorge dan Carlos pula tinggal di Bogota bersama ibu Jorge di kawasan bandar serba lengkap.

william dan wilber dibawa pulang ke santander 647jorge dan carlos tinggal di bogota 101

Kedua-dua ibu bapa ini tidak tahu bahawa anak mereka tertukar dan disebabkan wajah bayi yang masih kecil seakan-akan, mereka langsung tak punya syak wasangka.

Pertemuan yang tak dijangka

Kedua-dua pasangan kembar yang tinggal di dua negeri berbeza (seperi Kedah dan Kuala Lumpur), dan membesar sebagai kembar tak seiras. Tak ada langsung pertikaian mengenai kelahiran mereka.

Setelah dewasa, William dan Wilber berhijrah ke Bogota dan bekerja sebagai tukang potong daging di sebuah pasaraya tempatan. Kehidupan mereka diteruskan seperti biasa, sehinggalah pada suatu hari, satu kejadian yang tak disangka-sangka berlaku.

Pada suatu hari, 2 gadis sedang mencari daging lembu yang diperlukan mereka untuk satu majlis keraian. Janeth Páez mencadangkan kepada Laura Garzón untuk singgah di sebuah pasaraya di mana sepupu kepada teman lelaki Janeth iaitu William Velasco, bekerja sebagai tukang potong daging. Dengan itu, mungkin mereka akan dapat diskaun.

Memasuki pasaraya tersebut, Laura terkejut melihat seseorang yang beliau kenali sedang bekerja memotong daging. Namun, individu yang dikenali itu merupakan rakan sekerjanya di sebuah syarikat kejuruteraan, Strycon, bukannya seorang pemotong daging. Beliau tanpa syak, melambai-lambai ke arah lelaki tersebut, namun tidak diendahkan.

william bekerja sebagai pemotong daging

"Itu Jorge, dia rakan kerja saya," kata Laura. Namun Laura berasa aneh melihatkan Jorge bekerja di situ.

"Oh bukan, itu William," balas Janeth. William merupakan seorang yang rajin bekerja dan tidak pernah meninggalkan kaunter daging tersebut, melainkan untuk tidur.

"Bukan, itu Jorge, saya kenal dia," balas Laura. Namun disebabkan lelaki itu tidak senyum kembali padanya, membuatkan Laura lebih pelik. Mengapa Jorge perlu berlakon sebagai orang lain? Mugkin beliau malu dengan apron yang penuh dengan darah. Janeth berkeras bahawa Laura tersalah, namun Laura yakin itu rakan sekerjanya.

carlos alberto bernal castro and wilber ca as velasco

Bentuk wajah yang serupa, tekstur rambut, dan segalanya serupa membuatkan Laura tidak menerima kenyataan itu. Ketika di pejabat, Laura memberitahu Jorge bahawa beliau menemui seorang lelaki yang serupa wajah dengannya (William). Jorge ketawa dan memberitahu bahawa beliau mempunyai kembar, Carlos. Namun, wajah mereka langsung tak sama.

Sebulan kemudian, Laura memberitahu Janeth bahawa terdapat kekosongan di syarikat Strycon. Janeth diterima masuk bekerja disitu. Selepas beberapa ketika, pertemuan Janeth dan Jorge berlaku, membuatkan beliau faham akan salah faham Laura ketika di pasaraya tersebut.

jorge enrique bernal castro dan william ca as velasco

Janeth kemudiannya mengambil gambar Jorge, dan dihantarkan kepada William membuatkan William juga ketawa terbahak-bahak melihat gambar tersebut. Janeth sekali lagi mengambil gambar William dan dihantarkan kepada Laura, kali ini untuk ditunjukkan kepada Jorge.

"Itu aku!," kata Jorge melihatkan gambar William di telefon pintar Laura. Gambar itu kemudiannya diambil oleh Jorge, dan ditanyakan kepada rakannya.

"Apa kau fikir mengenai gambar ini," tanya Jorge.

"Kau kelihatan okay saja," balas rakannya.

"Tapi, ini bukan aku," kata Jorge.

Jorge kemudianya pulang ke rumah dan bertemu dengan kembarnya, Carlos. Tanpa berlengah, Jorge bertanyakan kepada Carlos,

"Kau percaya tak jika aku cakap aku ada kembar seiras?". Soalan itu tidak dilayan Carlos.

"Kau percaya tak pada telenovela (drama)?".

Sekali lagi tidak diendahkan, Jorge mengambil komputer riba dan menunjukkan gambar William kepada Carlos di Facebook. Kedua-duanya tergelak terbahak-bahak. Lebih mengejutkan apabila mereka terlihat gambar William bersama kembarnya, Wilber, yang mana wajahnya saling tak tumpah seperti wajah Carlos.

Dengan nada marah, Carlos bertanya, "Siapa mereka?".

dari kiri wilber can as velasco carlos alberto bernal castro william can as velasco dan jorge enrique bernal castro

Dan ketika inilah Jorge dan Carlos menyedari bahawa kemungkinan mereka masing-masing mempunyai kembar seiras, yang telah tertukar sejak lahir. Sebelum mereka bertemu, keempat-empat daripada mereka berasa risau dan bimbang.

"Saya takut, kerana terdapat dua orang yang serupa dengan saya dan kembar saya, tapi dalam masa yang sama saya tidak mengenali mereka," kata Jorge. 

jorge enrique bernal castro william canas velasco carlos bernal castro dan wilber canas velasco 681

"Apa yang paling saya takutkan adalah mereka mungkin orang jahat," tambahnya lagi.

Namun selepas bertemu buat kali pertama, rasa takut mula hilang dan rasa bimbang digantikan dengan gurauan dan pertanyaan. Kisah ini mendapat liputan yang sangat luas di Colombia. Pasangan ini juga dibawa berjumpa dengan ibu bapa kandung masing-masing, yang mana saat-saat menyayat hati berlaku.

Nature vs Nurture

Kedua-dua pasangan kembar ini dibesarkan di dua buah kawasan dan persekitaran yang berbeza. Namun, persekitaran tidak dapat mengatasi genetik di dalam diri mereka. Jorge dan William dilihatkan lebih banyak bercakap, kurang formal dan suka bergurau.

wilber dan carlos 326

Manakala Carlos dan Wilber pula agak pendiam, tak suka bergurau, mudah marah serta lebih mementingkan penampilan diri. Jika persekitaran memberikan kesan lebih kuat daripada genetik, sudah pasti William dan Wilber mempunyai perwatakan yang sama, dan begitu juga Jorge dan Carlos. Namun itu tidak berlaku.

Tambahan lagi, Carlos dan Wilber memiliki telefon bimbit yang sangat serupa dan berwarna putih, yang dibeli secara berasingan. Pasangan kembar ini juga mendakwa lebih pandai menari daripada Jorge dan William.

Kehidupan selepas pertemuan

Selepas semua terlerai, mereka terpaksa "menulis" semula kehidupan mereka terubah dari banyak segi, setelah mengetahui bahawa kembar yang mereka membesar, sebenarnya bukanlah darah daging mereka, dan sebenarnya mempunyai kembari seiras yang tidak diketahui.

william dan jorge 213

Mereka menggelarkan diri mereka 4 beradik, dan sejak bertemu buat kali pertama, mereka menjadi semakin rapat. Malah, mereka bercadang untuk membeli rumah dan tinggal bersama-sama.

Kisah mereka ini juga dibukukan dalam "Accidental Brothers" yang diterbitkan oleh Universiti California.

P/S : Risau jugak penulis. Bagi mereka yang nak lahirkan anak, tenung wajah bayi anda betul-betul sebelum nurse ambil.


tags : , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)