Luciano Baietti merupakan seorang pesara guru besar dari pekan Velletri di Itali. Beliau merupakan pemegang Rekod Dunia Guinness sebagai "manusia dengan ijazah universiti terbanyak di dunia". Beliau yang kini berusia 71 tahun mempunyai 15 ijazah sarjana dan sarjana muda dari pelbagai universiti di seluruh Itali dan sedang melanjutkan pelajaran untuk ijazah ke-16.

raja universiti

Seperti yang kita sedia maklum, menamatkan pelajaran dari satu kolej atau universiti pun sudah memeritkan, apatah lagi memperolehi sehingga 15 gulung ijazah. Beliau hidup seperti kebanyakan warga emas lain dengan menghabiskan masa di rumah sambil bertukang, mengemas dan berkebun. Namun, apabila malam menjelma, beliau bertukar menjadi seorang pelajar.

Setiap pagi beliau akan bangun pada jam 3 pagi. Ketika orang lain sedang nyenyak tidur, beliau akan menelaah buku-buku sambil diterangi cahaya lampu meja. Menurut Baietti, proses belajar itu membantu membuka mindanya agar kekal aktif dan setiap gulung ijazah yang diterima telah meluaskan pengetahuannya tentang perkara di sekelilingnya. Ditambah pula kemanisan itu dengan mendapat tempat istimewa dalam buku rekod dunia.

manusia paling banyak memegang ijazah dalam dunia luciano baietti

Melalui buku, Baietti seolah-olah beroleh kebebasan kerana kedua-dua perkataan Itali iaitu libro (buku) dan libero (bebas) mempunyai kata dasar yang sama.

Baietti pertama kali disenaraikan dalam Rekod Dunia Guinness pada tahun 2002 dengan hanya lapan ijazah. Namun, beliau tidak berhenti setakat itu sahaja. Selepas mendapatkan ijazah dalam pendidikan fizikal, sosiologi, kesusasteraan, undang-undang, falsafah sains politik dan kemahiran motor, beliau menghabiskan 15 tahun berikutnya dengan menamatkan pengajian 7 lagi ijazah sarjana dan sarjana muda sebagai koleksi peribadinya.

luciano baietti lelaki paling banyak ijazah rekod dunia

Kebanyakan ijazahnya diperolehi dari La Sapienze University di Rom, iaitu salah satu universiti tertua di dunia. Selain itu, beliau juga pernah belajar secara jarak jauh dengan universiti di Turin dan Naples. Baietti juga memegang ijazah dalam kriminologi dan strategi ketenteraan. Kini, beliau yang suka mencabar minda dan kudratnya untuk melihat sejauh mana ia mampu bertahan, sedang menyambung satu lagi pengajian dalam bidang sains makanan.

Mungkin perkara yang paling penting tentang kejayaan Luciano Baietti adalah bagaimana beliau mampu mendapatkan kesemua ijazah universiti ini di samping pekerjaannya sebagai seorang pengetua sekolah menengah dan kerja-kerja sukarelawannya dengan Pertubuhan Palang Merah Itali. Menurut Baietti, rahsianya ialah dengan bangun seawal jam 3 pagi. Beliau menghabiskan masa sekitar tiga jam untuk belajar setiap hari agar tidak mengganggu aktiviti harian, hubungan dengan keluarga dan kerjayanya.

luciano baietti lelaki paling banyak ijazah rekod dunia bersama keluarga dan ijazah yang diperolehi

Waktu sebelum subuh itu adalah waktu terbaik kerana otak paling aktif menyerap segala pengetahuan dan tempoh singkat itu sahajalah yang Baietti perlukan untuk lulus segala peperiksaan dan menulis tesisnya. Sesudah itu, beliau akan hidup normal seperti lelaki berkeluarga yang lain.

Jangan pernah berhenti menuntut ilmu yang berguna. Ia tidak bermakna anda perlu perlu dapatkan bergulung-gulung ijazah atau PhD. Selain belajar mengaji atau mendengar ceramah di masjid, mengikuti laman web bermanfaat serta berilmiah seperti Iluminasi juga merupakan satu cabang mudah mendapatkan ilmu.


tags : , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)