Tahukah anda bahawa menurut undang-undang, anda perlu membayar kepada salah satu syarikat media terbesar di dunia sekiranya anda ingin menyanyikan lagu "Happy Birthday" di khalayak ramai?

Lagu Happy Birthday ini lebih terkenal daripada lagu Beatles, Bach dan juga Beethoven. Ia disukai oleh kanak-kanak mahupun orang dewasa. Lagu ini telah diterjemahkan ke dalam lebih daripada 20 bahasa. Namun, tahukah anda kisah mengenai lagu ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sehingga hari ini, lagu Happy Birthday ini bukanlah sebahagian daripada hak milik awam kerana ia adalah hak milik kepada syarikat Warner Bros sekarang. Namun, bagaimanakah syarikat itu memperolehi hak ke atas lagu yang dinyanyikan di seluruh dunia ini?

Penciptaan lagu Happy Birthday

patty dan mildred hill

Patty (kiri) dan Mildred Hill (kanan)

Seperti kebanyakan muzik rakyat, ia adalah agak sukar untuk memastikan dengan tepat tentang asal-usul lagu itu. Akan tetapi, banyak catitan menunjukkan dua adik-beradik iaitu Patty dan Mildred Hill dari Louisville, Kentucky adalah pengarang asal lagu ini atau mungkin penulis lagu asal yang membawa kepada terciptanya Happy Birthday ini.

Mereka mendakwa melodi lagu Happy Birthday ini mula ditulis pada tahun 1890-an untuk murid-murid di tadika tempat Patty bekerja. Pada mulanya, lagu itu diberi nama "Good Morning to All" dan dinyanyikan setiap pagi dalam kelas. Apabila tiba hari jadi murid, mereka akan menukar lirik lagu itu daripada Good Morning to All menjadi Happy Birthday to You, ujar Patty.

Apabila populariti lagu itu mula meningkat, adik-beradik Hill mula memfailkan saman terhadap penggunaannya yang tidak berlesen. Antara saman yang difailkan mereka adalah terhadap komposer serta pelakon layar Irving Berlin dan Moss Hart yang didakwa menggunakan lagu itu dalam teater muzikal Broadway mereka iaitu The Band Wagon.

Walaupun begitu, adik-beradik Hill itu tidak pernah mendaftarkan lagu Happy Birthday sebagai hak cipta mereka, hanya lagu Good Morning to You. Patty kemudian memberitahu bahawa dia bukanlah seorang yang tamakkan wang.

Lagu Happy Birthday dirakamkan

warner bros

Pada tahun 1935, adik-beradik Hill itu telah menukar tona lagu mereka. Patty dan Mildred Hill yang penat dengan melodi mereka digunakan tanpa kebenaran kemudian telah menghasilkan dan menerbitkan lagu Happy Birthday dengan syarikat Clayton F. Summy. Adik-beradik Hill kini mempunyai hak ke atas lagu itu sehingga tahun 1991.

Sedekad kemudian, John F. Sengstack telah membeli syarikat Summy itu dan menukar namanya kepada Birch Tree Ltd. Setahun selepas itu, gergasi media Warner Music pula telah membeli Birch Tree Ltd dengan harga USD 25 juta (jumlah yang besar ketika itu). Oleh kerana pembelian itu, kini Warner Bros memiliki hak keseluruhan ke atas Happy Birthday.

Ini bermakna, sesiapa yang ingin menyanyikan lagu itu tempat awam, mereka terpaksa membayar royalti kepada Warner Bros bagi menggelakkan daripada diambil tindakan undang-undang.

Sebagai contoh, Walt Disnet membayar Warner Bros sebanyak USD 5,000 untuk menggunakan lagu itu dalam perarakan. Menurut Telegraph, satu saman sivil telah difailkan bagi adegan dokumentari Eyes on the Prize, di mana lagu Happy Birthday dinyanyikan semasa Martin Luther King Jr menyambut hari jadinya adalah begitu tinggi sehingga filem itu tidak pernah diterbitkan dalam DVD.

Apabila orang mula membayar royalti lagu Happy Birthday itu, Warner Bros mendapat wang sekitar USD 2 juta setahun. Sebahagian besar wang itu kemudian disalurkan ke Yayasan Hill, badan amal yang diasaskan oleh adik-beradik Hill yang mencipa lagu itu.

Happy Birthday masuk mahkamah

robert braunies dan jennifer nelson

Robert Braunies dan Jennifer Nelson

Pada tahun 1988, Warner Bros telah mempunyai hak sepenuhnya ke atas lagu Happy Birthday tanpa perlu membayar lagi royalti kepada adik-beradik Mill. Mereka memegang hak cipta lagu itu sehingga tahun 2030, di mana mereka boleh meraih pendapatan melalui lagu paling tinggi kutipan dalam sejarah itu selama lebih sedekad lagi.

Memandangkan tempoh pelanjutan hak cipta dan status lagu itu sebagai lagu rakyat, pembikin filem dan para peguam mula membentuk satu pasukan pembangkang. Mereka percaya bahawa Warner Bros memegang hak cipta kepada objek yang seharusnya menjadi sebahagian daripada milik rakyat, ini bermaksud lagu itu tidak tertakluk kepada mana-mana hak cipta.

Seorang peguam anti-hak cipta dan juga seorang profesor undang-undang iaitu Robert Brauneis memberi hujah bahawa "Hak cipta dan lagu paling popular di dunia" itu hanya susunan lagu tertentu yang diperbaharui pada tahun 1963, bermakna berakhirnya istilah hak cipta asal. Kini lagu itu sepatutnya menjadi hak milik awam.

Brauneis menyambung lagi, pada hakikatnya bahawa nama yang salah telah muncul pada hak cipta asal. Tiada bukti kukuh mengatakan Patty dan Mildred Hill adalah penulis lagu itu. Sekiranya Warner Bros ingin menuntut pemilikan lagu itu, mereka perlulah mengemukakan bukti kukuh bahawa adik-beradik Mill itu merupakan pencipta asal.

Pada Jun 2013, seorang penerbit filem Jennifer Nelson yang menghasilkan dokumentari mengenai lagu Good Morning to All perlu membayar USD 1,500 kerana menggunakan lagu Happy Birthday. Dia telah bercadang untuk membawa Warner Bros ke mahkamah dengan menuduh bahawa gergasi media itu menuntut hak yang tidak sepatutnya.

Nelson yang mendakwa dirinya mangsa dan Warner Bros mengaut keuntungan terhadap lagu yang bukan dicipta oleh mereka sendiri. Dia juga menggabungkan kesnya dengan kes lain yang difailkan di California. Selain menuntut bayaran balik denda yang dibayarnya, dia juga menuntut agar syarikat itu membayar balik kos semua yang pernah membayar royalti untuk menggunakan lagu Happy Birthday.

Happy Birthday hak milik awam

good morning to all

Oleh kerana semua saksi yang relevan telah meninggal dunia, peguam Nelson memerlukan satu bukti kukuh dan akhirnya berjaya mendapatkannya dengan harga USD 3 sahaja dari Amazon. Sebuah buku muzik yang diterbitkan pada 1922 menyatakan, semua lagu termasuk Happy Birthday perlulah mendapat keizinan istimewa melalui ihsan syarikat Clayton F. Summy.

Memandangkan hakikat bahawa muzik yang diterbitkan sebelum tahun 1923 biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada hak awam dan lirik yang diterbitkan pada masa itu tidak mempunyai notis hak cipta yang sah, peguam memberikan hujah bahawa Happy Birthday sepatutnya menjadi hak milik awam.

Pada bulan September 2015, Hakim George H. King telah memutuskan bahawa tuntutan hak cipta Warner Bros memang tidak sah dan hak cipta 1935 mereka hanya dipakai untuk satu susunan lagu sahaja, bukan keseluruhannya. Oleh kerana tiada pihak lain yang menuntut hak cipta lagu itu, ia akan menjadi hak awam.

Warner Bros kemudian bersetuju untuk membayar balik USD 14 juta kepada mereka yang pernah membayar untuk menggunakan lagu itu.

Rujukan:

1. Telegraph

2. Jyllands Posten

3. LA Times




Hakcipta iluminasi.com (2017)